BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS
BAHASA JIWA BANGSA

Wednesday, December 1, 2010

KAJIAN NOVEL : RENYAH

TEMA

Novel ini bertemakan konflik keluarga. Kehidupan sebuah keluarga yang menjadi pincang akibat sikap anak-anak.
Datuk Dolhi yang mengusahakan perniagaan bersama Albert Lee berasa bimbang terhadap anak-anaknya yang tidak berminat untuk menguruskan perniagaannya sehingga merisaukan beliau sekiranya tiada anak-anak yang menggantikan tempatnya kelak. Kebimbangannya bertukar menjadi kecewa apabila anak-anaknya terlibat dalam pelbagai salah laku.



PERSOALAN

1. Dunia korporat dan urusan perniagaan.
2. Kegiatan pendakwah yang menyimpang daripada ajaran Islam sebenar.
3. Rasuah dalam kalangan kakitangan kerajaan.
4. Kecenderungan golongan artis (penyanyi ‘rock’) terlibat dengan dadah.
5. Aktivis alam sekitar.
6. Dasar Pandang ke Timur
7. Aktiviti para datin.
8. Mendidik anak-anak.
9. Sikap orang Melayu terhadap perniagaan.
10. Budaya kerja dan pembangunan ekonomi Jepun.
11. Minat dan kecenderungan anak yang tidak dapat diubah atau dipaksa oleh ibu
bapa.
12. Perpaduan kaum / persahabatan yang tidak terbatas kepada bangsa dan agama.
13. Kepentingan ilmu pengetahuan melalui pembacaan dan pengalaman.
14. Jodoh dan perkahwinan.
15. Sikap menghargai barangan dan jenama tempatan.


BINAAN PLOT

Cerita disampaikan secara kronologi iaitu mengikut urutan masa. Kisah zaman silam Datuk Dolhi disampaikan secara imbas kembali melalui lamunannya.

Peringkat Pengenalan

1. Datuk Dolhi resah apabila mengenangkan lima orang anaknya tidak berminat untuk melibatkan diri dalam perniagaan bagi menggantikan tempatnya dalam syarikat Dolhi - Albert Holding.
2. Hasnol memegang jawatan sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik amat mementingkan kedudukannya sebagai pegawai tinggi dan kuasa yang ada padanya. Amera amat mencintai bidang perguruan. Ilham pula merupakan penyair, penulis dan aktivitis alam sekitar. Mukhlis terlibat dengan sebuah pertubuhan dakwah Islamiah songsang dan tidak mahu bekerja. Dani berminat dalam bidang muzik, menjadi penyanyi sebuah kumpulan muzik ‘rock’ dan akan merakam lagu.
3. Datuk Dolhi dan Albert Lee menjalankan pelbagai jenis perniagaan melalui syarikat Dolhi - Albert Holding. Anak Albert Lee iaitu Robert Lee turut terlibat dalam perniagaan itu. Albert Lee ingin memperkukuh kedudukan keluarganya dalam Dolhi – Albert Holding dengan berhasrat untuk menjodohkan Robert Lee dengan Amera.
4. Datuk Dolhi mempunyai seorang anak lelaki bersama isteri keduanya yang telah meninggal dunia.
5. Kesibukan Datuk Dolhi sebagai usahawan. Dia memeriksa projek, menghadiri seminar, ke luar negara untuk mencari rakan kongsi, mencari peluang perniagaan di luar negara dan memberikan ceramah kepada usahawan muda.
6. Gambaran kehidupan para datin. Datin Tominah dengan beberapa orang datin yang lain mengadakan pertemuan untuk membincangkan penubuhan kelab baharu yang berfungsi menjaga kepentingan datin dan memulakan perniagaan butik busana Islam.


Peringkat Perkembangan

1. Wahi mencadangkan budaya kerja Jepun yang dikenali sebagai Sistem Gugus Kawalan Mutu (QCC) diaplikasikan dalam syarikat Dolhi – Albert Holding.
2. Datin Tominah ingin memulakan perniagaan butik busana Islam dan memujuk Datuk Dolhi supaya mengeluarkan modal.
3. Hasnol kerap meminjam wang untuk membayar kad kredit. Linda cenderung kepada gaya hidup mewah sehingga Hasnol terpaksa berhutang.
4. Ilham menceroboh masuk ke bilik Inem, pembantu rumah menyebabkan Inem berhenti kerja serta-merta. Ilham lari ke Sarawak untuk menentang aktiviti pembalakan yang diusahakan oleh syarikat Dolhi – Albert Holding.
5. Mukhlis menjalani kehidupan yang daif di perkampungan Islam Sungai Bakau. Dia berkahwin dengan Hanisah, janda tuk guru yang sudah beranak tiga.
6. Dani leka dengan kumpulan muzik ‘rock’ dan akan merakamkan lagu.
7. Amera terpilih sebagai pendidik terbaik seluruh negeri. Dia dilamar oleh Timbalan Menteri Tugas-tugas Khas iaitu YB Wahab Yassin dan berkahwin.
8. Hasnol didesak dan diugut oleh Tengku Munir supaya meluluskan dua belas tender yang disertai syarikatnya. Dia mendesak supaya Hasnol memberikan semua projek kerajaan kepada syarikatnya. Sebagai ganjaran, Hasnol diberikan tiga ratus ribu ringgit.
9. Tengku Munir memarahi Hasnol kerana syarikatnya hanya menang empat tender daripada dua belas yang disertai syarikatnya. Dia mendesak Hasnol supaya membatalkan tender yang telah diberikan kepada syarikat lain.
10. Datuk Dolhi bercuti ke Jepun selama dua minggu. Dia memberitahu Wahi bahawa Wahi ialah anaknya bersama Mastura. Wahi pula menyampaikan berita bahawa dia akan berkahwin dengan gadis Jepun iaitu Yuka.


Klimaks / Puncak

1. Ilham lari ke negara Barat bersama Bruno Manser. Dia dianggap pengkhianat negara kerana memburuk-burukkan negara berkaitan isu pembalakan.
2. Datuk Dolhi mengumumkan kepada isteri dan anak-anaknya bahawa Wahi ialah anak kandungnya dengan isteri keduanya yang telah meninggal dunia.
3. Dani ditangkap polis kerana memiliki dadah ketika mengadakan persembahan kumpulan Young Rock Band di sebuah pekan kecil.
4. Mukhlis dilanggar motosikal ketika merayau-rayau di sebuah pekan.
5. Tengku Munir membuat aduan bahawa Hasnol meminta wang setengah juta ringgit sebagai ganjaran meluluskan dua belas tender yang disertai syarikatnya.


Peringkat Peleraian dan Penyelesaian

1. Wahi kembali ke tanah air bersam isterinya, Yuka dan menerajui perniagaan Dolhi – Albert Holding. Yuka pula bertugas di bahagian personel dalam syarikat yang sama.
2. Albert Lee keluar dari Syarikat Dolhi – Albert Holding. Persahabatan antara Datuk Dolhi dengan Albert terlerai.
3. Hasnol ditahan oleh pihak berkuasa atas tuduhan rasuah.
4. Dani akan dibicarakan berkaiatan kes dadah dan akan dimasukkan ke pusat pemulihan dadah.
5. Mukhlis dirawat di hospital mental.
6. Ilham masih menjadi buruan pihak berkuasa Malaysia.



TEKNIK PLOT

Teknik plot ialah cara pengarang menyampaikan cerita dalam karyanya. Kepelbagaian teknik plot dapat menarik minat pembaca untuk meneruskan pembacaan novel berkenaan. Berikut adalah perbincangan tentang teknik plot atau teknik penceritaan yang terdapat dalam novel Renyah:

1. Teknik Pemerian
Pengarang menggunakan teknik pemerian untuk menggambarkan suasana, keadaan, gambaran atau pendirian watak, latar, dan sebagainya. Teknik ini tidak memerlukan dialog kerana pengarang bertindak sebagai pencerita.

Sebagai contoh, pada halaman 53, pengarang menulis tentang perbuatan Amera menghempas buku di atas meja dan dia meluat melihat muka Ilham. Manakala, Dani terus memetik gitar sambil terkumat-kamit melagukan puisi yang diberikan oleh Ilham.

Selain itu pengarang memerihalkan suasana di rumah Datuk Dolhi setelah kepulangan wahi dan isterinya, Yuka dari Jepun.

Malam itu mereka sekeluarga berhimpun walaupun tidak lengkap semuanya. Suasana terasa meriah dengan kedatangan ahli baharu. Malam itu juga Datuk Dolhi mencerita segala-galanya. Suasana tiba-tiba berubah pilu apabila kisah Mastura yang hidup dalam keterasingan diceritakan. Bagaimanapun, Datuk Dolhi tidak mahu kesedihan itu berterusan. (Halaman 210)


2. Teknik Dialog
Dialog ialah pertuturan antara watak. Teknik ini digunakan untuk melahirkan pendapat watak tentang sesuatu perkara. Penggunaan teknik dialog dalam sesebuah cerita menjadikan jalan cerita lebih realistik. Sebagai contoh pada halaman 103 – 104, Datin Tominah bertanya kepada suaminya mengenai tempat tinggal anak mereka, Mukhlis. Datuk Dolhi menjelaskan bahawa Mukhlis berada di Sungai Bakau, di perkampungan jemaah anaknya. Datin Tominah ingin tahu lebih lanjut, tetapi Datuk Dolhi tidak tahu tentang perkara yang dilakukan oleh Mukhlis pada waktu itu.


3. Teknik Imbas Kembali
Imbas kembali bermaksud ingatan watak terhadap peristiwa yang telah berlaku atau yang telah dialaminya. Teknik ini juga digambarkan sebagai penceritaan semula peristiwa yang telah berlaku melalui mimpi, kenangan, lamunan, ingatan atau watak bercerita kepada watak lain.
Dalam novel ini, teknik imbas kembali disampaikan melalui lamunan watak Datuk Dolhi:

‘Datuk Dolhi terkenangkan pertama kali dia pergi ke Jepun mengikut program JICA. Terkulat-kulat dia dan rakan-rakan mencuba resepi Jepun. Rasa was-was tidak dapat dielakkan. (Halaman 3)


4. Teknik Saspens atau Ketegangan
Saspens bermaksud peristiwa dalam cerita yang menimbulkan keadaan tertanya-tanya atau perasaan ingin tahu dalam kalangan pembaca tentang peristiwa yang akan berkalu selanjutnya. Dengan wujudnya perasaan ingin tahu, pembaca akan terus membaca karya tersebut.

Antara contoh saspens yang terdapat dalam novel ini adalah ketika Amera mendapat jambangan bunga daripada peminat misterinya. (Halaman 91 – 92)

Contoh seterusnya adalah tentang pendirian Hasnol dan tender yang disertai oleh Tengku Munir. Hasnol menerima ugutan daripada Tengku Munir supaya meluluskan permohonan tendernya dengan balasan akan diberi wang sebanyak tiga ratus ribu ringgit. (Halaman 146)

Terdapat juga unsur saspens apabila Datuk Dolhi teringat akan Wahi yang berada di Jepun. Pembaca tertanya-tanya dan ingin mengetahui siapakah sebenarnya Wahi.

Begitu juga rahsia Wahi yang disimpan oleh Datuk Dolhi, menimbulkan kebimbangan sekiranya Wahi enggan menerima hakikat itu. (Halaman 108)


5. Teknik Kejutan (surprise)
Kejutan bermaksud perubahan dalam urutan peristiwa yang berlaku secara tiba-tiba tanpa diduga. Pembaca terkejut akan peristiwa yang di luar jangkaan mereka. Kesan yang timbul daripada perubahan itu tidak sama dengan yang diduga oleh pembaca.

Antara contoh kejutan dalam novel ini adalah peristiwa Datuk Dolhi memberitahu bahawa Wahi adalah anaknya bersama isteri kedua kepada seisi rumah.

Malam itu seisi rumah Datuk Dolhi gempar apabila dia mengisytiharkan bahawa Wahi ialah anaknya daripada isteri kedua. Datin Tominah menangis teresak-esak. Dia menelefon saudar-maranya. Amera termenung panjang. Dani menggeleng-geleng. Hasnol tidak menjawap apa-apa apabila Datin Tominah memberitahu. Masing-masing menyimpan perasaan. (Halaman 176 – 177)

Pembaca juga terkejut dengan peristiwa Albert Lee, rakan kongsi dan sahabat Datuk Dolhi mengambil keputusan untuk keluar dari syarikat Dolhi – Albert Lee Holding.

Albert Lee yang tidak berpuas hati telah menuduh anak-anak Datuk Dolhi yang menyebabkan syarikat mereka merosot. Tindakan Ilham menyebabkan kontrak mereka dibatalkan. Penglibatan Hasnol dalam skandal rasuah menyebabkan pegawai-pegawai BPR menyiasat bagaimana Dolhi – Albert Holding mendapatkan tender-tender mereka. Kedatangan YB timbalan menteri ke dalam keluarga Datuk Dolhi tidak banyak membantu, malah mendatangkan kecurigaan pula.

Persahabatan Albert Lee dengan Datuk Dolhi terlerai begitu sahaja. Keputusan meletakkan Wahi di tempat Datuk Dolhi membuatkan Albert Lee tidak gembira, bahkan berasa terancam.
“Kita akan tarik diri, Robert,” kata Albert kepada anaknya.
(Halaman 212 – 213)


6. Teknik Monolog

Monolog bermaksud tutur atau pengucapan sesuatu watak, sama ada ditujukan kepada dirinya sendiri atau kepada orang lain.

Contoh monolog dalam novel ini adalah ketika Datuk Dolhi menatap kertas cadangan Wahi tentang Kawalan Mutu Menyeluruh (KMM);

“Macam-macam idea si Wahi ni,” bisik Datuk Dolhi.
(Halaman 65)

Datuk Dolhi juga bermonolog:

Kalaulah dia dapat menulis sebegitu, akan ditulisnya surat penjang lebar kepada anak-anaknya. Kepada Hasnol, dipintanya supaya meninggalkan perkhidmatan awam dan terjun segera ke dunia korporat. Kepada Ilham dipintanya supaya meninggalkan kerja yang sia-sia. Kepada Amera, dipintanya supaya memikirkan hari depan yang lebih cemerlang. Kepada Mukhlis, dipintanya supaya meninggalkan kesongsangan hidup. Kepada Dani, dipintanya supaya memikirkan muzik sebagai karier. Tiba-tiba Datuk Dolhi teringatkan Wahi di Tokyo. Apa khabar gerangan orang muda itu? Tekun sungguh dia… (Halaman 107 108)

Selain itu terdapat monolog dalaman Datuk Dolhi mengenangkan nasib orang Melayu dan anak-anaknya yang tidak gemar berniaga:

“Melayu … Melayu. Ya, allah, selamatkanlah Melayu di muka bumi ini.” Itulah ucapan Datuk Dolhi setiap kali dia mendengar kedangkalan orang Melayu.

Tidak boleh disalahkan orang lain juga, bisik hatinya. Lima orang anaknya juga buta niaga, buta usaha. Istilah bisnes tidak bercambah dalam otak mereka. Apakah dia mahu salahkan system pelajaran atau system masyarakat? Jangan! Orang berfikiran positif tidak akan menyalahkan orang lain. (Halaman 32)


7. Teknik Menamatkan Cerita
Dalam novel Renyah, pengarang menggunakan teknik penamat terbuka. Pengarang memberikan peluang kepada pembaca untuk menentukan kesudahan cerita dan cerita seolah-olah tergantung.
Pengarang mengakhiri cerita dengan:

Petang itu Datuk Dolhi mencari ketenangan sambil membilang satu per satu nama anaknya. Dia membayangkan masa depan Hasnol, Ilham, Amera, Mukhlis, dan Dani. Kemudian dia memikirkan hal Wahi. Kesemua mereka warisnya yang berpotensi, diberikan ppendidikan hingga ke institute pengajian tinggi. Berbanding dengan Wahi, anak-anaknya yang lain telah dibesarkan dengan limpahan kemewahan. Barangkali, itulah sebabnya mereka terbiasa dalam zon selesa. Wahi yang dibesarkan dalam zon yang penuh cabaran, akhirnya muncul sebagai pemuda yang berjiwa kental.

Datuk Dolhi memujuk hati, langit mana yang sentiasa cerah, bumi mana yang tidak ditimpa hujan. Dia berharap anak-anaknya akan bangkit membersihkan kesilapan lalu dan memantapkan peribadi demi meneruskan perjuangan hidup. Kepada Wahi, dia menaruh harapan yang tinggi agar anaknya itu dapat memperluaskan empayar perniagaannya. Moga dengan perluasan itu kelak, anak-anaknya yang lain akan tertarik untuk menerjuni bidang korporat sebagaimana yang diimpi-impikannya. Dia bermunajat kepada Allah Subhanahuwataala agar mereka sekeluarga diberikan hidayah untuk meneguhkan iman, sekali gus menempa kejayaan.

0 comments: