BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS
BAHASA JIWA BANGSA

Sunday, November 27, 2011

SINOPSIS NOVEL "Sutera Dalam Lukisan"

Bab 1 : Suratan yang Perlu Kuterima

Dia ke tepi sungai kecil itu. Sungai itu tidak begitu lebar, lebih kurang sembilan meter, airnya agak cetek, tidak sejernih dahulu tetapi masih tetap dingin dan segar. Kadang-kadang dia berada di tebing sungai itu untuk memancing. Ikan keli dan haruan menjadi kegemarannya. Tebing sungai itu juga menjadi tempat rehatnya, berbaring dan terlena sejak dahulu lagi, sejak opahnya masih hidup lagi dan hinggalah kepada kematian opahnya.

Kehadirannya ke tebing sungai itu hanya merupakan sebahagian daripada kehidupan hariannya. Pada hakikatnya makan minum, tidur baring atau sebarang pekerjaannya adalah tidak menentu. Penduduk kampung melihatnya sebagai seorang pemuda yang tidak berakal, tidak memiliki daya untuk berfikir atau mengatur kehidupan sendiri, bodoh dan dungu. Dia turut merasakan dirinya bodoh, dungu dan tidak berakal.

Namun, dalam dirinya, otaknya, hatinya dan perasaannya masih tersimpan benih-benih kemanusiaan. Kadangkala dia menyedari dirinya tidak sebodoh yang dituduh, tidak sedungu yang disangka malah akalnya masih berfungsi sebagai seorang insane biasa. Malangnya dia terus hanyut bersama sangka buruk yang tidak bertimbang rasa penduduk kampong.

Bapanya seorang tentera. Dia begitu berbangga dengan tugas bapanya hingga dia turut bercita-cita untuk mengikut jejak bapanya.
Tragedi pertama menimpanya : bapanya meninggal dunia dalam kemalangan
Di Lebuh Raya Karak. Jiwa dan perasaannya mulai terganggu. Ibunya membawa dia berpindah ke kampung. Didikan dan kasih sayang ibu serta kemesraan neneknya menjadi penawar kesedihannya ketika berada di desa hinggalah dia berjaya membuktikan dirinya sebagai murid yang cemerlang di sekolah.

Ibunya, Fatimah berkahwin dengan Harun. Fatimah memiliki rupa yang menarik, memiliki wang yang banyak hasil sumbangan yang diterima (pampasan daripada Angkatan Tentera atau sumbangan-sumbangan pihak lain), serta memiliki sebidang tanah pusaka yang ditinggalkan oleh bekas suaminya. Harun, seorang duda yang menjadi mandur di ladang kelapa sawit. Sesetengah pihak kesal kerana Fatimah bernikah dengan Harun. Mereka merasakan Fatimah telah membuat satu kesilapan. Beberapa bulan selepas berkahwin, Harun sudah memujuk Fatimah untuk membeli kereta. RM15,000.00 wang simpanan Fatimah diserahkan kepada Harun, suami yang tidak bertanggungjawab. Fatimah tetap yakin suaminya baik.

Belum setahun perkahwinan, Fatimah semakin terdedah dengan keburukan sikap suaminya. Harun tidak memberikan kasih sayang kepada anak tiri, malah menunjukkan kebenciannya dengan menganggap anak tirinya sebagai sampah yang menumpang. Fatimah alah dengan kegarangan Harun. Jiwa dan perasaannya terganggu setelah didera oleh perlakuan Harun. Fatimah terus memendam rasa kerana malu dengan jiran tetangga dan malu akan kesilapannya sendiri. Fatimah terus berlagak biasa, solah-olah bahagia dalam rumah tangga bersama-sama Harun.

Harun terus mendesak wang daripada Fatimah. Hampir keseluruhan wang simpanan isterinya sudah dikikis. Harun mulai memukul dan menyepak terajang Fatimah. Hal ini selalu disaksikan oleh anaknya.

Tragedi kedua atas dirinya berlaku pada suatu senja apabila bapa tirinya memaksa ibunya memberikan wang atau seutas rantai yang masih ada. Keengganan ibunya meyemarakkan kemarahan bapa tirinya hingga ibunya diterajang sampai pengsan. Dia bertindak menerkam bapa tirinya tetapi dia dilibas sehingga tercampak ke dinding dan seketika dia menjadi mamai. Bapa tirinya menyepak pelita sehingga bersemburan minyak tanah dan berlaku kebakaran. Dia melihat bapa tirinya tidak pun menunjukkan usaha untuk memadamkan api atau menyelamatkan ibunya. Dia cuba melawan api untuk menyelamatkan ibunya. Dirinya ditarik oleh orang untuk diselamatkan dan dia menjerit-jerit memanggil-manggil nama ibunya. Dia sempat mendengar suara batukan ibunya beberapa kali. Orang ramai tercegat memerhati tetapi masing-masing tidak dapat berbuat apa-apa.

Bapa tirinya mereka-reka cerita kepada orang ramai dengan menuduhnya bermain pelita hingga menyebabkan kebakaran bilik. Terdapat suara-suara yang menyokong tuduhan bapa tirinya dan tiada satu suarapun yang membelanya. Rumahnya semakin dibaham api. Tragedi pahit inilah yang selalu datang dalam ingatannya terutama ketika bersendirian di tebing sungai itu.

Tiba-tiba dia tersentak dengan bunyi motosikal Tuk Sidang yang melalui jambatan di situ. Dia pantas terjun ke dalam sungai dan membenamkan dirinya dalam air yang separas betis itu. Tuk Sidang hairan dan curiga melihat kelakuan anehnya itu.

0 comments: