BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS
BAHASA JIWA BANGSA

Sunday, September 4, 2011

Cahaya Aidil Fitri di SMK Kamil

'Satu hari di hari raya... ku lihat suci wajah ibuku...ku lihat kasih wajah ayahku...
Berkumandang dendangan lagu hari raya nyanyian M. Nasir. Kemerduan yang amat menusuk kalbu. Iramanya menyulami kemeriahan syawal yang diraikan oleh seluruh warga SMK Kamil pada hari ini. Turut bergema suara takbir di keheningan lokasi sambutan di legar kawasan Dataran Bestari dan kantin sekolah.

Indah panorama aidil fitri SMK Kamil. Ragam pakaian mengasyikkan mata memandang. Cantik. Berseri. Manis dan.....pelbagai fesyen. Kuih-muih yang menyelerakan dihidangkan mengikut kelas masing-masing. Aneka jenis hidangan membangkitkan selera kami. Jam 9.45 pagi dijadualkan bermula jamuan.

Tingkatan 5 Alfa tidak ketinggalan memeriahkan sambutan hari raya. Guru tingkatannya siapa lagi kalau bukan Pn. Rohana binti Mohd Noor. Jemputlah beramai-ramai ke meja hidangan kami. Nasi minyak, puding, kek, biskut dan ketupat tersedia untuk dinikmati oleh para pelajar dan guru. Lapangkanlah sekejap kekusutan fikiran dengan menjamu selera.

Aktiviti sambutan hari lebaran di SMK Kamil diadakan setiap tahun dengan meriahnya dan memang ditunggu-tunggu oleh para guru serta pelajar. Hubungan mesra terjalin antara pelajar dengan guru. Para pelajar bekerjasama membuat persiapan untuk memeriahkan sambutan pada hari ini. Moga-moga aktiviti ini akan menjadi tradisi SMK Kamil untuk thun-tahun berikutnya.

"Selamat Hari Raya Aidil Fitri, maaf zahir dan batin"

Friday, September 2, 2011

...tika disinggahi pengalaman ini..

Fajar Syawal 1432 Hijrah

Fajar syawal mendandan wajahnya pada hari yang keempat untuk diraikan oleh semua umat Islam. Kemeriahan meraikan syawal jelas kelihatan tika aku turut sama dalam barisan kenderaan sepanjang perjalanan menuju ke rumah tinggalan pusaka ayah dan bonda di pinggir bandar Kota Bharu. Kiranya inilah lumrah orang yang berduyun-duyun untuk menuju destinasi dalam kemeriahan mengunjungi sanak dan saudara pada hari lebaran. Ku kira tidak ketinggalan diselitkan juga dengan majlis walimatul urus ketika meraikan percutian di bulan syawal ini kerana dalam perjalanan itu bunga manggar menghiasi lorong dan simpang sebagai pandu arah para jemputan. Ehem..berbahagialah pasangan yang diijabkabulkan dan esok pun aku sekeluarga tidak ketinggalan menjadi jemputan majlis perkahwinan di Kg. Sungai Kelong. Semalam menyertai rombongan 'berlarak' ke Kg. Permatang Pusu, Melor. Nampaknya berbaris lagi.... Inilah kemeriahan hari lebaran namanya.

Kini aku di rumah tinggalan ayah dan bonda lagi. Aku memandang sekeliling rumah pusaka ini. Ada pokok pisangnya yang tumbang kerana ribut kelmarin. Bimbang akan merosakkan pagar rumah, pokok itu ditebang dan dibersihkan oleh suamiku. Sepohon pisang nangka turut tumbang seolah-olah menanti kepulangan kami dengan buahnya yang sudah menguning. Lumrahnya demikianlah ayah yang menanti kepulangan kami dengan tandan pisang nangka yang masak. Ada pohon durian belanda yang sedang subur dan pohon kelapanya yang berbuah lebat. Rumput memanjang dan pohon kunyitnya tidak subur lagi. Aku merindui ayah tatkala memandang sekeliling rumah ini. Pohon durian belanda itu baharu sahaja dia tanam. Pohonnya subur tapi ayah tiada lagi....

Wajah ibu masih membayangi dalam setiap sudut aku berada di rumah ini. Suaranya masih terngiang dan apa-apa sahaja yang menjadi kebiasaan ibu ketika di dapur dapat kurasakan hingga kini. Kami amat merasakan kehilangannya. Tiada lagi ketupat dan tapainya yang dapat kami bungkus tatkala menjelang hari raya. Di manakah daun palas? Dan di manakah daun getah? Nasi dagang gulai ikan aya ibu? Kami menyediakan juga nasi dagang tetapi yang pastinya tidak seenak yang ibu sediakan. Sepanjang ramadhan yang lalu kami amat merindui menu nasi kerabu dan ikan serta ayam percik ibu yang cukup istimewa buat kami adik beradik. Resepi itu kami cuba dan berbukalah puasa kami sekeluarga tanpa mereka berdua.

Tradisi berkumpul adik beradik terus kami kekalkan. Meraikan syawal bersama-sama. Kami menziarahi pusara mereka yang letaknya tidak jauh dari rumah. Doa dipanjatkan serta dibacakan ayat-ayat suci al-Quran. Ya, Allah semoga kedua-dua orang tua kami ditempatkan di dalam syurga-Mu. Ampunilah dosa mereka. Cucu-cucu arwah ayah dan ibu yang kecil ini ada antara mereka yang sudah mengerti dengan 'ketiadaan' ayah dan ibu. Yang sangat kecil itu mungkin sudah tidak mengingati memori kehidupan ayah dan ibu di rumah ini.

Hidangan sate, nasi impit, rendang dan mi goreng kami sediakan sebagai juadah enak meraikan syawal kali ini. Tidak ketinggalan tapai manis yang sempat aku buat. Bermain bunga api menghiasi gelak tawa anak-anak kecil di halaman rumah ayah dan ibu. Kami juga meneruskan tradisi ayah dan ibu berkunjung ke rumah Wak Lib, Mak Da, Mak Nik dan Pak Ngah. Juga rumah Ayah Wi dan Kak Zah.

Hari ini semua anak dan cucu ayah dan ibu akan berangkat untuk pulang ke destinasi masing-masing. Baba, Mama, Along dan Abang Iwan akan bertolak ke Kuala Lumpur. Cik Yi, Cik Maz, Kak Nadhirah, Angah, Humairah, Haziem dan Hakiem akan menyusur perjalanan pulang ke Puterajaya. Ayah Mie, Cik Sah, Kak Nani dan Nufail akan pulang ke Kuantan. Ayah Ka, Cik Ra, Kak Khaleeda, Abang Naeim, Kak Chik, Naqieb dan Baby Nasif sudahpun sampai di Kg. Rahmat, Terengganu. Manakala Pak Su Mat, Cik Su, Huda, Hana dan Baby Hadi meneruskan perjalanan pulang ke Lumut, Perak.

Rumah ini akan kosong, sunyi dan sepi kembali. Selamat tinggal semuanya. Kata Angah dan Huda, mereka sedih untuk meninggalkan rumah ini. Mereka suka berada di rumah Tok Ayah dan Mok. Bilakah pula mereka dapat berkumpul keembali, bermain bersama, mandi bersama dan makan bersama-sama? Kembali pula bila ada kelapangan waktu cuti. Kita teruskan berkumpul di rumah pusaka ini. Kami bahagia di sini. Banyak memori indah ayah dan ibu terakam di rumah ini. Kami adik beradik dilahirkan dan dibesarkan di sini. Ini kampung halaman kami. Kami merindui saat bersama-sama ibu dan ayah. Selamat tinggal ayah. Selamat tinggal ibu.