BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS
BAHASA JIWA BANGSA

Thursday, October 18, 2012

Oktober Oh Oktober!

19 Oktober 2012.  Cuti hari jumaat hingga ahad.  Sejak malam tadi hingga pagi ini hujan masih turun.  Sejuk yang menyamankan suasana.  Tenang mengiringi perjalanan penghulu segala hari pada hari ini.  Biarkan bahang yang membakar jiwa juga terpadam dengan kejernihan air hujan yang membasahi bumi ini. 

Bulan Oktober biasa dengan kehadirannya yang menuntut banyak perkara untuk disiapkan dan setiap hari bulan ini tersusun dengan penjadualan yang padat untuk guru serta pelajar-pelajar kami yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.  Inilah bulan terakhir untuk mereka bersiap siaga dan inilah bulan untuk para guru membekalkan mereka dengan tips maha penting dengan mencurahkan segala ilmu yang kami ada agar kelak A+ menjadi milik mereka.  Jika boleh, penjadualan terakhir di bulan Oktober ini tidak diganggu gugat dengan aktiviti-aktiviti lain yang boleh menghalang kami bersama-sama dengan mereka meneroka lagi topik-topik penting yang dijangka keluar dalam peperiksaan.  Ayuh! para pelajar ku..aturkan jadualmu dengan rapi sepanjang bulan ini.  Kedatangan November dan Disember bakal mencabar keintelektualan yang dimiliki oleh setiap daripada kamu.

Senarai aktiviti bermula pada 22 Oktober hingga 5 November:
-  Kilas Akhir
-  Simulasi Temuduga
-  Majlis Anugerah Kokurikulum dan Asrama
-  Jamuan Akhir Tahun
-  Solat Hajat Perdana
-  Majlis Izin Ilmu
-  Penyusunan Dewan Peperiksaan
-  Taklimat Peperiksaan

Friday, October 5, 2012

Haramain

Kenangan Setahun Lalu

Pagi 6 Oktober 2011 disapa dengan mengerjakan solat Subuh di sebuah masjid berdekatan dengan lapangan terbang Madinah.  Memang terasa asing, namun aku amat tersentuh dengan kehadiran kali pertama aku dan suami berada di bumi yang selama ini amat diimpikan untuk sampai.  Suasana di perkarangan masjid itu menyentuh jiwaku dan menyedarkan aku bahawa sekarang aku telah berada di tanah yang banyak menyimpan kisah kehidupan Rasulullah SAW.  Selesai solat, aku dan jemaah lain terus mendapatkan bas yang telah sedia menuggu untuk membawa kami ke hotel penginapan sepanjang lapan hari jadual yang ditetapkan untuk berada di Madinah.  Ku lihat bagasi-bagasi kami semuanya telah diangkut ke atas bumbung bas, suatu pemandangan yang tak pernah dilihat di negara kita.  Lapangan terbang Madinah ini tidaklah sebesar mana tetapi peranannya cukup penting kerana jelas terlihat urusan yang agak sibuk di terminalnya.  Aku bersama-sama dengan jemaah yang lain tiba di sini dengan pesawat KT20 yang berlepas dari KLIA pada pukul 1.30 pagi waktu Malaysia, 6 Oktober 2011.  Kami terus dibawa ke hotel penginapan, Dyar International Hotel.  Sarapan pagi pertama kami adalah di hotel ini. Cukup selesa menginap di sini, syukur alhamdulillah. 

Selesai urusan di hotel aku dan suami terus mengambil kesempatan untuk meninjau kawasan sekitar.  Sudah tentulah tempat pertama yang dicari oleh kami adalah lokasi Masjid Nabawi.  AllahhuAkbar.  Masjid Nabawi di hadapan mata kami.  Terpegun, terharu dan rasa sebak di dadaku.  Kami terus melangkah masuk dan ku kira belum begitu ramai orang di sini maka mudahlah bagi kami yang baru pertama kali tiba.  Aku dan suami solat zohor pertama di masjid suci ini.  Di perkarangan masjid telah terbuka payung-payung besarnya untuk meneduhkan para jemaah yang berada di sini.  Lantainya putih bermarmar.  Di hadapan setiap pintu masuk terdapat dua orang polis wanita yang bertugas.  Beg kami diperiksa untuk memastikan kami tidak membawa barang-barang yang dilarang seperti telefon mahupun kemera.  Di dalam masjid para jemaah khusyuk dengan ibadat masing-masing dan sempat aku melihat berpuluh-puluh tong air zamzam disediakan untuk setiap ruangan.  Aku mengambil peluang membasahi tekak, sejuk rasanya.  Di celah-celah para jemaah itulah aku menyempitkan diri untuk turut sama berada dalam masjid.  Selesai solat, aku keluar dan pandangan mata terus tertumpu ke arah ramainya para jemaah di perkarangan luar.  Penuh.  Andai kata kita terlambat sedikit sahaja untuk hadir, maka sudah pastilah di luar inilah perlu kita bentangkan sejadah untuk bersolat jemaah.  Daripada pelbagai bangsa dapat ku kenali dengan warna kulitnya, pertuturannya dan juga fizikal tubuh badan mereka.  Subhanallah, Maha Suci Allah.  AgamaMu telah menghimpun kami semua di sini ...Aku bersyukur kerana diberi kesempatan olehMu untuk turut berada di bumi Haramain ini.           

Wednesday, October 3, 2012

dari lukisan sekeping hati seorang guru...

 Pantun Lebaran

Lama sudah tidak ku ungkapkan bait-bait pantun menjadi nyanyian sekeping hatiku ketika libur.  Bukan lupa akan puisi itu tetapi kerana hambatan waktu yang meruntunku dengan tugas sebagai seorang guru.  Apatah lagi di bulan-bulan akhir persekolahan seperti ini kerap kali memerlukan tenaga yang lebih membuat persediaan kepada anak-anak didikku sebelum mereka dihantar ke dewan peperiksaan.  Namun pada malam ini beberapa rangkap pantun yang tersimpan akan ku taipkan untaiannya menjadi bingkisan di halaman ini.  Pantun ini sebenarnya telah ku cipta sempena sambutan Hari Raya Aidil Fitri peringkat SMK Kamil yang lalu.  Pantun-pantunnya dijual kepada para pelajar dan pelajar-pelajar yang dapat membeli pantun telah diberikan duit raya.  Bagus juga, setidak-tidaknya dapat menyuburkan budaya berpantun yang kian suram.

Tumbuh delima tepian paya
Di hujung titi banyak semalu
Takbir bergema di pagi raya
Mengapa hati tersentuh pilu?

Berselang palas bersama keman
Jinak rusa berteduh di rumpun
Wujudkah ikhlas tika bersalaman
Andai dosa setahun terhimpun?

Pohon bidara ditanam jiran
Rimbun kekwa tumbuh di sisi
Jamu selera di hari lebaran
Apa istimewa juadah tradisi?

Burung tekukur terbang di kota
Bersama tempua hinggap di hulu
Salam dihulur maaf dipinta
Tika bersua kenapa malu?

Tebang seraya dalam belukar
Terkena duri berasa pedih
Malam raya mercun dibakar
Terputus jari kenapa bersedih?

Gulai tenggiri dimasak mama
Dimakan enak hidangan jiran
Pagi Aidilfitri takbir bergema
Di mana letak kesucian lebaran?

Gadis selendang berjalan lemah
Wajah mencuit hati si tampan
Ketupat rendang tidak dijamah
Kenapa duit raya jadi harapan?

Jinak tempua di dahan betik
Hinggap rerama bersama nuri
Mama Pengetua berbaju cantik
Apakah nama fesyen diberi?