BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS
BAHASA JIWA BANGSA

Thursday, June 20, 2013

BUDAYA MASYARAKAT CINA MENDIDIK ANAK Karya : Sik Wei Chiet

Dalam zaman yang penuh pancaroba, isu kepentingan pencapaian akademik hangat diperkatakan di dada akhbar dan dalam rubrik-rubrik arus perdana.  Persaingan untuk memasuki universiti juga semakin hari semakin sengit.  Oleh hal yang demikian, pelajar telah berusaha bersungguh-sungguh untuk melayakkan diri melanjutkan pelajaran ke menara gading.  Walau bagaimanapun, sering kita mendengar bahawa masyarakat Cina lebih bijak atau berjaya berbanding masyarakat lain.  Adakah persepsi ini betul atau palsu?  Pada pendapat saya, semua pelajar adalah sama dan kejayaan adalah milik semua orang.  Hal ini kerana masyarakat Cina juga belajar di sekolah yang sama dengan masyarakat lain tetapi bukannya sekolah yang istimewa.  Terdapat beberapa kemungkinan yang boleh saya ambil bahawa budaya masyarakat Cina yang mungkin dianggap orang lain sebagai pencetus kejayaan.

Sebagaimana diketahui umum, masyarakat Cina datang ke Tanah Melayu untuk bekerja pada zaman dahulu kala.  Mereka harus bekerja dengan majikannya sehingga tamat tempoh.  Selepas itu mereka bebas bekerja dengan mana-mana majikan atau mengusahakan perniagaan.  Orang Cina yang ingin bekerja sendiri mesti berusaha dengan kuat berbanding orang lain kerana mereka datang dengan tangan kosong.  Mereka perlu mencari nafkah untuk menyara diri atau keluarga tanpa bantuan sesiapa.  Secara tidak langsung, kegigihan mereka luar biasa daripada orang lain kerana mereka tidak bergantung kepada orang lain kecuali diri sendiri.  Datuk nenek moyang masyarakat Cina amat suka bercerita dengan cucu-cicitnya tentang pengalaman jerih-perih yang dialami oleh mereka pada masa dahulu.

Thursday, May 30, 2013

Saat Ini Aku Sudah Menjejaki Sebuah Negara Nusantara

Lapangan Terbang Soekarno Hatta, Jakarta menyambut kedatangan kami yang menaiki penerbangan 701 Mandala Airline buat pertama kali.  Gugur gerimis ketika kami menjejakkan kaki di sini sekitar pukul 2.00 petang pada tanggal 27 Mei 2O13.  Seorang anak muda setia menjemput rombongan kami seramai 18 orang.  Memiliki perawakan yang cukup baik serta ganteng, lantas namanya diperkenalkan sebagai Uus Rusganda.

Kami mengisi tempat duduk masing-masing di dalam bas pariwisata yang akan membawa kami ke destinasi Restoran Bukit Randu Bandara untuk menikmati hidangan makan tengahari serta solat.  Selera terbuka melihat menu yang nampak begitu menyelerakan, ikan masak masam manis, sotong goreng celup tepung, ayam goreng dan beberapa lagi jenis masakan orang Indonesia.  Selesai solat kami terus bertolak ke Bandung, sebuah bandar yang keempat terbesar di Indonesia.  Perjalanan memakan masa yang agak panjang iaitu lebih tiga jam untuk sampai ke Bandung.  Aku mengambil peluang untuk melihat panorama tempatan sementara hari masih siang dan terpaksa berada dalam perjalanan yang jauh ini.  Wajah kota Jakarta di ambang sore aku tatapi hanya melalui jendela pariwisata .  Akhirnya kami tiba di bandar Bandung setelah malam menjelma dan tanpa membuang waktu kami  terus dibawa ke Toko Tiga untuk membeli-belah pelbagai jenis pakaian yang berkenan di hati.  Sehingga pintu kedai Toko Tiga itu hendak ditutup, barulah kami beredar untuk makan malam dan seterusnya dibawa ke hotel penginapan - Hotel V Bandung.

Friday, May 24, 2013

Selamat Bercuti 24 Mei - 8 Jun 2O13

Separuh penggal pertama persekolahan sudah berlalu.  Begitu pantas masa beredar.  Kalendar cuti bakal melakar aktiviti selama dua minggu.  Aduhai, pelajarku! Jangan silap percaturan mengisi waktu terluang ini kerana apabila bermula sahaja penggal kedua persekolahan, kita seolah-olah berlari jarak dekat 100 meter mengejar waktu yang semakin kencang pergerakannya.  Hinggalah para pelajar ku di tingkatan lima akan tersedar bahawa garisan waktu menghadapi peperiksaan SPM 2013 sudah berada hampir dengan mereka.  Jangan lelah dan rebah ketika itu.  Sebagai seorang guru yang mengajar kelas peperiksaan, aku sendiri pun tidak lepas dengan kejar mengejar waktu dalam usaha menyiapsiagakan para pelajar ku dengan latihan yang secukup-cukupnya sebelum tiba waktu peperiksaan.

Cutilah kerana kita diberi cuti.  Cikgu bercuti, pelajarpun bercuti.  Namun jadual cikgu rasanya tidak tersasar dalam waktu cuti ini.  Empat jabil lagi kertas peperiksaan Bahasa Melayu tingkatan empat PKBS 2 yang perlu diperiksa dan PBS mata pelajaran PSK tingkatan satu perlu disemak untuk dimasukkan markah.  Kepada para pelajar, penuhilah waktu cuti ini dengan membuat latihan yang diberi oleh guru serta latihan kendiri dan jangan lupa menghadiri kelas tambahan.  Cuti oh cuti!  Selamat bercuti.

Belasungkawa

24 Mei 2013, Jumaat - SMK Kamil kehilangan seorang guru yang dedikasi, En Zulkifli bin Ideris pagi tadi.  Ucapan takziah kepada seluruh keluarga arwah dan marilah bersama-sama kita sedekahkan al-Fatihah kepada arwah Cikgu Zul.   Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas rohnya serta ditempatkan bersama-sama dengan orang-orang yang beriman.  Arwah merupakan seorang guru cemerlang matematik di sekolah ini dan begitu komited dengan tugas.  Pemergian arwah amat dirasai oleh semua warga SMK Kamil.

Ayah Tercinta

Kelmarin, 23 Mei 2013 adalah hari khamis.  Tanggal ini memahatkan kenangan buat seorang ayah, Haji Mohd Noor bin Majid.  Genap dua tahun arwah ayah telah berada di alam barzakh.  Al-Fatihah.  Tarikh 23 Mei 2011 jatuh pada hari selasa dan ayah menghembuskan nafas terakhirnya lebih kurang pada pukul 6.00 petang.  Detik itu masih terasa baru sahaja aku melaluinya.  Bayangannya masih jelas di mata ini.  Suasana sedih dan sepi menyelubungi bilik sakit itu di Hospital Putrajaya.  Doktor dan jururawat berusaha merawat ayah, hinggalah saat kami dipanggil ke sisi katil ayah untuk mengucapkan syahadah kepada ayah.  Jangan tinggal kami ayah.....Namun Allah SWT lebih menyayanginya.

Tanpa ayah duga, dia telah memilih untuk berada di Putrajaya pada hari terakhirnya.  Malam itu urusan jenazah arwah ayah begitu dipermudahkan oleh Allah SWT.  Kami akan membawa pulang ayah ke kampung halaman.  Bersama jenazah ayah, aku menemaninya dalam kenderaan jenazah Hospital Putrajaya pulang ke Kota Bharu pada malam itu, lebih kurang 9.30 malam.  Sepanjang malam aku serta Bibik Dewi mendoakan serta membaca ayat-ayat suci al-Quran.  Air mataku turut gugur dalam perjalanan yang jauh pada malam itu.  Tanpa melelapkan mata, akhirnya kenderaan kami sampai ke rumah ayah lebih kurang pukul 5.30 pagi.  Waktu hampir subuh.  Kak Yah sudah bersedia menyambut ketibaan kami.  Jenazah ayah dibawa naik ke rumahnya sementara menunggu hari cerah untuk urusan pengebumian.  Kak Yah tidak dapat menahan sebak di dada, kesedihan terus meruntun kalbunya tatkala melihat jenazah ayah.  Apa tidaknya, kerana pemergian ayah ke Putrajaya itu dihantar oleh Kak Yah hingga ke lapangan terbang Pengkalan Chepa.  Mungkin gambaran lambaian terakhir ayah pada itu masih terbayang di matanya.  Dan pada pagi itu pula, apa yang Kak Yah lihatdan hadapi adalah sekujur jasad ayah yang sudah pergi buat selama-lamanya. 

Rumah kami diziarahi oleh sanak saudara ayah serta kenalannya yang sudah mengetahui pemergian ayah.  Pada pagi itu juga kami menyempurnakan urusan pengebumian arwah di tanah perkuburan yang letaknya tidak berapa jauh dari rumah kami.  Alhamdulillah semuanya berjalan dengan baik dan semua anak-anak ayah dapat berkumpul.  Kami mengadakan tahlil dan kebetulan pada waktu itu adalah cuti persekolahan.  Dapatlah kiranya kami semua berada lebih lama di rumah peninggalan ayah dan emak.  Aku mendoakan agar kedua-dua ibu dan ayah ditempatkan di dalam syurga-Mu Ya Allah.  Amin. 

Thursday, May 23, 2013

Sekudus Doa

Ya Allah wahai Tuhan kami,

Engkau permudahkanlah segala hajat dan permintaan kami.  Jadikanlah setiap seseorang daripada kami di kalangan hamba-hamba-Mu yang sentiasa memperoleh kejayaan dan kemenangan.  Janganlah engkau jadikan kami golongan yang menagih rezeki dari orang lain.  Ikatkan lidah orang yang memburuk-burukkan kami, Engkau pandulah kami dengan taufik-Mu.  Jadilah keredhaan-Mu sebagai teman dan sahabat kami.

Anugerahkanlah kepada kami dengan sifat kemuliaan dan kehebatan serta perkenankanlah doa kami dengan kadar segera.  Ya Allah, perkenankanlah doa kami.  Jadikanlah harapan kami sebagai realiti.

Wahai Tuhan yang menghilangkan dukacita, hilangkanlah, lenyapkanlah dari kami kesusahan, dukacita dan segala masalah kami, wahai Tuhan Yang Maha Hidup dan berdiri dengan sendiri.

Jadikanlah kami orang-orang yang mendengar kebaikan lantas bersegera melakukan kebaikan.  Dan jadikanlah kami orang yang mendengar dan mengetahui keburukan lantas bersegera meninggalkan keburukan.

Rabbana atina fi dunyaa ..............

Thursday, May 16, 2013

16 MEI 2013 - Guru Malaysia 1Aspirasi 1Agenda

Ucapan dini hari, "Selamat Hari Guru" kepada diri sendiri.  Hari ini merupakan ulang tahun ke-24 aku menyambut kedatangannya dalam lipatan sejarah profesion keguruan yang telah kuceburi sejak 16 Mei 1989.
Hari ini, hari yang sepatutnya disambut meriah oleh para pendidik bersama-sama dengan anak-anak didik, lain pula halnya di halaman SMK Kamil ini. 

Tuesday, April 30, 2013

Pertandingan SAHIBBA Peringkat Negeri Kelantan 2013

Semalam 30 April 2013, menjejaki halaman SMK Berangan, Tumpat bersama-sama dengan dua orang pelajar SMK Kamil untuk beradu nasib dalam pertandingan SAHIBBA peringkat negeri Kelantan 2013.  Turut diiringi oleh Pn. Hamnah Hanif sebagai guru pengiring.  Dua puluh orang peserta mewakili 10 daerah di Kelantan yang bertanding mendaftarkan diri di kaunter pendaftaran. 

SMK Kamil diwakili oleh Mohamad Nazrul Naim bin Saari dari tingkatan 3IS dan Mardhiah Afifah binti Mohd Aseri dari tingkatan 2IS.  Kedua-duanya telah aku pilih melalui pertandingan saringan yang diadakan di peringkat sekolah, juga melalui pertandingan sempena Bulan Bahasa SMK Kamil dan juga melalui latihan intensif sepanjang dua minggu sebelum pertandingan.  Kedua-duanya sentiasa mencatatkan markah yang tinggi berbanding dengan pelajar-pelajar lain yang menyertai pertandingan di peringkat sekolah.  Harapan untuk menang di peringkat negeri sentiasa berbunga di hati guru yang menjadi jurulatihnya.  Kami mengadakan latihan pada waktu petang sekitar pukul tiga hingga lima petang setiap hari walaupun sentiasa dihambat waktu kerana pelbagai urusan.  Terutamanya diriku sebagai guru yang mengajar kelas peperiksaan. Boleh dikatakan setiap waktu terluang itu aku gunakan untuk membuat persediaan kepada mereka berdua sebelum bermulanya pertandingan peringkat negeri.  Yang turut menerima tempias kesuntukan waktu ini adalah anak kecilku yang berusia tujuh tahun itu.  Aku tinggalkannya seorang diri di rumah pada sebelah petang hingga pukul 5.30 petang kerana dia keletihan untuk mengikuti diriku ke sekolah.  Ayahnya hanya akan pulang ke rumah setelah tamat waktu pejabat.  Kesian adik.....

Pertandingan yang berlangsung cukup sengit yang melibatkan empat pusingan, tambahan pula memakan masa hingga pukul 2.30 petang.  Kedua-dua pelajar itu ku lihat sedikit keletihan, maklum sahajalah kerana kami bertolak dari SMK Kamil sejak pukul 7.00 pagi lagi.  Sarapan sedikit ala kadar untuk mengisi perut agar tidak kosong.  Kepada Allah SWT kami panjatkan rasa kesyukuran kerana kedua-dua orang pelajar ini menunjukkan pencapaian yang terbaik kerana mendapat tempat pertama dengan menafikan kehebatan pelajar-pelajar dari daerah-daerah lain dalam pusingan awal, pusingan suku akhir dan pusingan separuh akhir.  Alhamdulillah dan mereka berdua melayakkan diri ke pusingan akhir.

Sebagai guru yang melatih mereka berdua, aku cukup berbangga dengan prestasi yang ditunjukkan oleh mereka.  Empat orang yang terpilih ke peringkat akhir ini diadili oleh seorang ketua juri dari PPD Kota Bharu, En Mohd Hazani bin Mahadi (SMK Badang).  Pertandingan akhir ini diwakili oleh dua orang pelajar dari PPD Pasir Puteh, seorang pelajar dari PPD Kota Bharu dan seorang pelajar dari PPD Tumpat.  Empat orang semuanya (seorang lelaki dan tiga orang perempuan) yang bertanding di peringkat akhir untuk dipilih seorang wakil negeri Kelantan ke pertandingan di peringkat kebangsaan yang akan berlangsung pada bulan Jun nanti.  Setiap pertandingan memakan masa hampir 45 minit - 60 minit.  Pertandingan SAHIBBA ini memang menguji kecekapan daya fikir seseorang pelajar, namun tidak dinafikan juga faktor 'kebertuahan' seseorang pelajar itu.  Dalam cabutan jubin giliran peserta, 'kebertuahan' Mardhiah Afifah dan Mohamad Nazrul Naim tidak menyebelahi mereka kerana mereka menjadi peserta nombor dua dan nombor tiga dalam pertandingan akhir itu.  Namun kedua-dua mereka adalah pelajar yang hebat dan tetap bertanding dengan cukup baik.

Penjumlahan markah oleh ketua juri memperlihatkan markah yang sama banyak dikutip oleh Mohamad Nazrul Naim dengan pelajar dari PPD Kota Bharu iaitu 284 mata untuk menetukan kedudukan tempat pertama dan tempat kedua.  Namun disebabkan pelajar dari PPD Kota Bharu itu dapat menghabiskan jubinnya lebih dahulu daripada Mohamad Nazrul Naim, maka ketua juri memutuskan bahawa pelajar dari PPD Kota Bharu itu sebagai Johan dan Mohamad Nazrul Naim sebagai Naib Johan.  Sedikit rasa terselinap di sanubari ini ..... namun sebagai seorang jurulatih, kita terima sahaja keputusan ini kerana keputusan hakim adalah muktamad.  Tidak boleh dibantah.  'Sebelah kaki telah kamu letakkan untuk melayakkan diri ke peringkat kebangsaan, namun kamu tarik kaki itu keluar balik...' Ini antara kata-kata gurauanku kepada Mohamad Nazrul Naim....

Keputusan akhir pertandingan SAHIBBA peringkat negeri Kelantan telapun diumumkan. Cikgu mengambil kesempatan mencoretkan kenangan pertandingan ini dan tahniah kepada MOHAMAD NAZRUL NAIM BIN SAARI yang berjaya muncul sebagai Naib Johan dengan mendapat sekeping sijil, hadiah iringan dan wang tunai sebanyak RM200.00.  Manakala MARDHIAH AFIFAH BINTI MOHD ASERI menduduki tempat keempat dengan memperoleh sekeping sijil, hadiah iringan dan wang tunai sebanyak RM50.00 ringgit.  Tahniah, cikgu berbangga dengan anda berdua kerana berjaya mengharumkan nama sekolah serta PPD Pasir Puteh.  Seterusnya cikgu berdoa agar anda berdua maju jaya dalam pelajaran, terutamanya Mohamad Nazrul Naim yang bakal menduduki PMR pada tahun ini.  Semoga sijil yang anda perolehi hari ini dapat melayakkan diri anda melanjutkan pelajaran ke tingkatan empat di sekolah-sekolah terbaik pada tahun hadapan.       

Thursday, October 18, 2012

Oktober Oh Oktober!

19 Oktober 2012.  Cuti hari jumaat hingga ahad.  Sejak malam tadi hingga pagi ini hujan masih turun.  Sejuk yang menyamankan suasana.  Tenang mengiringi perjalanan penghulu segala hari pada hari ini.  Biarkan bahang yang membakar jiwa juga terpadam dengan kejernihan air hujan yang membasahi bumi ini. 

Bulan Oktober biasa dengan kehadirannya yang menuntut banyak perkara untuk disiapkan dan setiap hari bulan ini tersusun dengan penjadualan yang padat untuk guru serta pelajar-pelajar kami yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.  Inilah bulan terakhir untuk mereka bersiap siaga dan inilah bulan untuk para guru membekalkan mereka dengan tips maha penting dengan mencurahkan segala ilmu yang kami ada agar kelak A+ menjadi milik mereka.  Jika boleh, penjadualan terakhir di bulan Oktober ini tidak diganggu gugat dengan aktiviti-aktiviti lain yang boleh menghalang kami bersama-sama dengan mereka meneroka lagi topik-topik penting yang dijangka keluar dalam peperiksaan.  Ayuh! para pelajar ku..aturkan jadualmu dengan rapi sepanjang bulan ini.  Kedatangan November dan Disember bakal mencabar keintelektualan yang dimiliki oleh setiap daripada kamu.

Senarai aktiviti bermula pada 22 Oktober hingga 5 November:
-  Kilas Akhir
-  Simulasi Temuduga
-  Majlis Anugerah Kokurikulum dan Asrama
-  Jamuan Akhir Tahun
-  Solat Hajat Perdana
-  Majlis Izin Ilmu
-  Penyusunan Dewan Peperiksaan
-  Taklimat Peperiksaan

Friday, October 5, 2012

Haramain

Kenangan Setahun Lalu

Pagi 6 Oktober 2011 disapa dengan mengerjakan solat Subuh di sebuah masjid berdekatan dengan lapangan terbang Madinah.  Memang terasa asing, namun aku amat tersentuh dengan kehadiran kali pertama aku dan suami berada di bumi yang selama ini amat diimpikan untuk sampai.  Suasana di perkarangan masjid itu menyentuh jiwaku dan menyedarkan aku bahawa sekarang aku telah berada di tanah yang banyak menyimpan kisah kehidupan Rasulullah SAW.  Selesai solat, aku dan jemaah lain terus mendapatkan bas yang telah sedia menuggu untuk membawa kami ke hotel penginapan sepanjang lapan hari jadual yang ditetapkan untuk berada di Madinah.  Ku lihat bagasi-bagasi kami semuanya telah diangkut ke atas bumbung bas, suatu pemandangan yang tak pernah dilihat di negara kita.  Lapangan terbang Madinah ini tidaklah sebesar mana tetapi peranannya cukup penting kerana jelas terlihat urusan yang agak sibuk di terminalnya.  Aku bersama-sama dengan jemaah yang lain tiba di sini dengan pesawat KT20 yang berlepas dari KLIA pada pukul 1.30 pagi waktu Malaysia, 6 Oktober 2011.  Kami terus dibawa ke hotel penginapan, Dyar International Hotel.  Sarapan pagi pertama kami adalah di hotel ini. Cukup selesa menginap di sini, syukur alhamdulillah. 

Selesai urusan di hotel aku dan suami terus mengambil kesempatan untuk meninjau kawasan sekitar.  Sudah tentulah tempat pertama yang dicari oleh kami adalah lokasi Masjid Nabawi.  AllahhuAkbar.  Masjid Nabawi di hadapan mata kami.  Terpegun, terharu dan rasa sebak di dadaku.  Kami terus melangkah masuk dan ku kira belum begitu ramai orang di sini maka mudahlah bagi kami yang baru pertama kali tiba.  Aku dan suami solat zohor pertama di masjid suci ini.  Di perkarangan masjid telah terbuka payung-payung besarnya untuk meneduhkan para jemaah yang berada di sini.  Lantainya putih bermarmar.  Di hadapan setiap pintu masuk terdapat dua orang polis wanita yang bertugas.  Beg kami diperiksa untuk memastikan kami tidak membawa barang-barang yang dilarang seperti telefon mahupun kemera.  Di dalam masjid para jemaah khusyuk dengan ibadat masing-masing dan sempat aku melihat berpuluh-puluh tong air zamzam disediakan untuk setiap ruangan.  Aku mengambil peluang membasahi tekak, sejuk rasanya.  Di celah-celah para jemaah itulah aku menyempitkan diri untuk turut sama berada dalam masjid.  Selesai solat, aku keluar dan pandangan mata terus tertumpu ke arah ramainya para jemaah di perkarangan luar.  Penuh.  Andai kata kita terlambat sedikit sahaja untuk hadir, maka sudah pastilah di luar inilah perlu kita bentangkan sejadah untuk bersolat jemaah.  Daripada pelbagai bangsa dapat ku kenali dengan warna kulitnya, pertuturannya dan juga fizikal tubuh badan mereka.  Subhanallah, Maha Suci Allah.  AgamaMu telah menghimpun kami semua di sini ...Aku bersyukur kerana diberi kesempatan olehMu untuk turut berada di bumi Haramain ini.           

Wednesday, October 3, 2012

dari lukisan sekeping hati seorang guru...

 Pantun Lebaran

Lama sudah tidak ku ungkapkan bait-bait pantun menjadi nyanyian sekeping hatiku ketika libur.  Bukan lupa akan puisi itu tetapi kerana hambatan waktu yang meruntunku dengan tugas sebagai seorang guru.  Apatah lagi di bulan-bulan akhir persekolahan seperti ini kerap kali memerlukan tenaga yang lebih membuat persediaan kepada anak-anak didikku sebelum mereka dihantar ke dewan peperiksaan.  Namun pada malam ini beberapa rangkap pantun yang tersimpan akan ku taipkan untaiannya menjadi bingkisan di halaman ini.  Pantun ini sebenarnya telah ku cipta sempena sambutan Hari Raya Aidil Fitri peringkat SMK Kamil yang lalu.  Pantun-pantunnya dijual kepada para pelajar dan pelajar-pelajar yang dapat membeli pantun telah diberikan duit raya.  Bagus juga, setidak-tidaknya dapat menyuburkan budaya berpantun yang kian suram.

Tumbuh delima tepian paya
Di hujung titi banyak semalu
Takbir bergema di pagi raya
Mengapa hati tersentuh pilu?

Berselang palas bersama keman
Jinak rusa berteduh di rumpun
Wujudkah ikhlas tika bersalaman
Andai dosa setahun terhimpun?

Pohon bidara ditanam jiran
Rimbun kekwa tumbuh di sisi
Jamu selera di hari lebaran
Apa istimewa juadah tradisi?

Burung tekukur terbang di kota
Bersama tempua hinggap di hulu
Salam dihulur maaf dipinta
Tika bersua kenapa malu?

Tebang seraya dalam belukar
Terkena duri berasa pedih
Malam raya mercun dibakar
Terputus jari kenapa bersedih?

Gulai tenggiri dimasak mama
Dimakan enak hidangan jiran
Pagi Aidilfitri takbir bergema
Di mana letak kesucian lebaran?

Gadis selendang berjalan lemah
Wajah mencuit hati si tampan
Ketupat rendang tidak dijamah
Kenapa duit raya jadi harapan?

Jinak tempua di dahan betik
Hinggap rerama bersama nuri
Mama Pengetua berbaju cantik
Apakah nama fesyen diberi?   

Monday, September 17, 2012

Adikku Terbang ke Turki

Ahh.. ku dengar suaranya sayu di hujung telefon!  Aku bertanyakan khabar dan katanya baik-baik sahaja.  Namun aku dapat merasakan adanya ruang kesedihan di hatinya untuk meninggalkan anak-anak yang masih kecil itu.  Demikian telahan ku tatkala mendapat panggilan daripada adik yang menetap di Putrajaya lebih kurang pukul 2.30 petang tadi.  Sebenarnya tersimpan hajat di hati ini untuk menghubunginya pada waktu malam nanti.  Rupa-rupanya dia terdahulu yang lebih pantas menghubungiku.  Kesempatan bercakap dengannya tentulah berkisar pada jadual pemergiannya ke Turki.  Aku tahu begitu berat kakinya untuk melangkah ke sana apatah lagi melihatkan lima orang anaknya yang masih kecil itu.  Sudah pasti agak sukar untuk dia berpisah buat sementara dengan si anak-anak ini.  Inilah pengorbanan yang terpaksa dia tempuhi demi memenuhi perjuangan menuntut ilmu ke puncak yang lebih tinggi.  Lantas aku teringatkan dia sewaktu zaman kanak-kanaknya dan ketika itu aku sedang menuntut di menara gading.  Dia seorang adik yang bercita-cita tinggi dan pada masa itu dia meluahkan impiannya untuk menjadi seorang profesor pada suatu hari kelak.  Dan hari ini telah tiba untuk aku melihat kejayaannya dalam bidang yang diceburinya walaupun bukan sebagai seorang profesor.  Aku turut berbangga.

Sebenarnya aku sendiri yang turut sayu tatkala adikku ini hendak berangkat esok.  Entah mengapa selesai sahaja solat asar petang ini, aku seakan menitiskan air mata.  Pemergiannya adalah untuk menuntut ilmu, menyambung kepakarannya dalam bidang perubatan ke peringkat yang lebih tinggi.  Hal ini sepatutnya tidak menyedihkan.  Namun, tersirat di sebalik kejayaan adikku ini adalah suatu rentetan sejarah keluarga kami yang sukar untuk kami ungkapkan kerana terlalu berliku cabarannya.  Berdiri bersama kejayaan adikku ini adalah keteguhan semangat emak dan ayah yang mengalir dalam denyut nadi kehidupan kami.  Kejayaan adikku ini adalah kejayaan emak dan ayah yang membesarkan kami dengan keringat keperitan hidup mereka.  Andai kata emak dan ayah masih ada pada hari ini, sudah pasti akan terukir mekar sekuntum senyuman mereka.  Namun apakan daya kerana kedua-dua insan yang kami cintai ini telah dijemput pergi oleh Yang Maha Pencipta.  Allah SWT lebih menyayangi mereka berdua.  Ingatan kepada mereka berdualah yang menyebabkan hatiku begitu sayu pada petang ini.

Inilah hadiah yang paling bernilai untuk arwah emak dan ayah.  Aturlah langkahmu untuk terbang ke Turki dan pulanglah nanti dengan kejayaan.  Halaman keluarga kita sedia menanti untuk ditaburi dengan jasa dan baktimu.  Sebagai seorang kakak yang mengalir dalam diri semangat, ketabahan dan kecintaan kepada emak dan ayah, aku mendoakan agar kesejahteraan mengiringi adikku, Dr Rosli.  Semoga pemergianmu bersama-sama dengan kerahmatan Allah SWT dan begitu juga keluarga yang ditinggalkan Cik Maz dan anak-anak akan sentiasa mendapat perlindungan-Nya.

Saturday, September 8, 2012

Laporan Sambil Belajar Kelab Pelancongan dan Persatuan Bahasa Melayu SMK Kamil

Pada 30hb. Ogos yang lalu seramai 36 orang pelajar SMK Kamil dari Kelab Pelancongan dan Persatuan Bahasa Melayu telah bertolak ke Kuala Lumpur untuk mengikuti aktiviti lawatan sambil belajar.  Rombongan ini turut disertai oleh empat orang guru penasihat iaitu Pn. Hjh. Maryani binti Yaacob, Pn. Siti Halimah binti Ismail, Pn. Hjh. Rohana binti Mohd. Noor dan En. Nik Ramani bin Nik Arshad.

Sunday, August 12, 2012

13 Ogos 2012 - SMK Kamil.  11.05 pagi hingga 11.25 pagi waktu rehat.  Bersama rakan mengikuti kelas tajwid yang dikelolakan oleh Ustaz Ahmad Tarmizi.  Sekejap sahaja masa berlalu sedangkan semakin banyak rupa-rupanya ilmu yang belum aku kuasai.  Sehingga habis bulan Ramadhan ini, akan tamatlah kelas ini.  Bilakah pula Ustaz akan mengadakan kelas seperti ini untuk kami semua?  Apa-apa pun ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada Ustaz yang sanggup mengajar kami.

Saturday, April 14, 2012

Ingat Mati

Firman Allah s.w.t yang bermaksud:

"Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sajalah disempurnakan pahalamu. Barang siapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka sungguh dia telah beruntung. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan."

(Surah Ali Imran: Ayat 185)

Thursday, April 12, 2012

Esok genap seminggu detik pahit yang menerjah kehidupan kami. Tempat suci untuk disinggahi oleh mereka yang ingin menunaikan ibadat kepada Allah SWT rupa-rupanya turut menjadi tarikan kepada syaitan yang bertopengkan wajah manusia. Bukan aku tidak diingatkan oleh kawan yang telah ditimpa musibah ini. Bukan sekali tetapi telah berkali-kali diingatkan agar berhati-hati tika singgah di Masjid Kubang Kerian. Namun entah kenapa pada hari kejadian itu seakan-akan pintu hati tertutup rapat untuk berfikir tentang keselamatan dan dengan kehendak suami yang yakin akan selamat maka beg ditinggalkan dalam bonet kereta. Lagipun tempat parkir itu di hadapan dan benar-benar dekat dengan kawasan laluan untuk jemaah menuju ke tangga masjid.

Apa yang kami jangka tidak sama dengan ketetapan Illahi. Keluar sahaja dari bilik air terus aku diberitahu oleh anak bahawa begku telah dilarikan dan telingaku menangkap bunyi alarm kereta yang masih kedengaran. Anakku menangis sambil memanggil-manggil ayahnya untuk diberitahu. Sekilas itu juga aku melihat cermin kereta yang telah dipecahkan. Jantungku berdegup sebagai isyarat bahawa begku sudah pasti tiada lagi dan dilarikan seperti yang dikatakan oleh anak kecilku yang berumur enam tahun itu. Dia terus menangis ketakutan.

Cermin bahagian depan tempat pemandu dipecahkan. Serpihan kaca yang halus bagai serbuk ajinomoto itu bertaburan di bahagian depan kereta dan bonet kereta ku buka. Sekali lagi jantung ku berdegup kuat bila sahaja melihat beg hitam itu telah tiada. Tiada kata-kata - kecewa, sedih dan marah. Sudah terjadi dan tertulis bahawa aku juga menerima nasib malang yang sama seperti yang dialami oleh kawanku, Zah pada bulan syawal yang lalu. Duit, telefon dan beberapa dokumen penting hilang lenyap dicuri.

Anakku agak trauma dengan kejadian ini. Di hadapan kereta itulah aku melihat mulutnya kumat-kamit membacakan doa. "Biar orang jahat itu mati masuk neraka", katanya. Orang jahat itu memakai baju hitam, pakai topi keledar dan motornya warna hijau. Kata-katanya begitu jelas. Anak yang sekecil itu pun sudah mengerti tentang kejahatan, dosa dan neraka. Syaitan yang bertopengkan manusia itu agaknya tidak mempunyai langsung roh keimanan dalam dirinya sehingga tergamak melakukan kejahatan demi kejahatan. Ingatlah bahawa Laporan polis telah kami buat pada petang itu juga.

Thursday, February 2, 2012

Prosa Klasik Tingkatan 5


HIKAYAT LANGLANG BUANA

Tema:


Percintaan anak raja
Raja Indera Bumaya sanggup menukarkan dirinya menjadi burung bayan semata-mata untuk menarik perhatian Tuan Puteri Mandu Ratna Dewi. Tuan Puteri Mandu Ratna Dewi tidak sanggup kehilangan Raja Indera Bumaya.


Persoalan:

1. Keberanian menghadapi cabaran.
Raja Indera Bumaya tidak gentar untuk menentang hulubalang
Raja Bahrum.

2. Kebijaksanaan mencari peluang.
Raja Indera Bumaya menjelmakan diri menjadi seekor burung
bayan agar dapat menghampiri Tuan Puteri Mandu Ratna Dewi.

Wednesday, January 25, 2012

Sepantun Hati

Aku mencoretkan 'Sepantun Hati' ini dek kerana mata yang tidak dapat dipejamkan walau hari sudah jauh malam. Kenangan kepada seorang rakan yang telah dijemputNya bermain dalam benak.
Jam lima petang tadi aku menerima panggilan telefon yang mengkhabarkan Cikgu Hajah Noorizam Yunus tenat di HRPZII, Kota Bharu. Dan menghampiri pukul 10 malam aku telah dikirimkan berita tentang kembalinya arwah kerahmatullah. Innalillahhiwainnailaihirrajiun. Janji Allah SWT tentang ajal kepada setiap hambaNya tidak akan tercepat mahupun terlambat walau sedetik. Al Fatihah aku baca untuk disedekahkan kepada arwah. Dia seorang yang lembut dan halus tutur kata. Terkenang kepadanya saat dia berkunjung ke rumah pada bulan Oktober 2011, ketika aku akan berangkat ke tanah suci. Kami bermaaf-maafan. Hari ini Kak Zan telah meninggalkan kami semua. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas rohnya dan ditempatkan bersama-sama dengan orang yang beriman di dalam syurga.
Detik kematian yang telah menjemput rakan membuatkan aku juga merasakan bahawa saat kematian itu juga hampir kepadaku. Segala-galanya menyedarkan aku betapa persiapan untuk bekal akhirat masih kurang dalam karungan hidupku. Setiap detik perjalanan aku mengharapkan agar dapat disuburkan dengan keimanan kepada Allah SWT dengan tidak berbelah bahagi.
Hatiku melontarkan bait-bait pantun ini agar dapat mewarnai kehidupan yang lebih mulia di sisi Allah SWT.

Nampak redup di hujung laman,

Tumbuh halia akar bersirat;
Batas hidup bertunjang iman,
Subur mulia di bumi akhirat.

Sekawan belida di bawah titian,
Di situ tempat orang menjala;
Bertaut arus di muara kematian,
Biarlah sarat mendayung pahala.

Dingin salju membelai rindu,
Cinta layu angkara khianat;
Jasad kaku di hujung sendu,
Ajal bertamu janjiNya tepat.

Pulang perantau ke damai desa,
Senyum mesra tangan berjabat;
Lipatan hidup mengusung dosa,
Siramlah taubat sebelum terlambat.

Tuesday, December 20, 2011

Semantik - Pasal 'buah'

Pasal 'buah'. Adakah anda sudah memahami maksudnya? Sila rujuk maksud yang diberi dan kemudian bina ayat yang gramatis dengan menggunakan frasa berikut.

buah kalam = karangan; tulisan

buah bibir = sebut-sebutan orang

buah butir = pokok pembicaraan (perbincangan dan lain-lain)

buah mulut = percakapan (perbualan) orang, buah bibir

buah fikiran = pendapat

buah hati = orang yang dikasihi, jantung hati


Berikut terdapat tiga peribahasa yang terkandung di dalamnya perkataan 'buah':

1. di mana buah masak di situ burung banyak tampil
Maksud : kalau kita sedang baik untung, banyak sahabat berkerumun


2. sebab buah dikenal pohonnya
Maksud : daripada pertuturan dan perangai seseorang, dapat diketahui asalnya


3. buah yang manis berulat di dalamnya
Maksud : mulut manis biasanya mengandung maksud yang jahat.

Sunday, December 4, 2011

Bahasa Melayu Kertas 2 SPM 2011

Soalan 3 : Pengetahuan dan Kemahiran Bahasa

Soalan 3 (a) Membina Ayat

Berikut adalah makna perkataan yang telah dirujuk Kamus Dewan sebagai panduan untuk memudahkan para pelajar membina ayat dengan gramatis.

i. cepumas = jumlah nilai hadiah (biasanya berupa wang terkumpul) yang terbesar yang mungkin dimenangi dalam sesuatu permainan, pertaruhan, dan sebagainya.

ii. halaju = kecepatan gerakan, kadar kecepatan;

iii. jejantas = jambatan (di atas jalan raya) untuk pejalan kaki melintas jalan.

iv. jenama = jenis barang yang memakai nama khas yang dikeluarkan oleh pengeluar (pembuat, pengilang) tertentu;

v. pawagam = akronim bagi panggung wayang gambar.

vi. purata = nilai yang diperoleh dengan membahagikan jumlah sebilangan kuantiti dengan bilangan kuantiti tersebut, hitung panjang;