Lapangan Terbang Soekarno Hatta, Jakarta menyambut kedatangan kami yang menaiki penerbangan 701 Mandala Airline buat pertama kali. Gugur gerimis ketika kami menjejakkan kaki di sini sekitar pukul 2.00 petang pada tanggal 27 Mei 2O13. Seorang anak muda setia menjemput rombongan kami seramai 18 orang. Memiliki perawakan yang cukup baik serta ganteng, lantas namanya diperkenalkan sebagai Uus Rusganda.
Kami mengisi tempat duduk masing-masing di dalam bas pariwisata yang akan membawa kami ke destinasi Restoran Bukit Randu Bandara untuk menikmati hidangan makan tengahari serta solat. Selera terbuka melihat menu yang nampak begitu menyelerakan, ikan masak masam manis, sotong goreng celup tepung, ayam goreng dan beberapa lagi jenis masakan orang Indonesia. Selesai solat kami terus bertolak ke Bandung, sebuah bandar yang keempat terbesar di Indonesia. Perjalanan memakan masa yang agak panjang iaitu lebih tiga jam untuk sampai ke Bandung. Aku mengambil peluang untuk melihat panorama tempatan sementara hari masih siang dan terpaksa berada dalam perjalanan yang jauh ini. Wajah kota Jakarta di ambang sore aku tatapi hanya melalui jendela pariwisata . Akhirnya kami tiba di bandar Bandung setelah malam menjelma dan tanpa membuang waktu kami terus dibawa ke Toko Tiga untuk membeli-belah pelbagai jenis pakaian yang berkenan di hati. Sehingga pintu kedai Toko Tiga itu hendak ditutup, barulah kami beredar untuk makan malam dan seterusnya dibawa ke hotel penginapan - Hotel V Bandung.
Thursday, May 30, 2013
Saat Ini Aku Sudah Menjejaki Sebuah Negara Nusantara
Posted by Rohana Mohd Noor at 11:37 AM 0 comments
Friday, May 24, 2013
Ayah Tercinta
Kelmarin, 23 Mei 2013 adalah hari khamis. Tanggal ini memahatkan kenangan buat seorang ayah, Haji Mohd Noor bin Majid. Genap dua tahun arwah ayah telah berada di alam barzakh. Al-Fatihah. Tarikh 23 Mei 2011 jatuh pada hari selasa dan ayah menghembuskan nafas terakhirnya lebih kurang pada pukul 6.00 petang. Detik itu masih terasa baru sahaja aku melaluinya. Bayangannya masih jelas di mata ini. Suasana sedih dan sepi menyelubungi bilik sakit itu di Hospital Putrajaya. Doktor dan jururawat berusaha merawat ayah, hinggalah saat kami dipanggil ke sisi katil ayah untuk mengucapkan syahadah kepada ayah. Jangan tinggal kami ayah.....Namun Allah SWT lebih menyayanginya.
Tanpa ayah duga, dia telah memilih untuk berada di Putrajaya pada hari terakhirnya. Malam itu urusan jenazah arwah ayah begitu dipermudahkan oleh Allah SWT. Kami akan membawa pulang ayah ke kampung halaman. Bersama jenazah ayah, aku menemaninya dalam kenderaan jenazah Hospital Putrajaya pulang ke Kota Bharu pada malam itu, lebih kurang 9.30 malam. Sepanjang malam aku serta Bibik Dewi mendoakan serta membaca ayat-ayat suci al-Quran. Air mataku turut gugur dalam perjalanan yang jauh pada malam itu. Tanpa melelapkan mata, akhirnya kenderaan kami sampai ke rumah ayah lebih kurang pukul 5.30 pagi. Waktu hampir subuh. Kak Yah sudah bersedia menyambut ketibaan kami. Jenazah ayah dibawa naik ke rumahnya sementara menunggu hari cerah untuk urusan pengebumian. Kak Yah tidak dapat menahan sebak di dada, kesedihan terus meruntun kalbunya tatkala melihat jenazah ayah. Apa tidaknya, kerana pemergian ayah ke Putrajaya itu dihantar oleh Kak Yah hingga ke lapangan terbang Pengkalan Chepa. Mungkin gambaran lambaian terakhir ayah pada itu masih terbayang di matanya. Dan pada pagi itu pula, apa yang Kak Yah lihatdan hadapi adalah sekujur jasad ayah yang sudah pergi buat selama-lamanya.
Rumah kami diziarahi oleh sanak saudara ayah serta kenalannya yang sudah mengetahui pemergian ayah. Pada pagi itu juga kami menyempurnakan urusan pengebumian arwah di tanah perkuburan yang letaknya tidak berapa jauh dari rumah kami. Alhamdulillah semuanya berjalan dengan baik dan semua anak-anak ayah dapat berkumpul. Kami mengadakan tahlil dan kebetulan pada waktu itu adalah cuti persekolahan. Dapatlah kiranya kami semua berada lebih lama di rumah peninggalan ayah dan emak. Aku mendoakan agar kedua-dua ibu dan ayah ditempatkan di dalam syurga-Mu Ya Allah. Amin.
Posted by Rohana Mohd Noor at 12:24 AM 0 comments
Friday, October 5, 2012
Haramain
Kenangan Setahun Lalu
Pagi 6 Oktober 2011 disapa dengan mengerjakan solat Subuh di sebuah masjid berdekatan dengan lapangan terbang Madinah. Memang terasa asing, namun aku amat tersentuh dengan kehadiran kali pertama aku dan suami berada di bumi yang selama ini amat diimpikan untuk sampai. Suasana di perkarangan masjid itu menyentuh jiwaku dan menyedarkan aku bahawa sekarang aku telah berada di tanah yang banyak menyimpan kisah kehidupan Rasulullah SAW. Selesai solat, aku dan jemaah lain terus mendapatkan bas yang telah sedia menuggu untuk membawa kami ke hotel penginapan sepanjang lapan hari jadual yang ditetapkan untuk berada di Madinah. Ku lihat bagasi-bagasi kami semuanya telah diangkut ke atas bumbung bas, suatu pemandangan yang tak pernah dilihat di negara kita. Lapangan terbang Madinah ini tidaklah sebesar mana tetapi peranannya cukup penting kerana jelas terlihat urusan yang agak sibuk di terminalnya. Aku bersama-sama dengan jemaah yang lain tiba di sini dengan pesawat KT20 yang berlepas dari KLIA pada pukul 1.30 pagi waktu Malaysia, 6 Oktober 2011. Kami terus dibawa ke hotel penginapan, Dyar International Hotel. Sarapan pagi pertama kami adalah di hotel ini. Cukup selesa menginap di sini, syukur alhamdulillah.
Selesai urusan di hotel aku dan suami terus mengambil kesempatan untuk meninjau kawasan sekitar. Sudah tentulah tempat pertama yang dicari oleh kami adalah lokasi Masjid Nabawi. AllahhuAkbar. Masjid Nabawi di hadapan mata kami. Terpegun, terharu dan rasa sebak di dadaku. Kami terus melangkah masuk dan ku kira belum begitu ramai orang di sini maka mudahlah bagi kami yang baru pertama kali tiba. Aku dan suami solat zohor pertama di masjid suci ini. Di perkarangan masjid telah terbuka payung-payung besarnya untuk meneduhkan para jemaah yang berada di sini. Lantainya putih bermarmar. Di hadapan setiap pintu masuk terdapat dua orang polis wanita yang bertugas. Beg kami diperiksa untuk memastikan kami tidak membawa barang-barang yang dilarang seperti telefon mahupun kemera. Di dalam masjid para jemaah khusyuk dengan ibadat masing-masing dan sempat aku melihat berpuluh-puluh tong air zamzam disediakan untuk setiap ruangan. Aku mengambil peluang membasahi tekak, sejuk rasanya. Di celah-celah para jemaah itulah aku menyempitkan diri untuk turut sama berada dalam masjid. Selesai solat, aku keluar dan pandangan mata terus tertumpu ke arah ramainya para jemaah di perkarangan luar. Penuh. Andai kata kita terlambat sedikit sahaja untuk hadir, maka sudah pastilah di luar inilah perlu kita bentangkan sejadah untuk bersolat jemaah. Daripada pelbagai bangsa dapat ku kenali dengan warna kulitnya, pertuturannya dan juga fizikal tubuh badan mereka. Subhanallah, Maha Suci Allah. AgamaMu telah menghimpun kami semua di sini ...Aku bersyukur kerana diberi kesempatan olehMu untuk turut berada di bumi Haramain ini.
Posted by Rohana Mohd Noor at 10:03 PM 0 comments
Monday, September 17, 2012
Adikku Terbang ke Turki
Ahh.. ku dengar suaranya sayu di hujung telefon! Aku bertanyakan khabar dan katanya baik-baik sahaja. Namun aku dapat merasakan adanya ruang kesedihan di hatinya untuk meninggalkan anak-anak yang masih kecil itu. Demikian telahan ku tatkala mendapat panggilan daripada adik yang menetap di Putrajaya lebih kurang pukul 2.30 petang tadi. Sebenarnya tersimpan hajat di hati ini untuk menghubunginya pada waktu malam nanti. Rupa-rupanya dia terdahulu yang lebih pantas menghubungiku. Kesempatan bercakap dengannya tentulah berkisar pada jadual pemergiannya ke Turki. Aku tahu begitu berat kakinya untuk melangkah ke sana apatah lagi melihatkan lima orang anaknya yang masih kecil itu. Sudah pasti agak sukar untuk dia berpisah buat sementara dengan si anak-anak ini. Inilah pengorbanan yang terpaksa dia tempuhi demi memenuhi perjuangan menuntut ilmu ke puncak yang lebih tinggi. Lantas aku teringatkan dia sewaktu zaman kanak-kanaknya dan ketika itu aku sedang menuntut di menara gading. Dia seorang adik yang bercita-cita tinggi dan pada masa itu dia meluahkan impiannya untuk menjadi seorang profesor pada suatu hari kelak. Dan hari ini telah tiba untuk aku melihat kejayaannya dalam bidang yang diceburinya walaupun bukan sebagai seorang profesor. Aku turut berbangga.
Sebenarnya aku sendiri yang turut sayu tatkala adikku ini hendak berangkat esok. Entah mengapa selesai sahaja solat asar petang ini, aku seakan menitiskan air mata. Pemergiannya adalah untuk menuntut ilmu, menyambung kepakarannya dalam bidang perubatan ke peringkat yang lebih tinggi. Hal ini sepatutnya tidak menyedihkan. Namun, tersirat di sebalik kejayaan adikku ini adalah suatu rentetan sejarah keluarga kami yang sukar untuk kami ungkapkan kerana terlalu berliku cabarannya. Berdiri bersama kejayaan adikku ini adalah keteguhan semangat emak dan ayah yang mengalir dalam denyut nadi kehidupan kami. Kejayaan adikku ini adalah kejayaan emak dan ayah yang membesarkan kami dengan keringat keperitan hidup mereka. Andai kata emak dan ayah masih ada pada hari ini, sudah pasti akan terukir mekar sekuntum senyuman mereka. Namun apakan daya kerana kedua-dua insan yang kami cintai ini telah dijemput pergi oleh Yang Maha Pencipta. Allah SWT lebih menyayangi mereka berdua. Ingatan kepada mereka berdualah yang menyebabkan hatiku begitu sayu pada petang ini.
Inilah hadiah yang paling bernilai untuk arwah emak dan ayah. Aturlah langkahmu untuk terbang ke Turki dan pulanglah nanti dengan kejayaan. Halaman keluarga kita sedia menanti untuk ditaburi dengan jasa dan baktimu. Sebagai seorang kakak yang mengalir dalam diri semangat, ketabahan dan kecintaan kepada emak dan ayah, aku mendoakan agar kesejahteraan mengiringi adikku, Dr Rosli. Semoga pemergianmu bersama-sama dengan kerahmatan Allah SWT dan begitu juga keluarga yang ditinggalkan Cik Maz dan anak-anak akan sentiasa mendapat perlindungan-Nya.
Posted by Rohana Mohd Noor at 5:55 AM 0 comments
Friday, September 2, 2011
...tika disinggahi pengalaman ini..
Fajar Syawal 1432 Hijrah
Fajar syawal mendandan wajahnya pada hari yang keempat untuk diraikan oleh semua umat Islam. Kemeriahan meraikan syawal jelas kelihatan tika aku turut sama dalam barisan kenderaan sepanjang perjalanan menuju ke rumah tinggalan pusaka ayah dan bonda di pinggir bandar Kota Bharu. Kiranya inilah lumrah orang yang berduyun-duyun untuk menuju destinasi dalam kemeriahan mengunjungi sanak dan saudara pada hari lebaran. Ku kira tidak ketinggalan diselitkan juga dengan majlis walimatul urus ketika meraikan percutian di bulan syawal ini kerana dalam perjalanan itu bunga manggar menghiasi lorong dan simpang sebagai pandu arah para jemputan. Ehem..berbahagialah pasangan yang diijabkabulkan dan esok pun aku sekeluarga tidak ketinggalan menjadi jemputan majlis perkahwinan di Kg. Sungai Kelong. Semalam menyertai rombongan 'berlarak' ke Kg. Permatang Pusu, Melor. Nampaknya berbaris lagi.... Inilah kemeriahan hari lebaran namanya.
Kini aku di rumah tinggalan ayah dan bonda lagi. Aku memandang sekeliling rumah pusaka ini. Ada pokok pisangnya yang tumbang kerana ribut kelmarin. Bimbang akan merosakkan pagar rumah, pokok itu ditebang dan dibersihkan oleh suamiku. Sepohon pisang nangka turut tumbang seolah-olah menanti kepulangan kami dengan buahnya yang sudah menguning. Lumrahnya demikianlah ayah yang menanti kepulangan kami dengan tandan pisang nangka yang masak. Ada pohon durian belanda yang sedang subur dan pohon kelapanya yang berbuah lebat. Rumput memanjang dan pohon kunyitnya tidak subur lagi. Aku merindui ayah tatkala memandang sekeliling rumah ini. Pohon durian belanda itu baharu sahaja dia tanam. Pohonnya subur tapi ayah tiada lagi....
Wajah ibu masih membayangi dalam setiap sudut aku berada di rumah ini. Suaranya masih terngiang dan apa-apa sahaja yang menjadi kebiasaan ibu ketika di dapur dapat kurasakan hingga kini. Kami amat merasakan kehilangannya. Tiada lagi ketupat dan tapainya yang dapat kami bungkus tatkala menjelang hari raya. Di manakah daun palas? Dan di manakah daun getah? Nasi dagang gulai ikan aya ibu? Kami menyediakan juga nasi dagang tetapi yang pastinya tidak seenak yang ibu sediakan. Sepanjang ramadhan yang lalu kami amat merindui menu nasi kerabu dan ikan serta ayam percik ibu yang cukup istimewa buat kami adik beradik. Resepi itu kami cuba dan berbukalah puasa kami sekeluarga tanpa mereka berdua.
Tradisi berkumpul adik beradik terus kami kekalkan. Meraikan syawal bersama-sama. Kami menziarahi pusara mereka yang letaknya tidak jauh dari rumah. Doa dipanjatkan serta dibacakan ayat-ayat suci al-Quran. Ya, Allah semoga kedua-dua orang tua kami ditempatkan di dalam syurga-Mu. Ampunilah dosa mereka. Cucu-cucu arwah ayah dan ibu yang kecil ini ada antara mereka yang sudah mengerti dengan 'ketiadaan' ayah dan ibu. Yang sangat kecil itu mungkin sudah tidak mengingati memori kehidupan ayah dan ibu di rumah ini.
Hidangan sate, nasi impit, rendang dan mi goreng kami sediakan sebagai juadah enak meraikan syawal kali ini. Tidak ketinggalan tapai manis yang sempat aku buat. Bermain bunga api menghiasi gelak tawa anak-anak kecil di halaman rumah ayah dan ibu. Kami juga meneruskan tradisi ayah dan ibu berkunjung ke rumah Wak Lib, Mak Da, Mak Nik dan Pak Ngah. Juga rumah Ayah Wi dan Kak Zah.
Hari ini semua anak dan cucu ayah dan ibu akan berangkat untuk pulang ke destinasi masing-masing. Baba, Mama, Along dan Abang Iwan akan bertolak ke Kuala Lumpur. Cik Yi, Cik Maz, Kak Nadhirah, Angah, Humairah, Haziem dan Hakiem akan menyusur perjalanan pulang ke Puterajaya. Ayah Mie, Cik Sah, Kak Nani dan Nufail akan pulang ke Kuantan. Ayah Ka, Cik Ra, Kak Khaleeda, Abang Naeim, Kak Chik, Naqieb dan Baby Nasif sudahpun sampai di Kg. Rahmat, Terengganu. Manakala Pak Su Mat, Cik Su, Huda, Hana dan Baby Hadi meneruskan perjalanan pulang ke Lumut, Perak.
Rumah ini akan kosong, sunyi dan sepi kembali. Selamat tinggal semuanya. Kata Angah dan Huda, mereka sedih untuk meninggalkan rumah ini. Mereka suka berada di rumah Tok Ayah dan Mok. Bilakah pula mereka dapat berkumpul keembali, bermain bersama, mandi bersama dan makan bersama-sama? Kembali pula bila ada kelapangan waktu cuti. Kita teruskan berkumpul di rumah pusaka ini. Kami bahagia di sini. Banyak memori indah ayah dan ibu terakam di rumah ini. Kami adik beradik dilahirkan dan dibesarkan di sini. Ini kampung halaman kami. Kami merindui saat bersama-sama ibu dan ayah. Selamat tinggal ayah. Selamat tinggal ibu.
Posted by Rohana Mohd Noor at 1:15 AM 0 comments
Tuesday, August 2, 2011
...tika disinggahi pengalaman ini...
Ramadhan 1432H
Ramadhan menjenguk lagi. Senyumanmu ku sambut dengan rasa kesyahduan yang sukar untuk diungkapkan. Mengerti dengan seribu rahmat yang datang bersamamu. Bulan keampunan, bulan kerahmatan dan bulan keberkatan....Mampukah aku menyusuri kemuliaan bulan ini dengan ibadah yang paling tinggi tahapnya kepadaMu?
Tiga hari telahku menghampiri ramadhanMu, namun aku belum merasakan bahawa kudrat ini telah cukup untuk membuatkan aku merasa berpuas hati menempatkan diriku hampir denganMu. Niat dan cita-cita sentiasa berakar dalam kerdil diriku ini untuk menggapai cinta di bulan ini. Datanglah kepadaku dengan bekal usaha mencari nurMu tanpa rasa penat atau kemalasan ini Engkau tariklah pergi daripada diriku.
Posted by Rohana Mohd Noor at 7:57 PM 0 comments