BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS
BAHASA JIWA BANGSA
Showing posts with label KARYA PELAJAR. Show all posts
Showing posts with label KARYA PELAJAR. Show all posts

Thursday, June 20, 2013

BUDAYA MASYARAKAT CINA MENDIDIK ANAK Karya : Sik Wei Chiet

Dalam zaman yang penuh pancaroba, isu kepentingan pencapaian akademik hangat diperkatakan di dada akhbar dan dalam rubrik-rubrik arus perdana.  Persaingan untuk memasuki universiti juga semakin hari semakin sengit.  Oleh hal yang demikian, pelajar telah berusaha bersungguh-sungguh untuk melayakkan diri melanjutkan pelajaran ke menara gading.  Walau bagaimanapun, sering kita mendengar bahawa masyarakat Cina lebih bijak atau berjaya berbanding masyarakat lain.  Adakah persepsi ini betul atau palsu?  Pada pendapat saya, semua pelajar adalah sama dan kejayaan adalah milik semua orang.  Hal ini kerana masyarakat Cina juga belajar di sekolah yang sama dengan masyarakat lain tetapi bukannya sekolah yang istimewa.  Terdapat beberapa kemungkinan yang boleh saya ambil bahawa budaya masyarakat Cina yang mungkin dianggap orang lain sebagai pencetus kejayaan.

Sebagaimana diketahui umum, masyarakat Cina datang ke Tanah Melayu untuk bekerja pada zaman dahulu kala.  Mereka harus bekerja dengan majikannya sehingga tamat tempoh.  Selepas itu mereka bebas bekerja dengan mana-mana majikan atau mengusahakan perniagaan.  Orang Cina yang ingin bekerja sendiri mesti berusaha dengan kuat berbanding orang lain kerana mereka datang dengan tangan kosong.  Mereka perlu mencari nafkah untuk menyara diri atau keluarga tanpa bantuan sesiapa.  Secara tidak langsung, kegigihan mereka luar biasa daripada orang lain kerana mereka tidak bergantung kepada orang lain kecuali diri sendiri.  Datuk nenek moyang masyarakat Cina amat suka bercerita dengan cucu-cicitnya tentang pengalaman jerih-perih yang dialami oleh mereka pada masa dahulu.

Sunday, January 16, 2011

SAJAK BUAT CIKGU ROHANA

Sekeping hati berbisik. Inilah keharuman yang telah ditinggalkan oleh seseorang yang bergelar guru. Pulangannya bukan berkeping-keping nota berharga. Juga bukan material ukiran berharga di badan. Namun sekeping hati seorang guru itu amat bahagia tatkala menerima titipan maya daripada seorang anak murid yang dikasihi. Demikian aku rasakan ketika menerima seulas mesej berbentuk sajak pada petang tadi. Di sini aku ukirkan bait-bait indah kiriman anak murid tercinta:

SAJAK BUAT CIKGU ROHANA
Karya : Farha Mohamad
(5 Pluto Tahun 2010)

Jasamu bagaikan lautan,
terlalu luas dan dalam,
kasih sayangmu begitu agung,
yang meniti setiap suka dan duka,
tidak dapat kubalas.

Bagaikan pasir pantai,
yang sukar untuk dihitung,
begitulah pengorbanan,
yang kutuntut setiap kali,
aku melihat alam.

Kejayaan ini adalah titik mulia,
untuk memperoleh kejayaan lebih cemerlang,
pada hari-hari mendatang.

Hari semalam,hari ini dan hari mendatang,
bisikanmu guru masih menjadi keramat,
mengatur langkah menuju haluan.

Terima kasih,GURU
sepanjang hayat,namamu tetap wangi di ingatan.

Saturday, December 4, 2010

KARYA PELAJAR

Pantun 1Malaysia
Oleh : Azreen Afiza binti Jaffri
5 PLUTO 2010

Peria banyak di tepi telaga
Dicelur menjadi ulam-ulaman
Malaysia terulung seluruh negara
Perpaduan kaum amat diterapkan.

Ceria suria terang cahaya
Semua gembira sukalah hati
1Malaysia konsep utama
Biarlah kekal di dalam hati.

Sampin sutera tanda balas
Tandanya cinta sudah diikat
Pemimpin bekerja mestilah ikhlas
Pencapaiannya itu dinilai rakyat.

Kelapa dara kelapa tua
Sedapnya isi, airnya tumpah
Di mana lagi negara tercinta
Malaysia bumi tumpah darah.

Hujan turun renyai-renyai
Membasahi bumi dingin terasa
Malaysia kini aman dan damai
Rakyat bersatu membina bangsa.

Sambal tempoyak enak dimakan
Dicicah pula dengan peria
Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan
Itulah konsep 1Malaysia.

Anak kucing makan ikan
Makan pula di tepi tangga
Perdana Menteri selalu mengatakan
Budi bahasa budaya kita.

Buah mangga masaknya ranum
Dipetik pula oleh Pak Isa
Warga Malaysia mestilah kagum
Mempunyai rakyat berbilang banga.

Buah jambu dicuri kera
Dilastik Pak Samad terus mati
1Malaysia, satu suara
Semua bangsa bersatu hati.

Indah nian pemandangan desa
Sawah menghijau, sungainya jernih
Hidup bermuafakat amalan bersama
Bukti perpaduan tidak disisih.

Ombak berlagu memukul pantai
Memukau pandangan setiap insan
Warga Malaysia mestilah pandai
Mencapai matlamat di masa hadapan.