BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS
BAHASA JIWA BANGSA

Sunday, September 4, 2011

Cahaya Aidil Fitri di SMK Kamil

'Satu hari di hari raya... ku lihat suci wajah ibuku...ku lihat kasih wajah ayahku...
Berkumandang dendangan lagu hari raya nyanyian M. Nasir. Kemerduan yang amat menusuk kalbu. Iramanya menyulami kemeriahan syawal yang diraikan oleh seluruh warga SMK Kamil pada hari ini. Turut bergema suara takbir di keheningan lokasi sambutan di legar kawasan Dataran Bestari dan kantin sekolah.

Indah panorama aidil fitri SMK Kamil. Ragam pakaian mengasyikkan mata memandang. Cantik. Berseri. Manis dan.....pelbagai fesyen. Kuih-muih yang menyelerakan dihidangkan mengikut kelas masing-masing. Aneka jenis hidangan membangkitkan selera kami. Jam 9.45 pagi dijadualkan bermula jamuan.

Tingkatan 5 Alfa tidak ketinggalan memeriahkan sambutan hari raya. Guru tingkatannya siapa lagi kalau bukan Pn. Rohana binti Mohd Noor. Jemputlah beramai-ramai ke meja hidangan kami. Nasi minyak, puding, kek, biskut dan ketupat tersedia untuk dinikmati oleh para pelajar dan guru. Lapangkanlah sekejap kekusutan fikiran dengan menjamu selera.

Aktiviti sambutan hari lebaran di SMK Kamil diadakan setiap tahun dengan meriahnya dan memang ditunggu-tunggu oleh para guru serta pelajar. Hubungan mesra terjalin antara pelajar dengan guru. Para pelajar bekerjasama membuat persiapan untuk memeriahkan sambutan pada hari ini. Moga-moga aktiviti ini akan menjadi tradisi SMK Kamil untuk thun-tahun berikutnya.

"Selamat Hari Raya Aidil Fitri, maaf zahir dan batin"

Friday, September 2, 2011

...tika disinggahi pengalaman ini..

Fajar Syawal 1432 Hijrah

Fajar syawal mendandan wajahnya pada hari yang keempat untuk diraikan oleh semua umat Islam. Kemeriahan meraikan syawal jelas kelihatan tika aku turut sama dalam barisan kenderaan sepanjang perjalanan menuju ke rumah tinggalan pusaka ayah dan bonda di pinggir bandar Kota Bharu. Kiranya inilah lumrah orang yang berduyun-duyun untuk menuju destinasi dalam kemeriahan mengunjungi sanak dan saudara pada hari lebaran. Ku kira tidak ketinggalan diselitkan juga dengan majlis walimatul urus ketika meraikan percutian di bulan syawal ini kerana dalam perjalanan itu bunga manggar menghiasi lorong dan simpang sebagai pandu arah para jemputan. Ehem..berbahagialah pasangan yang diijabkabulkan dan esok pun aku sekeluarga tidak ketinggalan menjadi jemputan majlis perkahwinan di Kg. Sungai Kelong. Semalam menyertai rombongan 'berlarak' ke Kg. Permatang Pusu, Melor. Nampaknya berbaris lagi.... Inilah kemeriahan hari lebaran namanya.

Kini aku di rumah tinggalan ayah dan bonda lagi. Aku memandang sekeliling rumah pusaka ini. Ada pokok pisangnya yang tumbang kerana ribut kelmarin. Bimbang akan merosakkan pagar rumah, pokok itu ditebang dan dibersihkan oleh suamiku. Sepohon pisang nangka turut tumbang seolah-olah menanti kepulangan kami dengan buahnya yang sudah menguning. Lumrahnya demikianlah ayah yang menanti kepulangan kami dengan tandan pisang nangka yang masak. Ada pohon durian belanda yang sedang subur dan pohon kelapanya yang berbuah lebat. Rumput memanjang dan pohon kunyitnya tidak subur lagi. Aku merindui ayah tatkala memandang sekeliling rumah ini. Pohon durian belanda itu baharu sahaja dia tanam. Pohonnya subur tapi ayah tiada lagi....

Wajah ibu masih membayangi dalam setiap sudut aku berada di rumah ini. Suaranya masih terngiang dan apa-apa sahaja yang menjadi kebiasaan ibu ketika di dapur dapat kurasakan hingga kini. Kami amat merasakan kehilangannya. Tiada lagi ketupat dan tapainya yang dapat kami bungkus tatkala menjelang hari raya. Di manakah daun palas? Dan di manakah daun getah? Nasi dagang gulai ikan aya ibu? Kami menyediakan juga nasi dagang tetapi yang pastinya tidak seenak yang ibu sediakan. Sepanjang ramadhan yang lalu kami amat merindui menu nasi kerabu dan ikan serta ayam percik ibu yang cukup istimewa buat kami adik beradik. Resepi itu kami cuba dan berbukalah puasa kami sekeluarga tanpa mereka berdua.

Tradisi berkumpul adik beradik terus kami kekalkan. Meraikan syawal bersama-sama. Kami menziarahi pusara mereka yang letaknya tidak jauh dari rumah. Doa dipanjatkan serta dibacakan ayat-ayat suci al-Quran. Ya, Allah semoga kedua-dua orang tua kami ditempatkan di dalam syurga-Mu. Ampunilah dosa mereka. Cucu-cucu arwah ayah dan ibu yang kecil ini ada antara mereka yang sudah mengerti dengan 'ketiadaan' ayah dan ibu. Yang sangat kecil itu mungkin sudah tidak mengingati memori kehidupan ayah dan ibu di rumah ini.

Hidangan sate, nasi impit, rendang dan mi goreng kami sediakan sebagai juadah enak meraikan syawal kali ini. Tidak ketinggalan tapai manis yang sempat aku buat. Bermain bunga api menghiasi gelak tawa anak-anak kecil di halaman rumah ayah dan ibu. Kami juga meneruskan tradisi ayah dan ibu berkunjung ke rumah Wak Lib, Mak Da, Mak Nik dan Pak Ngah. Juga rumah Ayah Wi dan Kak Zah.

Hari ini semua anak dan cucu ayah dan ibu akan berangkat untuk pulang ke destinasi masing-masing. Baba, Mama, Along dan Abang Iwan akan bertolak ke Kuala Lumpur. Cik Yi, Cik Maz, Kak Nadhirah, Angah, Humairah, Haziem dan Hakiem akan menyusur perjalanan pulang ke Puterajaya. Ayah Mie, Cik Sah, Kak Nani dan Nufail akan pulang ke Kuantan. Ayah Ka, Cik Ra, Kak Khaleeda, Abang Naeim, Kak Chik, Naqieb dan Baby Nasif sudahpun sampai di Kg. Rahmat, Terengganu. Manakala Pak Su Mat, Cik Su, Huda, Hana dan Baby Hadi meneruskan perjalanan pulang ke Lumut, Perak.

Rumah ini akan kosong, sunyi dan sepi kembali. Selamat tinggal semuanya. Kata Angah dan Huda, mereka sedih untuk meninggalkan rumah ini. Mereka suka berada di rumah Tok Ayah dan Mok. Bilakah pula mereka dapat berkumpul keembali, bermain bersama, mandi bersama dan makan bersama-sama? Kembali pula bila ada kelapangan waktu cuti. Kita teruskan berkumpul di rumah pusaka ini. Kami bahagia di sini. Banyak memori indah ayah dan ibu terakam di rumah ini. Kami adik beradik dilahirkan dan dibesarkan di sini. Ini kampung halaman kami. Kami merindui saat bersama-sama ibu dan ayah. Selamat tinggal ayah. Selamat tinggal ibu.




Tuesday, August 2, 2011

...tika disinggahi pengalaman ini...
Ramadhan 1432H

Ramadhan menjenguk lagi. Senyumanmu ku sambut dengan rasa kesyahduan yang sukar untuk diungkapkan. Mengerti dengan seribu rahmat yang datang bersamamu. Bulan keampunan, bulan kerahmatan dan bulan keberkatan....Mampukah aku menyusuri kemuliaan bulan ini dengan ibadah yang paling tinggi tahapnya kepadaMu?

Tiga hari telahku menghampiri ramadhanMu, namun aku belum merasakan bahawa kudrat ini telah cukup untuk membuatkan aku merasa berpuas hati menempatkan diriku hampir denganMu. Niat dan cita-cita sentiasa berakar dalam kerdil diriku ini untuk menggapai cinta di bulan ini. Datanglah kepadaku dengan bekal usaha mencari nurMu tanpa rasa penat atau kemalasan ini Engkau tariklah pergi daripada diriku.

Saturday, June 25, 2011

DRAMA Tingkatan 5

TIANG CENGAL DINDING SAYUNG

Karya : Suriani Mohd Yusof

Pemikiran

Kesetiaan isteri dan kasih sayang isteri dan anak-anak terhadap ketua keluarga (suami/bapa) serta kepincangan sikap anak-anak dalam menjalankan tanggungjawab mereka sebagai anak-anak.

Persoalan

1. Pesoalan kasih sayang isteri kepada suami yang tidak berbelah bahagi.

2. Persoalan sikap hormat menghormati antara ahli keluarga.

3. Persoalan simpati atas nasib malang yang menimpa seseorang.

4. Persoalan jujur dan amanah dalam menyampaikan maklumat.

5. Persoalan sikap sabar dan tabah dalam menghadapi dugaan dan cabaran hidup.

6. Persoalan kepincangan masyarakat yangm mengambil kesempatan atas kesusahan orang lain.

Wednesday, June 22, 2011

Doa

"Ya Allah, bagi-Mu segala puji. Engkaulah cahaya yang menerangi langit dan bumi serta seisinya, Engkaulah yang hak, janji-Mu adalah haq (tepat), firman-Mu adalah haq (benar), menghadap kepada-Mu itu juga haq (pasti), syurga itu haq (benar), neraka itu haq, hari kiamat itu haq, nabi-nabi itu adalah haq dan Nabi Muhammad S.A.W itu haq. Ya Allah kepada-Mu sajalah aku berserah diri, kepada-Mu sajalah aku bertawakal, hanya kepada-Mu aku beriman, kepada-Mu sajalah aku bertahkim. Maka ampunilah dosaku yang silam dan yang kemudian, yang tersembunyi dan yang terang nyata. Engkaulah yang awal dan Engkaulah yang akhir. Tiada Tuhan selain Engkau. Dan tiada daya upaya dan kekuatan melainkan dengan pertolongan Allah.

Amalan Pemakanan Seimbang

Setiap individu memerlukan makanan yang berkhasiat untuk menjamin kesihatan diri dan tumbesaran yang sempurna. Amalan pemakanan seimbang merujuk kepada pengambilan jenis-jenis makanan yang cukup dengan zat untuk keperluan tubuh badan.

Makanan yang membekalkan lemak penting untuk memberikan tenaga kepada badan seseorang. Jenis-jenis makanan yang mengandungi lemak termasuklah mentega, susu dan minyak masak. Sumber protein boleh didapati daripada ikan, daging, telur dan kacang soya. Protein dapat membekalkan tenaga dan pertumbuhan badan untuk proses pembesaran serta menggantikan tisu-tisu yang rosak. Roti, nasi, mi, ubi kentang dan makanan lain jenis berkanji mengandungi karbohidrat yang diperlukan oleh badan. Karbohidrat membekalkan tenaga dan kekurangan karbohidrat akan menyebabkan seseorang itu menjadi lemah, mengantuk dan tidak bermaya. Buah-buahan dan sayur-sayuran hijau amat penting dimakan kerana terdapat vitamin yang banyak untuk keperluan tubuh badan. Pengambilan vitamin yang mencukupi dapat menjaga kesihatan kulit, mata dan gigi. Umpamanya vitamin B1 adalah penting untuk mengelakkan seseorang keletihan, lemah badan, gelisah, sakit pada abdomen dan sembelit.


Kepentingan Amalan Pemakanan Seimbang:

1. Pemakanan seimbang dapat mengelakkan daripada serangan penyakit.
- pengambilan vitamin yang mencukupi amat penting kerana dapat menjadikan tubuh badan seseorang lebih tahan menghadapi jangkitan penyakit atau tidak mudah jatuh sakit.
- vitamin A daripada telur dan susu menolong badan mengatur sistem kekebalan (imune system) untuk melawan jangkitan penyakit.
- vitamin C boleh mengurangkan gejala penyakit asma, mencegah kanser dan menurunkan tekanan darah tinggi.

2. Amalan pemakanan seimbang dapat mengawal obesiti
- seseorang dapat membuat pemilihan makanan yang berkhasiat dan mengelakkan pertambahan berat badan. Kawalan makanan menjadikan badan tidak terlalu gemuk.
- dapat mengelakkan pengambilan makanan yang mengandungi lemak, berminyak dan kurang kandungan gula. Makanan-makanan segera, snek atau kek juga dapat dielakkan.
- mengamalkan makanan yang dikukus, direbus atau dipanggang dan mengurangkan makanan bergoreng.
- obesiti mendedahkan pelbagai jenis penyakit.
- kawal obesiti dengan cara diet yang seimbang.

3. Amalan pemakanan seimbang penting untuk tumbesaran tubuh badan yang sempurna
- pelbagai jenis zat makanan diperlukan untuk membina tubuh badan yang sihat, kuat dan tidak terbantut tumbesarannya.
- kesihatan fizikal badan terjamin.
- pengambilan protein untuk membina sel-sel dalam tubuh serta pertumbuhan gigi dan tulang. Kalsium daripada susu, keju dan ikan bilis dapat mengelakkan osteoporosis (tulang rapuh dan mudah patah)
- sumber tenaga daripada pemakanan yang dijaga dapat mengekalkan tumbesaran dan keupayaan fizikal tubuh badan seseorang.

4. Amalan pemakanan seimbang memberi kesan kepada perkembangan mental yang sihat
- "badan sihat otak cerdas"
- kekurangan zak makanan tertentu menjadikan mental seseorang tidak cerdas, mudah letih dan gagal menyelesaikan sesuatu perkara yang dihadapi. Juga gagal berfikir dengan efektif.
- kekurangan vitamin B1 akan memberi gangguan mental atau emosi.
- seseorang yang mendapat cukup khasiat dari semua kelas makanan akan terjamin kesihatan mental dan emosi.

Ungkapan Indah:
1. "mencegah lebih baik daripada mengubati"
2. "badan sihat otak cerdas"
3. "kekayaan yang banyak tidak bermakna jika kesihatan terganggu"
4. "makan untuk hidup bukan hidup untuk makan"


Soalan Perbincangan:

1. Selain aspek pemakanan yang diberi perhatian, bagaimanakah cara-cara lain yang perlu diamalkan untuk menjamin kesihatan diri? Huraikan pendapat anda.

2. Pada pendapat anda, bagaimanakah peranan ibu bapa untuk menjaga kesihatan keluarga?

3. Sebagai pelajar sekolah, jelaskan cara-cara yang anda lakukan untuk menjaga kesihatan diri.

Tuesday, June 14, 2011

SELOKA HARI GURU - Dedikasi untuk Sahabat. Karya : Rohana Mohd Noor

Berguguran jatuh menimpa dahan,
Berulas putih isinya manis;
Bahasa Inggeris subjek pilihan,
Siapakah gerangan guru yang manis?

Tepian sungai pukat ditarik,
Beroleh tangkapan si ikan belida;
Berkaca mata orangnya menarik,
Itulah gerangan Teacher Azlinda.


Pulang nelayan menjala bawal,
Kolek tersadai di hujung desa;
Fizik diajar disiplin dikawal,
Dapatkah diteka guru perkasa?

Hendak dikait tidak bergalah,
Pohonnya tinggi ranting bertemu;
Cikgu perkasa bernama Wan Ab'llah,
Mengajar fizik tidaklah jemu.


Puteri Cendana bermata lentik,
Hatinya berkecai mengguris sukma;
Siapakah dia si manis cantik,
Mengajar bahasa Melayu sekian lama?

Aduka sakti gundah di jiwa,
Cinta terkulai gagal diburu;
Puan Hajjah Salma orangnya lawa,
Berhati mulia dialah guru.


Tumbuh semalu tepian lalang,
Mencelah terbang si rama-rama;
Biologi diajar inginkan cemerlang,
Siapakah guru empunya nama?

Berpencak Laksamana tidak terperi,
Tangkas beradu silat keramat;
Puan Hajjah Zaiton nama diberi,
Cemerlang SPM menjadi matlamat.