BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS
BAHASA JIWA BANGSA

Monday, September 17, 2012

Adikku Terbang ke Turki

Ahh.. ku dengar suaranya sayu di hujung telefon!  Aku bertanyakan khabar dan katanya baik-baik sahaja.  Namun aku dapat merasakan adanya ruang kesedihan di hatinya untuk meninggalkan anak-anak yang masih kecil itu.  Demikian telahan ku tatkala mendapat panggilan daripada adik yang menetap di Putrajaya lebih kurang pukul 2.30 petang tadi.  Sebenarnya tersimpan hajat di hati ini untuk menghubunginya pada waktu malam nanti.  Rupa-rupanya dia terdahulu yang lebih pantas menghubungiku.  Kesempatan bercakap dengannya tentulah berkisar pada jadual pemergiannya ke Turki.  Aku tahu begitu berat kakinya untuk melangkah ke sana apatah lagi melihatkan lima orang anaknya yang masih kecil itu.  Sudah pasti agak sukar untuk dia berpisah buat sementara dengan si anak-anak ini.  Inilah pengorbanan yang terpaksa dia tempuhi demi memenuhi perjuangan menuntut ilmu ke puncak yang lebih tinggi.  Lantas aku teringatkan dia sewaktu zaman kanak-kanaknya dan ketika itu aku sedang menuntut di menara gading.  Dia seorang adik yang bercita-cita tinggi dan pada masa itu dia meluahkan impiannya untuk menjadi seorang profesor pada suatu hari kelak.  Dan hari ini telah tiba untuk aku melihat kejayaannya dalam bidang yang diceburinya walaupun bukan sebagai seorang profesor.  Aku turut berbangga.

Sebenarnya aku sendiri yang turut sayu tatkala adikku ini hendak berangkat esok.  Entah mengapa selesai sahaja solat asar petang ini, aku seakan menitiskan air mata.  Pemergiannya adalah untuk menuntut ilmu, menyambung kepakarannya dalam bidang perubatan ke peringkat yang lebih tinggi.  Hal ini sepatutnya tidak menyedihkan.  Namun, tersirat di sebalik kejayaan adikku ini adalah suatu rentetan sejarah keluarga kami yang sukar untuk kami ungkapkan kerana terlalu berliku cabarannya.  Berdiri bersama kejayaan adikku ini adalah keteguhan semangat emak dan ayah yang mengalir dalam denyut nadi kehidupan kami.  Kejayaan adikku ini adalah kejayaan emak dan ayah yang membesarkan kami dengan keringat keperitan hidup mereka.  Andai kata emak dan ayah masih ada pada hari ini, sudah pasti akan terukir mekar sekuntum senyuman mereka.  Namun apakan daya kerana kedua-dua insan yang kami cintai ini telah dijemput pergi oleh Yang Maha Pencipta.  Allah SWT lebih menyayangi mereka berdua.  Ingatan kepada mereka berdualah yang menyebabkan hatiku begitu sayu pada petang ini.

Inilah hadiah yang paling bernilai untuk arwah emak dan ayah.  Aturlah langkahmu untuk terbang ke Turki dan pulanglah nanti dengan kejayaan.  Halaman keluarga kita sedia menanti untuk ditaburi dengan jasa dan baktimu.  Sebagai seorang kakak yang mengalir dalam diri semangat, ketabahan dan kecintaan kepada emak dan ayah, aku mendoakan agar kesejahteraan mengiringi adikku, Dr Rosli.  Semoga pemergianmu bersama-sama dengan kerahmatan Allah SWT dan begitu juga keluarga yang ditinggalkan Cik Maz dan anak-anak akan sentiasa mendapat perlindungan-Nya.

Saturday, September 8, 2012

Laporan Sambil Belajar Kelab Pelancongan dan Persatuan Bahasa Melayu SMK Kamil

Pada 30hb. Ogos yang lalu seramai 36 orang pelajar SMK Kamil dari Kelab Pelancongan dan Persatuan Bahasa Melayu telah bertolak ke Kuala Lumpur untuk mengikuti aktiviti lawatan sambil belajar.  Rombongan ini turut disertai oleh empat orang guru penasihat iaitu Pn. Hjh. Maryani binti Yaacob, Pn. Siti Halimah binti Ismail, Pn. Hjh. Rohana binti Mohd. Noor dan En. Nik Ramani bin Nik Arshad.

Sunday, August 12, 2012

13 Ogos 2012 - SMK Kamil.  11.05 pagi hingga 11.25 pagi waktu rehat.  Bersama rakan mengikuti kelas tajwid yang dikelolakan oleh Ustaz Ahmad Tarmizi.  Sekejap sahaja masa berlalu sedangkan semakin banyak rupa-rupanya ilmu yang belum aku kuasai.  Sehingga habis bulan Ramadhan ini, akan tamatlah kelas ini.  Bilakah pula Ustaz akan mengadakan kelas seperti ini untuk kami semua?  Apa-apa pun ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada Ustaz yang sanggup mengajar kami.

Saturday, April 14, 2012

Ingat Mati

Firman Allah s.w.t yang bermaksud:

"Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sajalah disempurnakan pahalamu. Barang siapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka sungguh dia telah beruntung. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan."

(Surah Ali Imran: Ayat 185)

Thursday, April 12, 2012

Esok genap seminggu detik pahit yang menerjah kehidupan kami. Tempat suci untuk disinggahi oleh mereka yang ingin menunaikan ibadat kepada Allah SWT rupa-rupanya turut menjadi tarikan kepada syaitan yang bertopengkan wajah manusia. Bukan aku tidak diingatkan oleh kawan yang telah ditimpa musibah ini. Bukan sekali tetapi telah berkali-kali diingatkan agar berhati-hati tika singgah di Masjid Kubang Kerian. Namun entah kenapa pada hari kejadian itu seakan-akan pintu hati tertutup rapat untuk berfikir tentang keselamatan dan dengan kehendak suami yang yakin akan selamat maka beg ditinggalkan dalam bonet kereta. Lagipun tempat parkir itu di hadapan dan benar-benar dekat dengan kawasan laluan untuk jemaah menuju ke tangga masjid.

Apa yang kami jangka tidak sama dengan ketetapan Illahi. Keluar sahaja dari bilik air terus aku diberitahu oleh anak bahawa begku telah dilarikan dan telingaku menangkap bunyi alarm kereta yang masih kedengaran. Anakku menangis sambil memanggil-manggil ayahnya untuk diberitahu. Sekilas itu juga aku melihat cermin kereta yang telah dipecahkan. Jantungku berdegup sebagai isyarat bahawa begku sudah pasti tiada lagi dan dilarikan seperti yang dikatakan oleh anak kecilku yang berumur enam tahun itu. Dia terus menangis ketakutan.

Cermin bahagian depan tempat pemandu dipecahkan. Serpihan kaca yang halus bagai serbuk ajinomoto itu bertaburan di bahagian depan kereta dan bonet kereta ku buka. Sekali lagi jantung ku berdegup kuat bila sahaja melihat beg hitam itu telah tiada. Tiada kata-kata - kecewa, sedih dan marah. Sudah terjadi dan tertulis bahawa aku juga menerima nasib malang yang sama seperti yang dialami oleh kawanku, Zah pada bulan syawal yang lalu. Duit, telefon dan beberapa dokumen penting hilang lenyap dicuri.

Anakku agak trauma dengan kejadian ini. Di hadapan kereta itulah aku melihat mulutnya kumat-kamit membacakan doa. "Biar orang jahat itu mati masuk neraka", katanya. Orang jahat itu memakai baju hitam, pakai topi keledar dan motornya warna hijau. Kata-katanya begitu jelas. Anak yang sekecil itu pun sudah mengerti tentang kejahatan, dosa dan neraka. Syaitan yang bertopengkan manusia itu agaknya tidak mempunyai langsung roh keimanan dalam dirinya sehingga tergamak melakukan kejahatan demi kejahatan. Ingatlah bahawa Laporan polis telah kami buat pada petang itu juga.

Thursday, February 2, 2012

Prosa Klasik Tingkatan 5


HIKAYAT LANGLANG BUANA

Tema:


Percintaan anak raja
Raja Indera Bumaya sanggup menukarkan dirinya menjadi burung bayan semata-mata untuk menarik perhatian Tuan Puteri Mandu Ratna Dewi. Tuan Puteri Mandu Ratna Dewi tidak sanggup kehilangan Raja Indera Bumaya.


Persoalan:

1. Keberanian menghadapi cabaran.
Raja Indera Bumaya tidak gentar untuk menentang hulubalang
Raja Bahrum.

2. Kebijaksanaan mencari peluang.
Raja Indera Bumaya menjelmakan diri menjadi seekor burung
bayan agar dapat menghampiri Tuan Puteri Mandu Ratna Dewi.

Wednesday, January 25, 2012

Sepantun Hati

Aku mencoretkan 'Sepantun Hati' ini dek kerana mata yang tidak dapat dipejamkan walau hari sudah jauh malam. Kenangan kepada seorang rakan yang telah dijemputNya bermain dalam benak.
Jam lima petang tadi aku menerima panggilan telefon yang mengkhabarkan Cikgu Hajah Noorizam Yunus tenat di HRPZII, Kota Bharu. Dan menghampiri pukul 10 malam aku telah dikirimkan berita tentang kembalinya arwah kerahmatullah. Innalillahhiwainnailaihirrajiun. Janji Allah SWT tentang ajal kepada setiap hambaNya tidak akan tercepat mahupun terlambat walau sedetik. Al Fatihah aku baca untuk disedekahkan kepada arwah. Dia seorang yang lembut dan halus tutur kata. Terkenang kepadanya saat dia berkunjung ke rumah pada bulan Oktober 2011, ketika aku akan berangkat ke tanah suci. Kami bermaaf-maafan. Hari ini Kak Zan telah meninggalkan kami semua. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas rohnya dan ditempatkan bersama-sama dengan orang yang beriman di dalam syurga.
Detik kematian yang telah menjemput rakan membuatkan aku juga merasakan bahawa saat kematian itu juga hampir kepadaku. Segala-galanya menyedarkan aku betapa persiapan untuk bekal akhirat masih kurang dalam karungan hidupku. Setiap detik perjalanan aku mengharapkan agar dapat disuburkan dengan keimanan kepada Allah SWT dengan tidak berbelah bahagi.
Hatiku melontarkan bait-bait pantun ini agar dapat mewarnai kehidupan yang lebih mulia di sisi Allah SWT.

Nampak redup di hujung laman,

Tumbuh halia akar bersirat;
Batas hidup bertunjang iman,
Subur mulia di bumi akhirat.

Sekawan belida di bawah titian,
Di situ tempat orang menjala;
Bertaut arus di muara kematian,
Biarlah sarat mendayung pahala.

Dingin salju membelai rindu,
Cinta layu angkara khianat;
Jasad kaku di hujung sendu,
Ajal bertamu janjiNya tepat.

Pulang perantau ke damai desa,
Senyum mesra tangan berjabat;
Lipatan hidup mengusung dosa,
Siramlah taubat sebelum terlambat.