BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS
BAHASA JIWA BANGSA

Tuesday, April 30, 2013

Pertandingan SAHIBBA Peringkat Negeri Kelantan 2013

Semalam 30 April 2013, menjejaki halaman SMK Berangan, Tumpat bersama-sama dengan dua orang pelajar SMK Kamil untuk beradu nasib dalam pertandingan SAHIBBA peringkat negeri Kelantan 2013.  Turut diiringi oleh Pn. Hamnah Hanif sebagai guru pengiring.  Dua puluh orang peserta mewakili 10 daerah di Kelantan yang bertanding mendaftarkan diri di kaunter pendaftaran. 

SMK Kamil diwakili oleh Mohamad Nazrul Naim bin Saari dari tingkatan 3IS dan Mardhiah Afifah binti Mohd Aseri dari tingkatan 2IS.  Kedua-duanya telah aku pilih melalui pertandingan saringan yang diadakan di peringkat sekolah, juga melalui pertandingan sempena Bulan Bahasa SMK Kamil dan juga melalui latihan intensif sepanjang dua minggu sebelum pertandingan.  Kedua-duanya sentiasa mencatatkan markah yang tinggi berbanding dengan pelajar-pelajar lain yang menyertai pertandingan di peringkat sekolah.  Harapan untuk menang di peringkat negeri sentiasa berbunga di hati guru yang menjadi jurulatihnya.  Kami mengadakan latihan pada waktu petang sekitar pukul tiga hingga lima petang setiap hari walaupun sentiasa dihambat waktu kerana pelbagai urusan.  Terutamanya diriku sebagai guru yang mengajar kelas peperiksaan. Boleh dikatakan setiap waktu terluang itu aku gunakan untuk membuat persediaan kepada mereka berdua sebelum bermulanya pertandingan peringkat negeri.  Yang turut menerima tempias kesuntukan waktu ini adalah anak kecilku yang berusia tujuh tahun itu.  Aku tinggalkannya seorang diri di rumah pada sebelah petang hingga pukul 5.30 petang kerana dia keletihan untuk mengikuti diriku ke sekolah.  Ayahnya hanya akan pulang ke rumah setelah tamat waktu pejabat.  Kesian adik.....

Pertandingan yang berlangsung cukup sengit yang melibatkan empat pusingan, tambahan pula memakan masa hingga pukul 2.30 petang.  Kedua-dua pelajar itu ku lihat sedikit keletihan, maklum sahajalah kerana kami bertolak dari SMK Kamil sejak pukul 7.00 pagi lagi.  Sarapan sedikit ala kadar untuk mengisi perut agar tidak kosong.  Kepada Allah SWT kami panjatkan rasa kesyukuran kerana kedua-dua orang pelajar ini menunjukkan pencapaian yang terbaik kerana mendapat tempat pertama dengan menafikan kehebatan pelajar-pelajar dari daerah-daerah lain dalam pusingan awal, pusingan suku akhir dan pusingan separuh akhir.  Alhamdulillah dan mereka berdua melayakkan diri ke pusingan akhir.

Sebagai guru yang melatih mereka berdua, aku cukup berbangga dengan prestasi yang ditunjukkan oleh mereka.  Empat orang yang terpilih ke peringkat akhir ini diadili oleh seorang ketua juri dari PPD Kota Bharu, En Mohd Hazani bin Mahadi (SMK Badang).  Pertandingan akhir ini diwakili oleh dua orang pelajar dari PPD Pasir Puteh, seorang pelajar dari PPD Kota Bharu dan seorang pelajar dari PPD Tumpat.  Empat orang semuanya (seorang lelaki dan tiga orang perempuan) yang bertanding di peringkat akhir untuk dipilih seorang wakil negeri Kelantan ke pertandingan di peringkat kebangsaan yang akan berlangsung pada bulan Jun nanti.  Setiap pertandingan memakan masa hampir 45 minit - 60 minit.  Pertandingan SAHIBBA ini memang menguji kecekapan daya fikir seseorang pelajar, namun tidak dinafikan juga faktor 'kebertuahan' seseorang pelajar itu.  Dalam cabutan jubin giliran peserta, 'kebertuahan' Mardhiah Afifah dan Mohamad Nazrul Naim tidak menyebelahi mereka kerana mereka menjadi peserta nombor dua dan nombor tiga dalam pertandingan akhir itu.  Namun kedua-dua mereka adalah pelajar yang hebat dan tetap bertanding dengan cukup baik.

Penjumlahan markah oleh ketua juri memperlihatkan markah yang sama banyak dikutip oleh Mohamad Nazrul Naim dengan pelajar dari PPD Kota Bharu iaitu 284 mata untuk menetukan kedudukan tempat pertama dan tempat kedua.  Namun disebabkan pelajar dari PPD Kota Bharu itu dapat menghabiskan jubinnya lebih dahulu daripada Mohamad Nazrul Naim, maka ketua juri memutuskan bahawa pelajar dari PPD Kota Bharu itu sebagai Johan dan Mohamad Nazrul Naim sebagai Naib Johan.  Sedikit rasa terselinap di sanubari ini ..... namun sebagai seorang jurulatih, kita terima sahaja keputusan ini kerana keputusan hakim adalah muktamad.  Tidak boleh dibantah.  'Sebelah kaki telah kamu letakkan untuk melayakkan diri ke peringkat kebangsaan, namun kamu tarik kaki itu keluar balik...' Ini antara kata-kata gurauanku kepada Mohamad Nazrul Naim....

Keputusan akhir pertandingan SAHIBBA peringkat negeri Kelantan telapun diumumkan. Cikgu mengambil kesempatan mencoretkan kenangan pertandingan ini dan tahniah kepada MOHAMAD NAZRUL NAIM BIN SAARI yang berjaya muncul sebagai Naib Johan dengan mendapat sekeping sijil, hadiah iringan dan wang tunai sebanyak RM200.00.  Manakala MARDHIAH AFIFAH BINTI MOHD ASERI menduduki tempat keempat dengan memperoleh sekeping sijil, hadiah iringan dan wang tunai sebanyak RM50.00 ringgit.  Tahniah, cikgu berbangga dengan anda berdua kerana berjaya mengharumkan nama sekolah serta PPD Pasir Puteh.  Seterusnya cikgu berdoa agar anda berdua maju jaya dalam pelajaran, terutamanya Mohamad Nazrul Naim yang bakal menduduki PMR pada tahun ini.  Semoga sijil yang anda perolehi hari ini dapat melayakkan diri anda melanjutkan pelajaran ke tingkatan empat di sekolah-sekolah terbaik pada tahun hadapan.       

Thursday, October 18, 2012

Oktober Oh Oktober!

19 Oktober 2012.  Cuti hari jumaat hingga ahad.  Sejak malam tadi hingga pagi ini hujan masih turun.  Sejuk yang menyamankan suasana.  Tenang mengiringi perjalanan penghulu segala hari pada hari ini.  Biarkan bahang yang membakar jiwa juga terpadam dengan kejernihan air hujan yang membasahi bumi ini. 

Bulan Oktober biasa dengan kehadirannya yang menuntut banyak perkara untuk disiapkan dan setiap hari bulan ini tersusun dengan penjadualan yang padat untuk guru serta pelajar-pelajar kami yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.  Inilah bulan terakhir untuk mereka bersiap siaga dan inilah bulan untuk para guru membekalkan mereka dengan tips maha penting dengan mencurahkan segala ilmu yang kami ada agar kelak A+ menjadi milik mereka.  Jika boleh, penjadualan terakhir di bulan Oktober ini tidak diganggu gugat dengan aktiviti-aktiviti lain yang boleh menghalang kami bersama-sama dengan mereka meneroka lagi topik-topik penting yang dijangka keluar dalam peperiksaan.  Ayuh! para pelajar ku..aturkan jadualmu dengan rapi sepanjang bulan ini.  Kedatangan November dan Disember bakal mencabar keintelektualan yang dimiliki oleh setiap daripada kamu.

Senarai aktiviti bermula pada 22 Oktober hingga 5 November:
-  Kilas Akhir
-  Simulasi Temuduga
-  Majlis Anugerah Kokurikulum dan Asrama
-  Jamuan Akhir Tahun
-  Solat Hajat Perdana
-  Majlis Izin Ilmu
-  Penyusunan Dewan Peperiksaan
-  Taklimat Peperiksaan

Friday, October 5, 2012

Haramain

Kenangan Setahun Lalu

Pagi 6 Oktober 2011 disapa dengan mengerjakan solat Subuh di sebuah masjid berdekatan dengan lapangan terbang Madinah.  Memang terasa asing, namun aku amat tersentuh dengan kehadiran kali pertama aku dan suami berada di bumi yang selama ini amat diimpikan untuk sampai.  Suasana di perkarangan masjid itu menyentuh jiwaku dan menyedarkan aku bahawa sekarang aku telah berada di tanah yang banyak menyimpan kisah kehidupan Rasulullah SAW.  Selesai solat, aku dan jemaah lain terus mendapatkan bas yang telah sedia menuggu untuk membawa kami ke hotel penginapan sepanjang lapan hari jadual yang ditetapkan untuk berada di Madinah.  Ku lihat bagasi-bagasi kami semuanya telah diangkut ke atas bumbung bas, suatu pemandangan yang tak pernah dilihat di negara kita.  Lapangan terbang Madinah ini tidaklah sebesar mana tetapi peranannya cukup penting kerana jelas terlihat urusan yang agak sibuk di terminalnya.  Aku bersama-sama dengan jemaah yang lain tiba di sini dengan pesawat KT20 yang berlepas dari KLIA pada pukul 1.30 pagi waktu Malaysia, 6 Oktober 2011.  Kami terus dibawa ke hotel penginapan, Dyar International Hotel.  Sarapan pagi pertama kami adalah di hotel ini. Cukup selesa menginap di sini, syukur alhamdulillah. 

Selesai urusan di hotel aku dan suami terus mengambil kesempatan untuk meninjau kawasan sekitar.  Sudah tentulah tempat pertama yang dicari oleh kami adalah lokasi Masjid Nabawi.  AllahhuAkbar.  Masjid Nabawi di hadapan mata kami.  Terpegun, terharu dan rasa sebak di dadaku.  Kami terus melangkah masuk dan ku kira belum begitu ramai orang di sini maka mudahlah bagi kami yang baru pertama kali tiba.  Aku dan suami solat zohor pertama di masjid suci ini.  Di perkarangan masjid telah terbuka payung-payung besarnya untuk meneduhkan para jemaah yang berada di sini.  Lantainya putih bermarmar.  Di hadapan setiap pintu masuk terdapat dua orang polis wanita yang bertugas.  Beg kami diperiksa untuk memastikan kami tidak membawa barang-barang yang dilarang seperti telefon mahupun kemera.  Di dalam masjid para jemaah khusyuk dengan ibadat masing-masing dan sempat aku melihat berpuluh-puluh tong air zamzam disediakan untuk setiap ruangan.  Aku mengambil peluang membasahi tekak, sejuk rasanya.  Di celah-celah para jemaah itulah aku menyempitkan diri untuk turut sama berada dalam masjid.  Selesai solat, aku keluar dan pandangan mata terus tertumpu ke arah ramainya para jemaah di perkarangan luar.  Penuh.  Andai kata kita terlambat sedikit sahaja untuk hadir, maka sudah pastilah di luar inilah perlu kita bentangkan sejadah untuk bersolat jemaah.  Daripada pelbagai bangsa dapat ku kenali dengan warna kulitnya, pertuturannya dan juga fizikal tubuh badan mereka.  Subhanallah, Maha Suci Allah.  AgamaMu telah menghimpun kami semua di sini ...Aku bersyukur kerana diberi kesempatan olehMu untuk turut berada di bumi Haramain ini.           

Wednesday, October 3, 2012

dari lukisan sekeping hati seorang guru...

 Pantun Lebaran

Lama sudah tidak ku ungkapkan bait-bait pantun menjadi nyanyian sekeping hatiku ketika libur.  Bukan lupa akan puisi itu tetapi kerana hambatan waktu yang meruntunku dengan tugas sebagai seorang guru.  Apatah lagi di bulan-bulan akhir persekolahan seperti ini kerap kali memerlukan tenaga yang lebih membuat persediaan kepada anak-anak didikku sebelum mereka dihantar ke dewan peperiksaan.  Namun pada malam ini beberapa rangkap pantun yang tersimpan akan ku taipkan untaiannya menjadi bingkisan di halaman ini.  Pantun ini sebenarnya telah ku cipta sempena sambutan Hari Raya Aidil Fitri peringkat SMK Kamil yang lalu.  Pantun-pantunnya dijual kepada para pelajar dan pelajar-pelajar yang dapat membeli pantun telah diberikan duit raya.  Bagus juga, setidak-tidaknya dapat menyuburkan budaya berpantun yang kian suram.

Tumbuh delima tepian paya
Di hujung titi banyak semalu
Takbir bergema di pagi raya
Mengapa hati tersentuh pilu?

Berselang palas bersama keman
Jinak rusa berteduh di rumpun
Wujudkah ikhlas tika bersalaman
Andai dosa setahun terhimpun?

Pohon bidara ditanam jiran
Rimbun kekwa tumbuh di sisi
Jamu selera di hari lebaran
Apa istimewa juadah tradisi?

Burung tekukur terbang di kota
Bersama tempua hinggap di hulu
Salam dihulur maaf dipinta
Tika bersua kenapa malu?

Tebang seraya dalam belukar
Terkena duri berasa pedih
Malam raya mercun dibakar
Terputus jari kenapa bersedih?

Gulai tenggiri dimasak mama
Dimakan enak hidangan jiran
Pagi Aidilfitri takbir bergema
Di mana letak kesucian lebaran?

Gadis selendang berjalan lemah
Wajah mencuit hati si tampan
Ketupat rendang tidak dijamah
Kenapa duit raya jadi harapan?

Jinak tempua di dahan betik
Hinggap rerama bersama nuri
Mama Pengetua berbaju cantik
Apakah nama fesyen diberi?   

Monday, September 17, 2012

Adikku Terbang ke Turki

Ahh.. ku dengar suaranya sayu di hujung telefon!  Aku bertanyakan khabar dan katanya baik-baik sahaja.  Namun aku dapat merasakan adanya ruang kesedihan di hatinya untuk meninggalkan anak-anak yang masih kecil itu.  Demikian telahan ku tatkala mendapat panggilan daripada adik yang menetap di Putrajaya lebih kurang pukul 2.30 petang tadi.  Sebenarnya tersimpan hajat di hati ini untuk menghubunginya pada waktu malam nanti.  Rupa-rupanya dia terdahulu yang lebih pantas menghubungiku.  Kesempatan bercakap dengannya tentulah berkisar pada jadual pemergiannya ke Turki.  Aku tahu begitu berat kakinya untuk melangkah ke sana apatah lagi melihatkan lima orang anaknya yang masih kecil itu.  Sudah pasti agak sukar untuk dia berpisah buat sementara dengan si anak-anak ini.  Inilah pengorbanan yang terpaksa dia tempuhi demi memenuhi perjuangan menuntut ilmu ke puncak yang lebih tinggi.  Lantas aku teringatkan dia sewaktu zaman kanak-kanaknya dan ketika itu aku sedang menuntut di menara gading.  Dia seorang adik yang bercita-cita tinggi dan pada masa itu dia meluahkan impiannya untuk menjadi seorang profesor pada suatu hari kelak.  Dan hari ini telah tiba untuk aku melihat kejayaannya dalam bidang yang diceburinya walaupun bukan sebagai seorang profesor.  Aku turut berbangga.

Sebenarnya aku sendiri yang turut sayu tatkala adikku ini hendak berangkat esok.  Entah mengapa selesai sahaja solat asar petang ini, aku seakan menitiskan air mata.  Pemergiannya adalah untuk menuntut ilmu, menyambung kepakarannya dalam bidang perubatan ke peringkat yang lebih tinggi.  Hal ini sepatutnya tidak menyedihkan.  Namun, tersirat di sebalik kejayaan adikku ini adalah suatu rentetan sejarah keluarga kami yang sukar untuk kami ungkapkan kerana terlalu berliku cabarannya.  Berdiri bersama kejayaan adikku ini adalah keteguhan semangat emak dan ayah yang mengalir dalam denyut nadi kehidupan kami.  Kejayaan adikku ini adalah kejayaan emak dan ayah yang membesarkan kami dengan keringat keperitan hidup mereka.  Andai kata emak dan ayah masih ada pada hari ini, sudah pasti akan terukir mekar sekuntum senyuman mereka.  Namun apakan daya kerana kedua-dua insan yang kami cintai ini telah dijemput pergi oleh Yang Maha Pencipta.  Allah SWT lebih menyayangi mereka berdua.  Ingatan kepada mereka berdualah yang menyebabkan hatiku begitu sayu pada petang ini.

Inilah hadiah yang paling bernilai untuk arwah emak dan ayah.  Aturlah langkahmu untuk terbang ke Turki dan pulanglah nanti dengan kejayaan.  Halaman keluarga kita sedia menanti untuk ditaburi dengan jasa dan baktimu.  Sebagai seorang kakak yang mengalir dalam diri semangat, ketabahan dan kecintaan kepada emak dan ayah, aku mendoakan agar kesejahteraan mengiringi adikku, Dr Rosli.  Semoga pemergianmu bersama-sama dengan kerahmatan Allah SWT dan begitu juga keluarga yang ditinggalkan Cik Maz dan anak-anak akan sentiasa mendapat perlindungan-Nya.

Saturday, September 8, 2012

Laporan Sambil Belajar Kelab Pelancongan dan Persatuan Bahasa Melayu SMK Kamil

Pada 30hb. Ogos yang lalu seramai 36 orang pelajar SMK Kamil dari Kelab Pelancongan dan Persatuan Bahasa Melayu telah bertolak ke Kuala Lumpur untuk mengikuti aktiviti lawatan sambil belajar.  Rombongan ini turut disertai oleh empat orang guru penasihat iaitu Pn. Hjh. Maryani binti Yaacob, Pn. Siti Halimah binti Ismail, Pn. Hjh. Rohana binti Mohd. Noor dan En. Nik Ramani bin Nik Arshad.

Sunday, August 12, 2012

13 Ogos 2012 - SMK Kamil.  11.05 pagi hingga 11.25 pagi waktu rehat.  Bersama rakan mengikuti kelas tajwid yang dikelolakan oleh Ustaz Ahmad Tarmizi.  Sekejap sahaja masa berlalu sedangkan semakin banyak rupa-rupanya ilmu yang belum aku kuasai.  Sehingga habis bulan Ramadhan ini, akan tamatlah kelas ini.  Bilakah pula Ustaz akan mengadakan kelas seperti ini untuk kami semua?  Apa-apa pun ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada Ustaz yang sanggup mengajar kami.