BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS
BAHASA JIWA BANGSA

Sunday, November 27, 2011

SINOPSIS NOVEL "Sutera Dalam Lukisan"

Bab 1 : Suratan yang Perlu Kuterima

Dia ke tepi sungai kecil itu. Sungai itu tidak begitu lebar, lebih kurang sembilan meter, airnya agak cetek, tidak sejernih dahulu tetapi masih tetap dingin dan segar. Kadang-kadang dia berada di tebing sungai itu untuk memancing. Ikan keli dan haruan menjadi kegemarannya. Tebing sungai itu juga menjadi tempat rehatnya, berbaring dan terlena sejak dahulu lagi, sejak opahnya masih hidup lagi dan hinggalah kepada kematian opahnya.

Kehadirannya ke tebing sungai itu hanya merupakan sebahagian daripada kehidupan hariannya. Pada hakikatnya makan minum, tidur baring atau sebarang pekerjaannya adalah tidak menentu. Penduduk kampung melihatnya sebagai seorang pemuda yang tidak berakal, tidak memiliki daya untuk berfikir atau mengatur kehidupan sendiri, bodoh dan dungu. Dia turut merasakan dirinya bodoh, dungu dan tidak berakal.

Namun, dalam dirinya, otaknya, hatinya dan perasaannya masih tersimpan benih-benih kemanusiaan. Kadangkala dia menyedari dirinya tidak sebodoh yang dituduh, tidak sedungu yang disangka malah akalnya masih berfungsi sebagai seorang insane biasa. Malangnya dia terus hanyut bersama sangka buruk yang tidak bertimbang rasa penduduk kampong.

Bapanya seorang tentera. Dia begitu berbangga dengan tugas bapanya hingga dia turut bercita-cita untuk mengikut jejak bapanya.
Tragedi pertama menimpanya : bapanya meninggal dunia dalam kemalangan
Di Lebuh Raya Karak. Jiwa dan perasaannya mulai terganggu. Ibunya membawa dia berpindah ke kampung. Didikan dan kasih sayang ibu serta kemesraan neneknya menjadi penawar kesedihannya ketika berada di desa hinggalah dia berjaya membuktikan dirinya sebagai murid yang cemerlang di sekolah.

Ibunya, Fatimah berkahwin dengan Harun. Fatimah memiliki rupa yang menarik, memiliki wang yang banyak hasil sumbangan yang diterima (pampasan daripada Angkatan Tentera atau sumbangan-sumbangan pihak lain), serta memiliki sebidang tanah pusaka yang ditinggalkan oleh bekas suaminya. Harun, seorang duda yang menjadi mandur di ladang kelapa sawit. Sesetengah pihak kesal kerana Fatimah bernikah dengan Harun. Mereka merasakan Fatimah telah membuat satu kesilapan. Beberapa bulan selepas berkahwin, Harun sudah memujuk Fatimah untuk membeli kereta. RM15,000.00 wang simpanan Fatimah diserahkan kepada Harun, suami yang tidak bertanggungjawab. Fatimah tetap yakin suaminya baik.

Belum setahun perkahwinan, Fatimah semakin terdedah dengan keburukan sikap suaminya. Harun tidak memberikan kasih sayang kepada anak tiri, malah menunjukkan kebenciannya dengan menganggap anak tirinya sebagai sampah yang menumpang. Fatimah alah dengan kegarangan Harun. Jiwa dan perasaannya terganggu setelah didera oleh perlakuan Harun. Fatimah terus memendam rasa kerana malu dengan jiran tetangga dan malu akan kesilapannya sendiri. Fatimah terus berlagak biasa, solah-olah bahagia dalam rumah tangga bersama-sama Harun.

Harun terus mendesak wang daripada Fatimah. Hampir keseluruhan wang simpanan isterinya sudah dikikis. Harun mulai memukul dan menyepak terajang Fatimah. Hal ini selalu disaksikan oleh anaknya.

Tragedi kedua atas dirinya berlaku pada suatu senja apabila bapa tirinya memaksa ibunya memberikan wang atau seutas rantai yang masih ada. Keengganan ibunya meyemarakkan kemarahan bapa tirinya hingga ibunya diterajang sampai pengsan. Dia bertindak menerkam bapa tirinya tetapi dia dilibas sehingga tercampak ke dinding dan seketika dia menjadi mamai. Bapa tirinya menyepak pelita sehingga bersemburan minyak tanah dan berlaku kebakaran. Dia melihat bapa tirinya tidak pun menunjukkan usaha untuk memadamkan api atau menyelamatkan ibunya. Dia cuba melawan api untuk menyelamatkan ibunya. Dirinya ditarik oleh orang untuk diselamatkan dan dia menjerit-jerit memanggil-manggil nama ibunya. Dia sempat mendengar suara batukan ibunya beberapa kali. Orang ramai tercegat memerhati tetapi masing-masing tidak dapat berbuat apa-apa.

Bapa tirinya mereka-reka cerita kepada orang ramai dengan menuduhnya bermain pelita hingga menyebabkan kebakaran bilik. Terdapat suara-suara yang menyokong tuduhan bapa tirinya dan tiada satu suarapun yang membelanya. Rumahnya semakin dibaham api. Tragedi pahit inilah yang selalu datang dalam ingatannya terutama ketika bersendirian di tebing sungai itu.

Tiba-tiba dia tersentak dengan bunyi motosikal Tuk Sidang yang melalui jambatan di situ. Dia pantas terjun ke dalam sungai dan membenamkan dirinya dalam air yang separas betis itu. Tuk Sidang hairan dan curiga melihat kelakuan anehnya itu.

KAJIAN LATAR TEMPAT DALAM NOVEL RENYAH
Pengenalan:
Latar akan menambahkan lagi keberkesanan sesebuah cerita kerana latar akan menjadikan cerita dalam sesebuah novel itu lebih realistik. Latar terbahagi kepada tiga iaitu latar tempat, latar masa dan latar masyarakat.


LATAR TEMPAT
Latar tempat adalah merujuk kepada lokasi sesuatu peristiwa itu berlaku. Aspek yang penting ialah negeri, daerah, bandar, kampung dan kawasan-kawasan tertentu berdasarkan tempat berlakunya kisah tersebut. Latar tempat dalam sesebuah novel selalunya berubah dari semasa ke semasa bergantung kepada ceritanya.

Berikut adalah perbincangan latar tempat yang terdapat dalam novel Renyah:

1. Rumah atau Banglo Datuk Dolhi
Banyak berlaku peristiwa penting di rumah Datuk Dolhi.
· Perbualan antara Datuk Dolhi dengan Datin Tominah banyak berlaku di rumah mereka. Contohnya, perbualan tentang Datuk Dolhi yang bingung memikirkan anak-anaknya yang sedikit pun tidak menunjukkan minat untuk menceburi bidang perniagaan. (Halaman 2)
· Perbualan antara Amera, Dani dan Ilham. Amera menempelak minat serta cara hidup Dani dan Ilham yang dianggapnya membuang masa.
· Datuk Dolhi mengisytiharkan bahawa Wahi adalah anak kandungnya daripada isteri keduanya.
· Tempat berlangsungnya majlis pernikahan antara Amera dengan YB Wahab.

2. Pejabat Dolhi – Albert Holding
· Tempat Datuk Dolhi bekerja dan berlangsungnya mesyuarat syarikat.
· Menerima kedatangan Mukhlis untuk meminjam wang sebelum berangkat ke India.
· Peristiwa Datuk Dolhi mengumumkan Wahi sebagai penggantinya.

3. Bukit Serakah
· Tempat Datuk Dolhi dan Albert Lee berjoging sambil membincangkan hal perniagaan, berbual-bual tentang golf, anak-anak dan isteri. Sambil itu mereka melihat-lihat kehijauan bukit-bukau, dan tasik di situ. (Halaman 19 – 23)


4. Teratai Inn
· Tempat pertemuan Hasnol dengan Tengku Munir untuk membincangkan isu tender. Di tempat inilah Tengku Munir menggertak Hasnol agar meluluskan permohonannya bagi projek Jambatan Kota yang bernilai RM80 juta dan akan memberikan tiga ratus ribu kepada Hasnol. Dia juga dituduh menolong orang tuanya dalam perniagaan. Hasnol tidak berdaya membantah perintah Tengku Munir walaupun dia juga benar-benar takut jika ditangkap oleh BPR. (Halaman 142 – 148)

5. Kampung Sungai Bakau
· Tempat tinggal Mukhlis setelah menyertai jemaah yang menjalankan kegiatan dakwah dan juga selepas berkahwin dengan Hanisah.
· Perkampungan ini terpencil dan serba daif.
· Terdapat pondok-pondok dan kilang kecil membuat mi.
(Halaman 114 – 116)

6. Negara Jepun
· Datuk Dolhi ke Jepun kerana ingin berehat dan melupakan masalah anak-anaknya buat seketika.
· Di Jepun, beliau berjumpa dengan Wahi dan di sinilah beliau membongkarkan rahsia bahawa Wahi ialah anaknya.
· Datuk Dolhi melawat beberapa tempat semasa berada di Jepun dan beliau menginap di Hotel Tokyo Metropolitan. (Halaman 132)
· Wahi dihantar oleh Datuk Dolhi ke negara Jepun untuk mendalami ilmu perniagaan.
· Lapangan Terbang Narita, Datuk Dolhi menyatakan kepada Wahi bahawa dia ingin menyerahkan perniagaan Dolhi – Albert Holding kepada Wahi. (Halaman 127)
· Stesen Ikebukuro (Halaman 135)
· Stesen Shibuya (Halaman 137)

7. Kelab Mawar
· Tempat Amera dan YB Wahab Yasin bertemu buat kali pertama. Kelab Mawar ialah sebuah tempat eksklusif yang tidak terdedah kepada orang awam. Sebelum itu, YB Wahab Yasin pernah menghantar kad ucapan dan sejambak bunga kepada Amera.
(Halaman 120)

8. Sarawak
· Di Sarawak, Ilham menghasut orang-orang Penan supaya membina benteng manusia bagi menghalang kegiatan pembalakan.


9. Dewan Jubli Intan
· Tempat Amera menerima anugerah Tokoh Pendidik Cemerlang Negeri. Datuk Dolhi dan Datin Tominah ikut serta ke majlis tersebut.
· Di sinilah juga Datuk Dolhi berkenalan dengan seorang timbalan menteri yang akhirnya menjadi menantu beliau.
(Halaman 87 – 88)

Selamat Datang 1433 Hijrah

Berlabuh sudah tirai perjalanan hidup tahun 1432 Hijrah tatkala berkumandang azan maghrib dari masjid berdekatan. Berkata hati seketika. Beredar masa dalam kepantasan yang senyap. Tanpa dihitung rapi kini berlalu hari terakhir tahun berkenaan. Agenda diri untuk diri, keluarga, komuniti, dan sebagai hambaNya seakan-akan tidak dapat diaudit dengan pengiraan yang tepat. Mengapakah tidak mampu ditahan walaupun jarum saat yang bergerak itu hanya senipis benang? Berkata lagi hati bahawa akulah insan yang lemah dan tiada daya upaya melainkan dengan kehendakNya.

Menginjak lagi usia bersama tabir 1433 Hijrah. Selamat datang Muharam, bulan kemuliaan, bulan pertama dalam kalendar hijrah. Doa dipanjatkan bersama kehadiran tahun hijrah yang baharu ini. Hijrah berasal daripada peristiwa perpindahan Nabi Muhammad SAW dan para sahabat dari Kota Makkah ke Kota Madinah pada tahun 622 Masihi. Banyak iktibar yang boleh ditimba melalui penghijrahan Rasulullah SAW. Seiring dengan peristiwa itu harapan sering dipanjatkan agar kedatangan tahun baru 1433 Hijrah ini dapat mengubah diri sendiri daripada yang kurang baik kepada yang baik dan seterusnya kepada yang lebih baik. Sebagaimana penghijrahan Rasulullah SAW yang akhirnya berjaya meninggalkan kota yang penuh dengan kerosakan dan kejahatan kepada wujudnya sebuah Kota Madinah yang aman damai.

Hendak dilakarkan diari indah tahun 1433 Hijrah ini dengan agenda yang menepati syariatNya. Ini perancangan yang tersemat. Apatah lagi kepulangan yang masih baru selepas melalui perjalanan menyempurnakan rukun di tanah suci Makkah dan Madinah. Segala-galanya ingin diperbaharui dalam kehidupan ini setelah menyedari kekurangan di sisiNya. Tuhanku, berkatilah kehadiran tahun hijrah ini dengan rahmatMu untuk kebaikan hidup kami di dunia dan kebaikan hidup kami di akhirat. Selamat datang 1433 Hijrah dengan sinar yang bercahaya. Amin.