BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS
BAHASA JIWA BANGSA

Sunday, January 30, 2011

Buat Latihan : Soalan SPM(U) 2005

Soalan 1 : Rumusan

[30 markah]

Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian buat satu rumusan tentang cara-cara menguruskan tekanan dan kepentingan pengurusan tekanan kepada individu. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Tekanan didefinisikan sebagai satu tindak balas mental dan fizikal terhadap pengalaman pahit atau sukar yang dialami oleh seseorang. Tekanan yang berterusan akan memberikan kesan buruk terhadap mental, emosi dan jasmani. Oleh itu, tekanan perlu diurus dengan baik supaya tindakan-tindakan yang terhasil merupakan tindakan yang mencerminkan kebijaksanaan dan bukan tingkah laku melulu yang memalukan. Ekoran itu, setiap individu perlu mengetahui cara-cara menguruskan tekanan dengan baik supaya tekanan tidak menguasai diri mereka.

Pepatah ada mengatakan bahawa mencegah lebih baik daripada mengubati. Kita perlu mengelakkan gejala ini sebelum terlambat dengan mengamalkan budaya hidup sihat, bukan sahaja dari segi pemakanan tetapi juga dari segi pergaulan. Beriadah merupakan salah satu amalan budaya hidup sihat. Aktiviti ini membolehkan seseorang itu mendapat tidur yang berkualiti dan menghindarkan kemurungan serta meningkatkan daya tahan. Kita juga perlu membuang segala perasaan buruk dan sentiasa berfikiran positif. Hal ini dapat dilakukan dengan memberikan kata-kata perangsang yang dapat meredakan perasaan negatif supaya kita berada dalam keadaan yang lebih terkawal dan seimbang. Walau bagaimanapun, jika kita gagal berbuat demikian, kita boleh memikirkan hikmah atau kebaikan di sebalik perkara-perkara buruk itu. Seseorang itu dapat menegaskan kepada dirinya bahawa seteruk mana sekalipun sesuatu perkara itu menyakitkan hatinya, bukan bererti dunia telah berakhir dalam hidupnya. Kita hendaklah memahami bahawa kitalah yang bertanggungjawab menentukan emosi kita. Oleh itu, kita hendaklah ingat bahawa perasaan marah tidak memberikan keuntungan, sebaliknya keadaan diri sendiri akan menjadi lebih buruk.

Tekanan juga boleh diatasi dengan cara memikirkan perkara-perkara yang menggembirakan kehidupan kita. Contohnya, seseorang itu boleh mengimbau kejayaan-kejayaan yang telah dicapai selama ini kerana dengan berbuat demikian, dia berasa lebih yakin dan mampu menghadapi cabaran. Penglibatan diri dalam kegiatan kemasyarakatan dapat menghindarkan tekanan dalam diri kita. Pergaulan dalam masyarakat membolehkan kita tidak keseorangan dalam menghadapi masalah hidup. Oleh itu, luahkan masalah tersebut kepada orang yang boleh dipercayai secara terus-terang dan tidak menyimpannya dalam hati kerana masalah yang dipendam akan menjadi racun yang membunuh secara senyap.

Berjenaka juga dapat mengurangkan kerunsingan kerana dengan ketawa seseorang dapat melupakan masalah yang dihadapinya. Di samping itu, kita perlu kembali kepada kepercayaan agama masing-masing supaya dapat menenangkan fikiran dan emosi. Kita perlu sedar bahawa masalah hati tidak dapat diatasi sekiranya kita lemah dalam penghayatan agama.

(Diubahsuaikan daripada Membina Motivasi Diri Tatkala Tertekan oleh Dr. HM Tuah Iskandar al Haj, Dewan Masyarakat, Mac 2002)

Soalan 2 : Pemahaman

Soalan 2 (a) Petikan Umum

Berdasarkan petikan Soalan 1 di atas, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

(i) Berikan maksud rangkai kata bukan bererti dunia telah berakhir.

[2 markah]



(ii)
Apakah kesan daripada kegagalan menguruskan tekanan?

[3 markah]


(iii) Huraikan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan yang dapat mengurangkan tekanan.

Berikan pendapat anda.

[4 markah]

Kosa Kata Hari Ini

1. Kolaborasi
Maksud : subahat (kerjasama) dengan musuh atau orang jahat,
subahat dalam perbuatan jenayah dan sebagainya.

2. Kolaboratif
Maksud : erat (dari segi kerjasama antara dua pihak ataupun lebih)
- perhubungan antara kerajaan yang paling kolaboratif sifatnya.

3. Kolaborator
Maksud : orang yang bersubahat (bekerjasama) dengan musuh atau orang jahat.

Sumber: Kamus Dewan (muka surat 804)

KARANGAN

Soalan Latihan:

1. Anda meminati sesuatu bidang kerjaya yang mencabar dan berisiko. Oleh itu, persediaan awal amat penting sebelum anda mencari pekerjaan tersebut.
Bincangkan persediaan-persediaan yang perlu anda lakukan.

2. Keluarga memainkan peranan penting dalam pembentukan amalan gaya hidup sihat.
Berikan pendapat anda.

3. Sejak akhir-akhir ini, pelbagai pihak terutama masyarakat mula memberikan perhatian serius terhadap gejala penderaan kanak-kanak yang semakin menjadi-jadi.
Tulis rencana tentang usaha-usaha menangani masalah tersebut.
4. Anda akan mewakili sekolah dalam pertandingan syarahan. Tajuk syarahan tersebut ialah “Prasarana Berkualiti Memacu Industri Pelancongan”.
Tulis syarahan itu selengkapnya.

5. Minat membaca buku-buku ilmiah dalam kalangan remaja belum mencapai tahap yang memuaskan. Ibu bapa memainkan peranan penting untuk menggalakkan anak-anak mereka membaca karya-karya ilmiah agar dapat melahirkan generasi yang cinta akan ilmu pengetahuan.
Nyatakan usaha-usaha yang boleh diambil oleh ibu bapa untuk mencapai hasrat tersebut.

6. Dewasa ini, masalah disiplin pelajar semakin serius dan boleh menjejaskan pencapaian akademik dan kokurikulum. Sebagai pelajar, anda berminat untuk menulis sebuah esei untuk dimuatkan dalam majalah sekolah. Tajuk esei anda ialah “Disiplin Asas Kejayaan”.
Tulis esei itu selengkapnya.

7. Pada masa ini masyarakat Malaysia kurang menitikberatkan amalan membaca sedangkan membaca memberikan banyak faedah.
Huraikan peranan yang perlu dilakukan oleh pelbagai pihak untuk memupuk tabiat suka membaca dalam kalangan masyarakat Malaysia.

8. Gejala ponteng sekolah merupakan antara kes disiplin yang paling banyak berlaku di sekolah-sekolah.
Huraikan pendapat anda tentang usaha-usaha yang boleh dilakukan untuk menangani masalah tersebut.

9. Penumpang sering merungut tentang kualiti perkhidmatan pengangkuan awam yang kurang memuaskan.
Ulaskan strategi-strategi yang boleh diambil untuk meningkatkan kualiti pengangkutan awam

10. Semangat patriotisme perlu ada dalam diri generasi muda pada hari ini kerana mereka bakal menjadi pemimpin negara pada masa hadapan.
Bincangkan usaha-usaha yang wajar dilakukan oleh remaja untuk memupuk semangat patriotisme dalam diri mereka.

11. Keprihatinan dan kasih sayang ibu bapa penting dalam menentukan kejayaan hidup anak-anak. Anda ingin menulis rencana untuk disiarkan dalam majalah tempatan berdasarkan pernyataan tersebut.
Tulis rencana itu selengkapnya.
12. Selaku pegawai kesihatan daerah, anda telah dijemput untuk menyampaikan satu ceramah tentang peranan ibu bapa untuk melahirkan keluarga yang sihat.
Tulis ceramah itu selengkapnya.

13. Kegiatan lumba haram dalam kalangan remaja telah menjadi tajuk utama akhbar-akhbar tempatan di negara ini. Masalah ini semakin berleluasa dan membimbangkan pelbagai pihak.
Jelaskan usaha-usaha yang boleh dilakukan oleh masyarakat untuk mengelakkan remaja daripada terlibat dalam perlumbaan haram.

KAJIAN NOVEL KOMSAS TINGKATAN 4

Novel “RENYAH” Karya Gunawan Mahmood

________________________________________________________________________
A. Berikut adalah garisan panduan kepada pelajar 4 Marikh untuk menyiapkan tugasan.
Tajuk-tajuk yang perlu ada dalam folio anda adalah seperti berikut:

1. Prakata/Pendahuluan

2. Biodata Pengarang

3. Sinopsis Setiap Bab

4. Tema

5. Persoalan

6. Watak dan Perwatakan

7. Latar Masa

8. Latar Masyarakat

9. Latar Tempat

10. Binaan Plot

11. Teknik Plot

12. Gaya Bahasa

13. Nilai

14. Pengajaran

B. Isi-isi penting sahaja boleh dirujuk dalam blog BUDIDAYA BAHASA MELAYU dan pelajar-pelajar perlu menulis huraian yang lengkap untuk setiap tajuk. Dalam huraian setiap tajuk, pelajar perlu mengemukakan peristiwa dan watak yang benar-benar terdapat dalam novel.

Saturday, January 29, 2011

Mari Berpantun

Pantun Persahabatan
Karya : Rohana Mohd Noor

Mudik perahu ke hujung kuala;
Penuh muatan keli dan sepat;
Bersua pandang bertegur pula;
Semoga ikatan bertambah erat.

Gulai sepat bersambal kuini;
Hidangan enak tidak terkata;
Kukuh kerana niat yang murni;
Ukhwah terjalin tanpa sengketa.

Wednesday, January 26, 2011

TERIMA KASIH

Orang berbudi kita berbahasa. Kerana ungkapan inilah aku mengambil ruang dan peluang untuk menyampaikan ucapan terima kasih kepada En. Wan Hussin bin Wan Ismali, Penolong Kanan Kokurikulum SMK Kamil. Keprihatinan, kemudahbicaraan, dan yang paling penting adalah tindakan susulan yang beliau ambil setelah mengenal pasti permasalahan yang dihadapi oleh pegawai-pegawainya dalam melaksanakan visi kokurikulum sekolah. Sikap sebegini amat disenangi oleh para pegawai yang ditadbir. Maka dengan itu terasalah sedikit ringan apabila lima tugsan kokurikulum yang aku galas untuk tahun ini digugurkan satu menjadi empat tugasan sahaja. Hati senang untuk bekerja dalam unit kokurikulum. Jiwa tidak tertekan apabila PK Kokurikulum memahami situasi. Terima kasih sekali lagi...Mudah-mudahan pada tahun ini tidak adalah lagi pegawai yang menangis dalam mesyuarat kerana tertekan dengan bebanan kerja....

Tuesday, January 25, 2011

Diari Seorang Guru Pada Minggu Ini

Cukup padat hari-hari yang dilalui pada minggu ini. Jadual tugas pada sebelah pagi seperti sediakala dan terus bersambung hingga ke waktu petang.

Hari ahad, 23 Januari 2011 berlangsung Mesyuarat Pengurus Tingkatan yang bertempat di Dewan Bestari. Bermula pukul 2.10 petang dan berakhir pada pukul 3.30 petang. Pukul 4.30 petang pula aku berkumpul bersama-sama guru Rumah Kuning dan anak-anak murid yang ramai itu sehingga pukul 5.30 petang.

25 Januari 2011 aku menghadiri Mesyuarat AJK Kecemerlangan SPM bertempat di Makmal Fizik 2 dari pukul 2.10 petang dan ditamatkan pada pukul 3.30 petang. Lesu badan yang dirasai terpaksa dibiarkan kerana teringat kepada anakanda yang masih di tadika. Telah ku insafi dengan umur yang sebegini dan berkhidmat hampir 22 tahun begitu cepat rasa penat menguasai diri jika dibandingkan ketika usia muda di awal perkhidmatan. Mengapakah guru 'lama' ini senantiasa menggalas banyak tugas? Tidak adakah rasa simpati kepada ku?

Besok, 26 Januari 2011, satu lagi mesyuarat sedang menanti. Aku pasti akan menghadiri Mesyuarat JK Pusat Sumber Sekolah kerana surat jemputannya sudahpun mengundang. Tetapi mujurnya aktiviti kelab/persatuan dan unit beruniform yang dijadualkan berlangsung esok ditangguhkan oleh SU Kokurikulum. Bukan aku tidak sudi melaksanakan aktiviti berkenaan tetapi memandangkan tiadanya masa dan ruang pada hari berkenaan. Mesyuarat JK PSS sudah pasti paling tidak akan berakhir pada pukul 3.30 petang. Waktu solat? Waktu makan? Anak? Oh.....Nafas ku tarik panjang-panjang untuk mengukir keanjalan jadual waktu diriku yang bergelar seorang guru. Jauh sekali untuk mengeluh, apa lagi merintih ataupun menitiskan air mata minta dikasihani.

Dan jadual mesyuaratku untuk minggu ini diakhiri dengan Mesyuarat Majlis Bestari yang akan diadakan pada 27 Januari 2011 (Hari Khamis) . Juga jika tiada aral yang melintang akan aku hadiri mesyuarat berkenaan kerana aku seorang guru yang mengamalkan nilai-nilai dalam Tonggak 12. Tunggulah mama. Mama akan datang apabila selesai mesyuarat pada petang nanti....

Aktiviti-aktiviti pada minggu ini sebenarnya masih banyak lagi. Ada masa aku akan catatkan. Ini hanya sekelumit diari yang sempat aku letakkan di sini. Jumpa lagi...

Sunday, January 23, 2011

Kisah Rumput dan Awan

KISAH RUMPUT DAN AWAN
Karya : Musafir Alam

Rumput, tumbuhmu hanya di halaman yang menjadi alas kaki kepada segala makhluk di atas muka bumi. Warnamu yang hijau sungguh mempesonakan. Kadang-kala engkau berkawan dengan embun. Bertambah-tambahlah lagi kesegaranmu sehingga tidak terasa adanya kaki-kaki yang memijakmu. Engkau bertuah kerana tidak jemu-jemu awan gemawan memayungimu. Apatah lagi awan-gemawan itu ada berbagai-bagai jenis. Komulonimbus, omnimbus dan sebagainya. Engkau hanya boleh mendongak melihat wajah-wajahnya. Ada wajah awan yang cukup ceria memayungi kehidupanmu dan engkaupun gembira dengan kehidupan itu.

"Tundukkan wajahmu wahai kawan-kawan! Hari nampaknya nak hujan," pesan
Rumput Segak kepada teman-temannya.

Mereka terus bersedia untuk menerima limpahan air hujan yang bakal dimuntahkan oleh awan-awan yang memayungi mereka. Basah kuyup. Dan kiranya air hujan itu pula bertakung, sudah pastilah rumput-rumput itu akan dibaluti selut seluruh tubuh mereka tatkala air hujan itu kering. Demikianlah nasib rumput di bawah sana. Awan hanya melihat. Adakah mereka bersimpati dengan nasib sang rumput? Mungkin tidak kerana mereka adalah berbeza kedudukan. Apatah lagi awan yang datang bersama mendung dan terus memuntahkan limpahan air hujan itu. Sudah pasti mereka tidak punya belas kasihan kepada sang rumput. Rumput hanya menyimpan perasaan apabila berlakunya gerakan awan-gemawan yang memayungi mereka. Awan hitam yang mendung itu janganlah lagi ke sini.

"Tengok di ufuk sana! Nampaknya awan putih bersih bakal datang ke daerah kita."Kata Rumput Mayang kepada adiknya yang nakal meliuk-liuk itu.

"Iyelah kakak. Adik suka dengan awan itu. Sudahlah wajahnya cantik, baik hati pula. Kita semua sudah pasti tidak kesejukan. Dia datang dengan payungnya yang besar dan kita selesa serta dapat berteduh dengan sempurna. Adik tidak suka dengan awan mendung yang hitam lagi sarat itu."Petah sungguh adik Rumput Mayang berkata-kata. Memang adiknya terkenal dengan sifat lincah dan bijak bila bersuara.

Bahasa rumput kita tidak memahami. Tetapi mungkin demikianlah juga kehidupan sebuah masyarakat rumput yang menjadi makhluk Allah SWT. Walau mereka tidak berpeluang untuk berkata-kata kepada awan tetapi sebenarnya mereka dapat menilai dan menyukai awan yang menyenangkan mereka. Walau mereka hanya menjadi alas tapak kaki tetapi tidak bermakna mereka tidak mampu mengenali jenis-jenis awan walaupun awan itu langsung tidak mengendahkan kehidupan rumput di bawah sana. Dan sebenarnya kehidupan rumput itu akan tetap di situ melihat, menerima dan menilai awan-awan yang memayungi mereka. Sehinggalah ke garis waktu, awan dan rumput itu sama-sama bertembung dalam peristiwa yang benar-benar telah dijanjikanNya.

Sunday, January 16, 2011

SAJAK BUAT CIKGU ROHANA

Sekeping hati berbisik. Inilah keharuman yang telah ditinggalkan oleh seseorang yang bergelar guru. Pulangannya bukan berkeping-keping nota berharga. Juga bukan material ukiran berharga di badan. Namun sekeping hati seorang guru itu amat bahagia tatkala menerima titipan maya daripada seorang anak murid yang dikasihi. Demikian aku rasakan ketika menerima seulas mesej berbentuk sajak pada petang tadi. Di sini aku ukirkan bait-bait indah kiriman anak murid tercinta:

SAJAK BUAT CIKGU ROHANA
Karya : Farha Mohamad
(5 Pluto Tahun 2010)

Jasamu bagaikan lautan,
terlalu luas dan dalam,
kasih sayangmu begitu agung,
yang meniti setiap suka dan duka,
tidak dapat kubalas.

Bagaikan pasir pantai,
yang sukar untuk dihitung,
begitulah pengorbanan,
yang kutuntut setiap kali,
aku melihat alam.

Kejayaan ini adalah titik mulia,
untuk memperoleh kejayaan lebih cemerlang,
pada hari-hari mendatang.

Hari semalam,hari ini dan hari mendatang,
bisikanmu guru masih menjadi keramat,
mengatur langkah menuju haluan.

Terima kasih,GURU
sepanjang hayat,namamu tetap wangi di ingatan.