BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS
BAHASA JIWA BANGSA

Wednesday, December 22, 2010

MESYUARAT GURU SMK KAMIL KALI PERTAMA TAHUN 2011

SMK KAMIL, PASIR PUTEH, KELANTAN, MALAYSIA. 22 DISEMBER 2010 - Sesi persekolahan 2011 yang akan bermula pada 2 Januari 2011 nanti dimulakan dengan langkah bergaya semua guru SMK Kamil apabila menghadiri mesyuarat pada hari ini. Mesyuarat bermula pada pukul 8.30 pagi di Dewan Bestari. Para guru yang hadir dibekalkan dengan fail yang mengandungi maklumat pengurusan dan pentadbiran sebagai rujukan dan tindakan untuk memulakan tugas pada sesi persekolahan 2011.

Tuan Haji Zainuddin bin Harun, Pengetua SMK Kamil mempengerusikan mesyuarat. Beliau membentangkan Perancangan Strategik SMK Kamil Tersohor tahun 2011 - 2015. Nilai Korporat SMK Kamil adalah seperti berikut:
K = KETERAMPILAN
A = AMANAH
M = MUAFAKAT
I = ILTIZAM
L = LUHUR

VISI SEKOLAH : SMK KAMIL Akan Melahirkan Pelajar Kelas Pertama Bertaraf Glokal.

MISI SEKOLAH : Berusaha Menjana Pndidikan Bestari ke Arah Melahirkan Pelajar
Terbilang Secara Holistik.

Selepas pembentangan beliau, para guru menikmati sedikit juadah minum pagi pada pukul 11.00 pagi. Agenda mesyuarat disambung semula dengan pengesahan minit mesyuarat lalu dan perkara-perkara berbangkit.

PK Pentadbiran, Tn. Hj. Mohd Razak bin Che Yaakob membentangkan laporan Pengurusan Kurikulum SMK Kamil untuk tahun 2011. Projek SMK Kamil untuk kurikulum adalah "Straihght A's". Seterusnya En. Che Aziz bin Mat, PK HEM SMK Kamil membentangkan laporan Pengurusan Hal Ehwal Murid dengan projeknya "Pembangunan Insan". Tidak ketinggalan PK Kokurikulum, En Wan Hussin bin Wan Ismail turut menyemarakkan tugasan Pengurusan Kokurikulum dengan membawa projek gemilang "Semarak KOKUM".

Para guru SMK Kamil masing-masing menerima tugasan dengan berlapang dada dan tekad tinggi menjulang dalam melaksanakan amanah yang bukan sahaja akan dinilai di atas muka bumi ini tetapi sebaliknya penilaian Yang Maha Esa itulah yang paling perlu diutamakan. Memikul amanah adalah satu tugasan yang amat berat bagi orang-orang yang beriman kerana nanti kiraan akan dilakukan oleh Allah SWT. Yang seterusnya terdapat sedikit pembaharuan pada tahun ini apabila para guru diperlukan menulis "CATATAN TUGAS HARIAN". Aduhai!

Mesyuarat berakhir pada pukul 2.00 petang dan para guru menikmati juadah istimewa makan tengah hari di kantin sekolah. Terima kasih petender kantin yang baru.

Sebelum melangkah ke tanggal 2 Januari 2011 berikut adalah tugas yang tersenarai buat cikgu Rohana binti Mohd Noor:

Sunday, December 5, 2010

MERAH SILU

Sinopsis

Merah Gajah berkahwin dengan Puteri Betong. Puteri Betong melahirkan Merah Silu. Selepas itu Puteri Betong melahirkan Merah Hasum pula.

Puteri Betong mempunyai sehelai rambut berwarna keemasan di tengah kepala. Pada suatu hari Merah Gajah terlihat rambut itu dan Merah Gajah meminta izin untuk mencabut rambut itu. Puteri Betong tidak membenarkannya kerana jika dicabut maka bercerailah mereka. Merah Gajah acap kali meminta untuk mencabut rambut itu tetapi Puteri Betong tidak mengizinkan. Merah Gajah mencabut rambut itu ketika Puteri Betong sedang tidur. Merah Gajah menganggap tidak akan ada apa-apa yang berlaku. Malangnya darah keluar dari liang rambut yang dicabut itu. Akhirnya Puteri Betong hilang apabila darah berhenti keluar

Orang suruhan Merah Gajah memberitahu Raja Muhammad (bapa Puteri Betong). Raja Muhammad marah lalu menghimpunkan tentera untuk pergi membunuh Merah Gajah. Raja Ahmad (bapa Merah Gajah) diberitahu tentang hal itu. Raja Ahmad terlalu marah lalu menghimpunkan tentera untuk menyerang Raja Muhammad. Akhirnya Raja Muhammad dan Raja Ahmad mati kedua-duanya dalam pertempuran itu

Merah Silu mencadangkan kepada Merah Hasum agar mereka meninggalkan Semerlanga. Merah Silu mencadangkan mereka pergi mencari negeri yang lebih baik. Lagipun Merah Silu memberitahu bahawa mereka sudah tiada sesiapa lagi di situ.

Merah Silu dan Merah Hasum sampai di sebuah negeri bernama Beruana. Merah Silu memasang bubu untuk menangkap ikan. Merah Silu mendapati bubunya penuh dengan cacing gelang. Merah Silu membuang cacing itu dan memasang bubu lagi tetapi masih didapati cacing gelang dalam bubunya. Merah Silu melakukan perkara itu beberapa kali tetapi masih terdapat cacing gelang. Akhirnya Merah Silu membawa balik cacing gelang itu lalu direbusnya di dalam kawah. Merah Silu mendapati cacing itu bertukar menjadi emas dan buihnya menjadi perak. Merah Silu menjadi kaya.

Orang memberitahu Merah Hasum tentang hal Merah Silu. Tetapi Merah Hasum berdiam sahaja. Merah Silu kemudian mengupah orang-orang menangkap kerbau liar. Merah Hasum tidak suka tabiat Merah Silu mempermainkan kerbau liar itu. Merah Hasum memberitahu dia berasa malu akan perbuatan Merah Silu. Merah Hasum meminta Merah Silu meninggalkan tempat itu jika tidak mahu mendengar katanya. Merah Silu ingin mencari tempat tinggal lain setelah mendengar pesanan Merah Hasum.

Merah Silu membina petempatan di simpang di hulu Karang. Penduduk kampung tidak suka kerana kerbau Merah Silu makan tanaman mereka. Merah Silu berpindah lalu sampai di Buluh Telang. Megat Iskandar menyambut Merah Silu dan menjamunya makan. Merah Silu memohon keizinan untuk tinggal di Buluh Telang. Megat Iskandar mengizinkan Merah Silu tinggal di situ. Megat Iskandar memberitahu bahawa ladangnya luas di situ dan kerbau mempunyai banyak tempat makan. Merah Silu menjadikan Megat Iskandar bapa angkatnya.

Merah Silu gemar menyabung ayam di Buluh Telang. Merah Silu membayar wang taruhan kepada orang yang kalah. Ramai orang datang menyabung ayam kerana berita itu telah tersebar. Penonton yang datang menonton sabung ayam pun diberi seekor kerbau

Megat Iskandar mencadangkan agar Merah Silu dijadikan raja. Megat Iskandar mencadangkan hal itu kerana Merah Silu keturunan raja dan hartawan. Tun Aria Benong enggan kerana tidak mahu keturunannya diperintah Merah Silu. Megat Iskandar tetap ingin merajakan Merah Silu.

Apabila Merah Silu menjadi raja, Sultan Maliku’l Nasar menyerang Merah Silu. Sultan Maliku’l Nasar tewas lalu berundur ke negeri Benua. Merah Silu terus memerangi Sultan Maliku’l Nasar hingga melarikan diri ke rimba. Merah Silu memerangi lagi hingga Sultan Maliku’l Nasar lari ke beberapa tempat. Sultan Maliku’l Nasar akhirnya tewas. Merah Silu dirajakan di Rimba Jerun oleh Megat Iskandar.

Saturday, December 4, 2010

KARYA PELAJAR

Pantun 1Malaysia
Oleh : Azreen Afiza binti Jaffri
5 PLUTO 2010

Peria banyak di tepi telaga
Dicelur menjadi ulam-ulaman
Malaysia terulung seluruh negara
Perpaduan kaum amat diterapkan.

Ceria suria terang cahaya
Semua gembira sukalah hati
1Malaysia konsep utama
Biarlah kekal di dalam hati.

Sampin sutera tanda balas
Tandanya cinta sudah diikat
Pemimpin bekerja mestilah ikhlas
Pencapaiannya itu dinilai rakyat.

Kelapa dara kelapa tua
Sedapnya isi, airnya tumpah
Di mana lagi negara tercinta
Malaysia bumi tumpah darah.

Hujan turun renyai-renyai
Membasahi bumi dingin terasa
Malaysia kini aman dan damai
Rakyat bersatu membina bangsa.

Sambal tempoyak enak dimakan
Dicicah pula dengan peria
Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan
Itulah konsep 1Malaysia.

Anak kucing makan ikan
Makan pula di tepi tangga
Perdana Menteri selalu mengatakan
Budi bahasa budaya kita.

Buah mangga masaknya ranum
Dipetik pula oleh Pak Isa
Warga Malaysia mestilah kagum
Mempunyai rakyat berbilang banga.

Buah jambu dicuri kera
Dilastik Pak Samad terus mati
1Malaysia, satu suara
Semua bangsa bersatu hati.

Indah nian pemandangan desa
Sawah menghijau, sungainya jernih
Hidup bermuafakat amalan bersama
Bukti perpaduan tidak disisih.

Ombak berlagu memukul pantai
Memukau pandangan setiap insan
Warga Malaysia mestilah pandai
Mencapai matlamat di masa hadapan.

Wednesday, December 1, 2010

KAJIAN NOVEL : RENYAH

TEMA

Novel ini bertemakan konflik keluarga. Kehidupan sebuah keluarga yang menjadi pincang akibat sikap anak-anak.
Datuk Dolhi yang mengusahakan perniagaan bersama Albert Lee berasa bimbang terhadap anak-anaknya yang tidak berminat untuk menguruskan perniagaannya sehingga merisaukan beliau sekiranya tiada anak-anak yang menggantikan tempatnya kelak. Kebimbangannya bertukar menjadi kecewa apabila anak-anaknya terlibat dalam pelbagai salah laku.



PERSOALAN

1. Dunia korporat dan urusan perniagaan.
2. Kegiatan pendakwah yang menyimpang daripada ajaran Islam sebenar.
3. Rasuah dalam kalangan kakitangan kerajaan.
4. Kecenderungan golongan artis (penyanyi ‘rock’) terlibat dengan dadah.
5. Aktivis alam sekitar.
6. Dasar Pandang ke Timur
7. Aktiviti para datin.
8. Mendidik anak-anak.
9. Sikap orang Melayu terhadap perniagaan.
10. Budaya kerja dan pembangunan ekonomi Jepun.
11. Minat dan kecenderungan anak yang tidak dapat diubah atau dipaksa oleh ibu
bapa.
12. Perpaduan kaum / persahabatan yang tidak terbatas kepada bangsa dan agama.
13. Kepentingan ilmu pengetahuan melalui pembacaan dan pengalaman.
14. Jodoh dan perkahwinan.
15. Sikap menghargai barangan dan jenama tempatan.


BINAAN PLOT

Cerita disampaikan secara kronologi iaitu mengikut urutan masa. Kisah zaman silam Datuk Dolhi disampaikan secara imbas kembali melalui lamunannya.

Peringkat Pengenalan

1. Datuk Dolhi resah apabila mengenangkan lima orang anaknya tidak berminat untuk melibatkan diri dalam perniagaan bagi menggantikan tempatnya dalam syarikat Dolhi - Albert Holding.
2. Hasnol memegang jawatan sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik amat mementingkan kedudukannya sebagai pegawai tinggi dan kuasa yang ada padanya. Amera amat mencintai bidang perguruan. Ilham pula merupakan penyair, penulis dan aktivitis alam sekitar. Mukhlis terlibat dengan sebuah pertubuhan dakwah Islamiah songsang dan tidak mahu bekerja. Dani berminat dalam bidang muzik, menjadi penyanyi sebuah kumpulan muzik ‘rock’ dan akan merakam lagu.
3. Datuk Dolhi dan Albert Lee menjalankan pelbagai jenis perniagaan melalui syarikat Dolhi - Albert Holding. Anak Albert Lee iaitu Robert Lee turut terlibat dalam perniagaan itu. Albert Lee ingin memperkukuh kedudukan keluarganya dalam Dolhi – Albert Holding dengan berhasrat untuk menjodohkan Robert Lee dengan Amera.
4. Datuk Dolhi mempunyai seorang anak lelaki bersama isteri keduanya yang telah meninggal dunia.
5. Kesibukan Datuk Dolhi sebagai usahawan. Dia memeriksa projek, menghadiri seminar, ke luar negara untuk mencari rakan kongsi, mencari peluang perniagaan di luar negara dan memberikan ceramah kepada usahawan muda.
6. Gambaran kehidupan para datin. Datin Tominah dengan beberapa orang datin yang lain mengadakan pertemuan untuk membincangkan penubuhan kelab baharu yang berfungsi menjaga kepentingan datin dan memulakan perniagaan butik busana Islam.


Peringkat Perkembangan

1. Wahi mencadangkan budaya kerja Jepun yang dikenali sebagai Sistem Gugus Kawalan Mutu (QCC) diaplikasikan dalam syarikat Dolhi – Albert Holding.
2. Datin Tominah ingin memulakan perniagaan butik busana Islam dan memujuk Datuk Dolhi supaya mengeluarkan modal.
3. Hasnol kerap meminjam wang untuk membayar kad kredit. Linda cenderung kepada gaya hidup mewah sehingga Hasnol terpaksa berhutang.
4. Ilham menceroboh masuk ke bilik Inem, pembantu rumah menyebabkan Inem berhenti kerja serta-merta. Ilham lari ke Sarawak untuk menentang aktiviti pembalakan yang diusahakan oleh syarikat Dolhi – Albert Holding.
5. Mukhlis menjalani kehidupan yang daif di perkampungan Islam Sungai Bakau. Dia berkahwin dengan Hanisah, janda tuk guru yang sudah beranak tiga.
6. Dani leka dengan kumpulan muzik ‘rock’ dan akan merakamkan lagu.
7. Amera terpilih sebagai pendidik terbaik seluruh negeri. Dia dilamar oleh Timbalan Menteri Tugas-tugas Khas iaitu YB Wahab Yassin dan berkahwin.
8. Hasnol didesak dan diugut oleh Tengku Munir supaya meluluskan dua belas tender yang disertai syarikatnya. Dia mendesak supaya Hasnol memberikan semua projek kerajaan kepada syarikatnya. Sebagai ganjaran, Hasnol diberikan tiga ratus ribu ringgit.
9. Tengku Munir memarahi Hasnol kerana syarikatnya hanya menang empat tender daripada dua belas yang disertai syarikatnya. Dia mendesak Hasnol supaya membatalkan tender yang telah diberikan kepada syarikat lain.
10. Datuk Dolhi bercuti ke Jepun selama dua minggu. Dia memberitahu Wahi bahawa Wahi ialah anaknya bersama Mastura. Wahi pula menyampaikan berita bahawa dia akan berkahwin dengan gadis Jepun iaitu Yuka.


Klimaks / Puncak

1. Ilham lari ke negara Barat bersama Bruno Manser. Dia dianggap pengkhianat negara kerana memburuk-burukkan negara berkaitan isu pembalakan.
2. Datuk Dolhi mengumumkan kepada isteri dan anak-anaknya bahawa Wahi ialah anak kandungnya dengan isteri keduanya yang telah meninggal dunia.
3. Dani ditangkap polis kerana memiliki dadah ketika mengadakan persembahan kumpulan Young Rock Band di sebuah pekan kecil.
4. Mukhlis dilanggar motosikal ketika merayau-rayau di sebuah pekan.
5. Tengku Munir membuat aduan bahawa Hasnol meminta wang setengah juta ringgit sebagai ganjaran meluluskan dua belas tender yang disertai syarikatnya.


Peringkat Peleraian dan Penyelesaian

1. Wahi kembali ke tanah air bersam isterinya, Yuka dan menerajui perniagaan Dolhi – Albert Holding. Yuka pula bertugas di bahagian personel dalam syarikat yang sama.
2. Albert Lee keluar dari Syarikat Dolhi – Albert Holding. Persahabatan antara Datuk Dolhi dengan Albert terlerai.
3. Hasnol ditahan oleh pihak berkuasa atas tuduhan rasuah.
4. Dani akan dibicarakan berkaiatan kes dadah dan akan dimasukkan ke pusat pemulihan dadah.
5. Mukhlis dirawat di hospital mental.
6. Ilham masih menjadi buruan pihak berkuasa Malaysia.



TEKNIK PLOT

Teknik plot ialah cara pengarang menyampaikan cerita dalam karyanya. Kepelbagaian teknik plot dapat menarik minat pembaca untuk meneruskan pembacaan novel berkenaan. Berikut adalah perbincangan tentang teknik plot atau teknik penceritaan yang terdapat dalam novel Renyah:

1. Teknik Pemerian
Pengarang menggunakan teknik pemerian untuk menggambarkan suasana, keadaan, gambaran atau pendirian watak, latar, dan sebagainya. Teknik ini tidak memerlukan dialog kerana pengarang bertindak sebagai pencerita.

Sebagai contoh, pada halaman 53, pengarang menulis tentang perbuatan Amera menghempas buku di atas meja dan dia meluat melihat muka Ilham. Manakala, Dani terus memetik gitar sambil terkumat-kamit melagukan puisi yang diberikan oleh Ilham.

Selain itu pengarang memerihalkan suasana di rumah Datuk Dolhi setelah kepulangan wahi dan isterinya, Yuka dari Jepun.

Malam itu mereka sekeluarga berhimpun walaupun tidak lengkap semuanya. Suasana terasa meriah dengan kedatangan ahli baharu. Malam itu juga Datuk Dolhi mencerita segala-galanya. Suasana tiba-tiba berubah pilu apabila kisah Mastura yang hidup dalam keterasingan diceritakan. Bagaimanapun, Datuk Dolhi tidak mahu kesedihan itu berterusan. (Halaman 210)


2. Teknik Dialog
Dialog ialah pertuturan antara watak. Teknik ini digunakan untuk melahirkan pendapat watak tentang sesuatu perkara. Penggunaan teknik dialog dalam sesebuah cerita menjadikan jalan cerita lebih realistik. Sebagai contoh pada halaman 103 – 104, Datin Tominah bertanya kepada suaminya mengenai tempat tinggal anak mereka, Mukhlis. Datuk Dolhi menjelaskan bahawa Mukhlis berada di Sungai Bakau, di perkampungan jemaah anaknya. Datin Tominah ingin tahu lebih lanjut, tetapi Datuk Dolhi tidak tahu tentang perkara yang dilakukan oleh Mukhlis pada waktu itu.


3. Teknik Imbas Kembali
Imbas kembali bermaksud ingatan watak terhadap peristiwa yang telah berlaku atau yang telah dialaminya. Teknik ini juga digambarkan sebagai penceritaan semula peristiwa yang telah berlaku melalui mimpi, kenangan, lamunan, ingatan atau watak bercerita kepada watak lain.
Dalam novel ini, teknik imbas kembali disampaikan melalui lamunan watak Datuk Dolhi:

‘Datuk Dolhi terkenangkan pertama kali dia pergi ke Jepun mengikut program JICA. Terkulat-kulat dia dan rakan-rakan mencuba resepi Jepun. Rasa was-was tidak dapat dielakkan. (Halaman 3)


4. Teknik Saspens atau Ketegangan
Saspens bermaksud peristiwa dalam cerita yang menimbulkan keadaan tertanya-tanya atau perasaan ingin tahu dalam kalangan pembaca tentang peristiwa yang akan berkalu selanjutnya. Dengan wujudnya perasaan ingin tahu, pembaca akan terus membaca karya tersebut.

Antara contoh saspens yang terdapat dalam novel ini adalah ketika Amera mendapat jambangan bunga daripada peminat misterinya. (Halaman 91 – 92)

Contoh seterusnya adalah tentang pendirian Hasnol dan tender yang disertai oleh Tengku Munir. Hasnol menerima ugutan daripada Tengku Munir supaya meluluskan permohonan tendernya dengan balasan akan diberi wang sebanyak tiga ratus ribu ringgit. (Halaman 146)

Terdapat juga unsur saspens apabila Datuk Dolhi teringat akan Wahi yang berada di Jepun. Pembaca tertanya-tanya dan ingin mengetahui siapakah sebenarnya Wahi.

Begitu juga rahsia Wahi yang disimpan oleh Datuk Dolhi, menimbulkan kebimbangan sekiranya Wahi enggan menerima hakikat itu. (Halaman 108)


5. Teknik Kejutan (surprise)
Kejutan bermaksud perubahan dalam urutan peristiwa yang berlaku secara tiba-tiba tanpa diduga. Pembaca terkejut akan peristiwa yang di luar jangkaan mereka. Kesan yang timbul daripada perubahan itu tidak sama dengan yang diduga oleh pembaca.

Antara contoh kejutan dalam novel ini adalah peristiwa Datuk Dolhi memberitahu bahawa Wahi adalah anaknya bersama isteri kedua kepada seisi rumah.

Malam itu seisi rumah Datuk Dolhi gempar apabila dia mengisytiharkan bahawa Wahi ialah anaknya daripada isteri kedua. Datin Tominah menangis teresak-esak. Dia menelefon saudar-maranya. Amera termenung panjang. Dani menggeleng-geleng. Hasnol tidak menjawap apa-apa apabila Datin Tominah memberitahu. Masing-masing menyimpan perasaan. (Halaman 176 – 177)

Pembaca juga terkejut dengan peristiwa Albert Lee, rakan kongsi dan sahabat Datuk Dolhi mengambil keputusan untuk keluar dari syarikat Dolhi – Albert Lee Holding.

Albert Lee yang tidak berpuas hati telah menuduh anak-anak Datuk Dolhi yang menyebabkan syarikat mereka merosot. Tindakan Ilham menyebabkan kontrak mereka dibatalkan. Penglibatan Hasnol dalam skandal rasuah menyebabkan pegawai-pegawai BPR menyiasat bagaimana Dolhi – Albert Holding mendapatkan tender-tender mereka. Kedatangan YB timbalan menteri ke dalam keluarga Datuk Dolhi tidak banyak membantu, malah mendatangkan kecurigaan pula.

Persahabatan Albert Lee dengan Datuk Dolhi terlerai begitu sahaja. Keputusan meletakkan Wahi di tempat Datuk Dolhi membuatkan Albert Lee tidak gembira, bahkan berasa terancam.
“Kita akan tarik diri, Robert,” kata Albert kepada anaknya.
(Halaman 212 – 213)


6. Teknik Monolog

Monolog bermaksud tutur atau pengucapan sesuatu watak, sama ada ditujukan kepada dirinya sendiri atau kepada orang lain.

Contoh monolog dalam novel ini adalah ketika Datuk Dolhi menatap kertas cadangan Wahi tentang Kawalan Mutu Menyeluruh (KMM);

“Macam-macam idea si Wahi ni,” bisik Datuk Dolhi.
(Halaman 65)

Datuk Dolhi juga bermonolog:

Kalaulah dia dapat menulis sebegitu, akan ditulisnya surat penjang lebar kepada anak-anaknya. Kepada Hasnol, dipintanya supaya meninggalkan perkhidmatan awam dan terjun segera ke dunia korporat. Kepada Ilham dipintanya supaya meninggalkan kerja yang sia-sia. Kepada Amera, dipintanya supaya memikirkan hari depan yang lebih cemerlang. Kepada Mukhlis, dipintanya supaya meninggalkan kesongsangan hidup. Kepada Dani, dipintanya supaya memikirkan muzik sebagai karier. Tiba-tiba Datuk Dolhi teringatkan Wahi di Tokyo. Apa khabar gerangan orang muda itu? Tekun sungguh dia… (Halaman 107 108)

Selain itu terdapat monolog dalaman Datuk Dolhi mengenangkan nasib orang Melayu dan anak-anaknya yang tidak gemar berniaga:

“Melayu … Melayu. Ya, allah, selamatkanlah Melayu di muka bumi ini.” Itulah ucapan Datuk Dolhi setiap kali dia mendengar kedangkalan orang Melayu.

Tidak boleh disalahkan orang lain juga, bisik hatinya. Lima orang anaknya juga buta niaga, buta usaha. Istilah bisnes tidak bercambah dalam otak mereka. Apakah dia mahu salahkan system pelajaran atau system masyarakat? Jangan! Orang berfikiran positif tidak akan menyalahkan orang lain. (Halaman 32)


7. Teknik Menamatkan Cerita
Dalam novel Renyah, pengarang menggunakan teknik penamat terbuka. Pengarang memberikan peluang kepada pembaca untuk menentukan kesudahan cerita dan cerita seolah-olah tergantung.
Pengarang mengakhiri cerita dengan:

Petang itu Datuk Dolhi mencari ketenangan sambil membilang satu per satu nama anaknya. Dia membayangkan masa depan Hasnol, Ilham, Amera, Mukhlis, dan Dani. Kemudian dia memikirkan hal Wahi. Kesemua mereka warisnya yang berpotensi, diberikan ppendidikan hingga ke institute pengajian tinggi. Berbanding dengan Wahi, anak-anaknya yang lain telah dibesarkan dengan limpahan kemewahan. Barangkali, itulah sebabnya mereka terbiasa dalam zon selesa. Wahi yang dibesarkan dalam zon yang penuh cabaran, akhirnya muncul sebagai pemuda yang berjiwa kental.

Datuk Dolhi memujuk hati, langit mana yang sentiasa cerah, bumi mana yang tidak ditimpa hujan. Dia berharap anak-anaknya akan bangkit membersihkan kesilapan lalu dan memantapkan peribadi demi meneruskan perjuangan hidup. Kepada Wahi, dia menaruh harapan yang tinggi agar anaknya itu dapat memperluaskan empayar perniagaannya. Moga dengan perluasan itu kelak, anak-anaknya yang lain akan tertarik untuk menerjuni bidang korporat sebagaimana yang diimpi-impikannya. Dia bermunajat kepada Allah Subhanahuwataala agar mereka sekeluarga diberikan hidayah untuk meneguhkan iman, sekali gus menempa kejayaan.

Friday, November 26, 2010

SAJAK : MENGINTAI RUANG INSAF

Karya : Shukri Abdullah

Semakin berat kejahilan
terpikul di bahu
semakin jauh perjalanan
memburu nur-Mu.

Sewaktu berlari di padang hidup
kerap kakiku tersadung selirat akar
tubuhku tercalar duri pidana
pada samar kejauhan
ancala mulia makin kabur
dan menghilang.

Sekadar songsang aksara kata
tanpa kembali ke tunjang makna,
”Apakah dalam sarat khilaf
masih terbuka ruang untuk
dianugerahkan keinsafan?”

Rabb,
moga pintu taubat-Mu terbuka
sebelum api dari bara itu menyala.

MAKSUD RANGKAP PERTAMA
Penyajak berasakan semakin banyak kejahilan
(dosa) yang dilakukan, dia merasakan dirinya semakin jauh untuk mendapatkan hidayah Tuhan.

MAKSUD RANGKAP KEDUA
Sewaktu penyajak meneruskan perjalanan hidup,
kerap kali dia melakukan kesilapan.
Hingga mendapat kesan daripada kejahatan.
Akibatnya jalan menuju kebenaran dan kemuliaan semakin sukar diperoleh dan semakin menghilang.

MAKSUD RANGKAP KETIGA
Dengan melakukan sesuatu kesalahan,
tanpa kembali ke pangkal jalan.
Penyajak mempersoalkan jika banyak melakukan dosa, masih terdapatkah peluang untuk kembali ke pangkal jalan.

MAKSUD RANGKAP KEEMPAT
Penyajak berdoa kepada Tuhan agar menerima taubatnya sebelum dia meninggal dunia (sebelum dia dimasukkan ke dalam neraka)

MEMORI SEORANG TUA

Karya : Zahari Affandi
Sinopsis

Pak Itam berasa sangat nyaman benar kehidupan di kampung, namun kenyamanan itu terganggu kerana banyak bangunan kilang didirikan. Walaupun tidak begitu berkenan dengan pembinaan kilang tetapi Pak Itam merelakannya kerana kian ramai anak muda yang menganggur. Pak Itam sedar jika anak muda tiada pekerjaan, sudah pasti banyak perkara yang tidak baik akan berlaku. Pak Itam juga mengenangkan zaman mudanya yang sering masuk dan keluar penjara. Malam itu Pak Itam sukar melelapkan mata kerana banyak perkara yang belum selesai berkaitan majlis hari jadinya yang ingin diadakan. Baki duit yang digunakannya untuk ke Makkah akan digunakan untuk mengadakan majlis hari jadinya untuk diraikan bersama-sama penduduk kampung dan pelajar-pelajar universiti yang dijemput untuk menemu ramahnya berkaitan sejarah. Pak Itam teringat bahawa dia masuk dan keluar penjara pada zaman Inggeris dan Jepun kerana menentang penjajah sedangkan beliau merupakan majistret Melayu pertama di Malaya.

Pak Itam cukup kecewa kerana ada kawan-kawannya yang pulang dari Britain lebih Inggeris daripada orang Inggeris sendiri dan memandang jijik kepada anak bangsa sendiri yang hidup dalam kedaifan. Pak Itam kehilangan semua orang yang amat disayanginya kerana perjuangan untuk memajukan orang Melayu. Isterinya, Siti Nurhidayah datang menuntut fasakh ketika Pak Itam berada di dalam penjara dan itulah kali terakhir dia bertemu anaknya, Izwan dan Nuryani Iman. Pak Itam amat sedih atas perpisahannya dengan semua orang yang disayanginya itu. Pak Itam tetap merindui mereka yang telah meninggalkannya.

Pak Mat, orang kanannya memberitahu bahawa tempat pameran sudah disediakan untuk pameran buku-buku dan semua makalah Pak Itam semasa majlis hari jadinya. Pak Itam mempunyai seorang anak angkat yang bernama Sidah tetapi kini sedang mengikut suaminya membuat PhD di UK.

Pak Itam sangat gembira dengan keharmonian yang wujud di Langat. Dia merasakan bahawa perkara itu merupakan kejayaannya dalam perjuangannya sejak dahulu kerana dia inginkan keharmonian dan semangat bersatu padu dalam kalangan anak bangsanya. Pak Itam sangat bimbang akan wujudnya perpecahan dalam kalangan orang Melayu dan beliau berharap agar perpecahan ini dapat diselesaikan dengan segera secara bertolak ansur dan bersefahaman.
Tiba pada majlis hari jadinya, antara artis jemputan yang hadir untuk membuat persembahan dalam majlis itu ialah Aziz H.M, Zubir dari Pusat Kebudayaan UM, Cik Habsah dari Terengganu dan Kumpulan Kopratasa yang datang membuat persembahan secara percuma. Namun tetamu-tetamu dari jauh tidak kunjung tiba. Wartawan akhbar dan televisyen serta jemputan khas tidak hadir menyebabkan tempat letak kereta yang disediakan menjadi lengang. Hanya penduduk Langat sahaja yang datang, itu pun kerana ada persembahan Kumpulan Kopratasa. Hal ini menjadikan Pak Itam menjadi sayu kerana sedar bahawa jasanya semakin dilupakan.

Pak Itam memberitahu kepada Pak Mat bahawa dia hendak sembahyang Zuhur. Tidak lama selepas itu, Kiah, anak Pak Mat datang memberitahu bahawa sesuatu yang buruk telah berlaku kepada Pak Itam. Pak Mat mendapati Pak Itam terbaring di atas sejadah. Ketika Doktor Kamsani tiba dan mengesahkan Pak Itam sudah meninggal dunia. Tidak lama selepas itu muncul seorang wanita yang telah berumur dengan membawa sejambak ros merah. Wanita itu melutut dan memegang kaki jenazah Pak Itam. Selepas mengesat air matanya, wanita itu itu meletakkan jambangan ros merah di hujung kaki jenazah Pak Itam sebelum beredar meninggalkan rumah itu. Semua orang yang berada di situ tercengang kerana tidak mengenali wanita misteri itu. Namun Tuk Mat mengagak bahawa hajat Pak Itam sudah kesampaian.

Sunday, November 14, 2010

MAJLIS PERSARAAN TUAN HAJI MAT SAID BIN MOHAMAD

SMK KAMIL, PASIR PUTEH, KELANTAN 14 NOVEMBER - Seorang lagi guru yang amat dikasihi oleh para pelajar bakal menamatkan usia perkhidmatan beliau pada 25 Disember 2010 nanti. Beliau memilih untuk bersara wajib pada umur 56 tahun. Guru yang dimaksudkan ialah Tuan Haji Mat Said bin Mohamad. Justeru Kelab Guru dan Kakitangan SMK Kamil telah menganjurkan majlis persaraan untuk beliau pada pagi ini bertempat di Dewan Besar SMK Kamil.

Pengerusi majlis ialah Pn. Rohana binti Mohd Noor. Majlis dimulai dengan bacaan doa, dan disusuli dengan ucapan wakil pelajar oleh anakanda Mohd Saddam bin Abdullah. Seterusnya Tn Hj Mohd Razak bin Che Yaakob, PK Pentadbiran menyampaikan ucapan mewakili tuan pengetua dan seluruh warga SMK Kamil. Tuan Haji Mat Said bin Mohamad turut dijemput untuk meluah kata-kata ucapan terakhir beliau sebelum meninggalkan sekolah ini. Majlis penyampaian cenderahati dan acara bersalam-salaman mengakhiri tirai majlis jasamu dikenang dan budimu disanjung ini.

Berikut adalah sedikit coretan yang menyusuri perjalanan kehidupan seorang ustaz yang telah menabur banyak jasa dalam persada pendidikan khasnya di SMK Kamil:

Pada redup wajah seorang ustaz, ada serimbun pengalaman menghiasi perjalanan kehidupannya. Lukisan semalam yang dilalui penuh dengan catatan suka duka sebagai seorang pendidik. Untuk itu marilah kita menyelami perjalanan kehidupan Tn Hj Mat Said bin Mohamad

Nun di sebuah desa dalam daerah Besut, Terengganu, berbunga hati sepasang suami isteri menyambut kelahiran bayi mereka pada tanggal 25 Disember 1954. Bayi comel berkulit putih bersih itu kemudiannya diberikan nama Mat Said bin Mohamad. Mekar harapan ayah bonda untuk melihat anak ini membesar sebagai seorang ustaz yang padanya nanti boleh ditumpangkan ilmu dunia dan akhirat.

Justeru anak kecil ini dihantar untuk mendapatkan pendidikan awal di SK Kerandang dari tahun 1961 hingga 1969. Beliau seterusnya melanjutkan pelajaran ke SM Agama Ittifakiah, Jerteh pada tahun 1966 hingga 1969. Setelah lulus Sijil Rendah Pelajaran, beliau meneruskan pengajian ke SM(A) Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu pada tahun 1970 hingga 1972. Kemudian beliau melanjutkan pelajaran ke tingkatan 6 di Kolej Islam Kelang pada tahun 1973 hingga 1974. Berbekalkan kelulusan Sijil Tinggi Pelajaran (STP), anak muda yang berwawasan ini akhirnya berjaya menjejakkan kaki ke menara gading, Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 1975 hingga 1978. Harapan keluarga ditunaikan apabila beliau lulus dengan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam serta Diploma Pendidikan yang membolehkan beliau menjawat jawatan sebagai seorang ustaz.

Tuan Haji Mat Said bin Mohamad memulakan tugas sebagai guru muda yang berjiwa kental untuk menabur bakti di SMK Kuala Krai pada tanggal 17 Ogos1978 hingga 31 Disember 1982. Seterusnya beliau berhijrah ke SMK Kamil pada 1 Januari 1983 hingga 31 Ogos 1983. Beliau kemudiannya dipinjamkan untuk berkhidmat di SM (A) Saniah pada 1 September 1983 hingga 31 Disember 1986. Dan seterusnya beliau kembali semula bertugas di SMK Kamil ini pada 1 Januari 1987 hinggalah sekarang. Beliau meraih pengalaman sebagai seorang guru selama tahun.

Dengan wajah kacak, menawan dan bergaya, beliau bertemu cinta pertama dan seterusnya ke jinjang pelamin bersama Pn Azimah binti Shafie pada tahun 1984. Membina teratak keluarga di Kampung Surau, Pasir Puteh dan hidup berbahagia bersama 7 orang cahaya mata, 4 orang perempuan dan 3 orang lelaki. Anak pertama telah selesai menamatkan pendidikan dan telah mula bertugas di UIA. Anak kedua di UITM dan anak ketiga di UIA. Anak keempat di tingkatan 5 dan anak bongsu berusia 5 tahun.

Tuan Haji Mat Said banyak melakar pengalaman sebagai seorang Setiausaha Biasiswa iaitu Setiausaha Biasiswa yang paling lama di JPN Kelantan (1987 – 2008). Memegang tugas sebagai Ketua Panitia Pendidikan Islam, Guru kelas dan berpengalaman luas sebagai guru mata pelajaran Pendidikan Islam tingkatan 4 dan 5.

Beliau telah berkhidmat di bawah 9 orang Pengetua sepanjang berkhidmat di SMK Kamil ini. Katanya, Pengetua silih berganti, dan beliau baharu hendak meninggalkan sekolah ini. Beliau pernah ditawarkan untuk memegang jawatan pentadbiran tetapi beliau menolak dengan alasannya yang tersendiri.

Selepas bersara beliau bercita-cita untuk bergiat menceburi bidang perniagaan. Wawasan beliau selepas ini adalah untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya.

Kata-kata harapan yang beliau ingin tinggalkan kepada semua pelajar SMK Kamil adalah, “ilmu yang dipelajari bukan sekadar diterima tetapi perlu diamalkan dalam kehidupan seharian”.

Manakala kepada sahabat-sahabat guru di SMK Kamil, beliau menyatakan bahawa semua peristiwa yang dikongsi bersama di sekolah ini adalah menjadi kenangan manis, dan sesungguhnya tiada kenangan pahit bagi beliau.

Thursday, November 11, 2010

MAJLIS SEMBAHYANG HAJAT & IZIN ILMU SPM 2010

SMK KAMIL, PASIR PUTEH, KELANTAN 11 November 2010 - Ibu bapa, guru-guru dan pelajar-pelajar tingkatan lima berkumpul di surau SMK Kamil untuk menunaikan solat hajat sempena peperiksaan SPM yang bakal ditempuhi pada 23 November ini. Doa dan hajat dipanjatkan kepada Allah SWT kerana kejayaan mutlak adalah datang daripadaNYA. Malangnya beberapa orang guru tidak berkesempatan untuk bersama-sama kerana terpaksa mengawasi peperiksaan akhir tahun tingkatan satu, dua dan empat, termasuklah Pn.Rohana Mohd. Noor sendiri yang mengawasi peperiksaan di tingkatan 4US dan 2US. Walaupun begitu, di sudut hati seorang guru tetap tidak ketinggalan untuk memanjatkan doa kepada Allah SWT agar kejayaan yang cemerlang menjadi milik pelajar-pelajar SMK Kamil. Insya Allah.

Masa seterusnya disusuli dengan Majlis Izin Ilmu pada pukul 11.00 pagi yang bertempat di Dewan Besar SMK Kamil. Ucapan Pn.Hajjah Zaiton Yusof selaku Ketua Penyelaras Kecemerlangan SPM dihayati oleh semua pelajar. Seterusnya adalah ucapan daripada Tn.Hj. Zainuddin Harun, Pengetua SMK Kamil. Manakala acara bersalam-salaman dengan guru menyaksikan begitu banyaknya air mata tertumpah. Sedih....

Berikanlah kepada kami wangian kejayaanmu, wahai anak-anak tercinta!
Tirai majlis dilabuhkan pada pukul 1.30 petang. Terima kasih cikgu......

Sunday, November 7, 2010

KILAS AKHIR SPM 2010

SMK KAMIL, PASIR PUTEH, KELANTAN, MALAYSIA 7 NOVEMBER 2010 - Telah berlangsung program kilas akhir mata pelajaran Bahasa Melayu bermula pukul 8.00 hingga 9.00 pagi di Dewan Besar SMK Kamil. Semua pelajar tingkatan 5 berkumpul untuk mengikuti 'buah kilas' yang disampaikan oleh guru-guru Bahasa Melayu mereka. Majlis ini dipengerusikan oleh Pn Rohana binti Mohd Noor. Tips cemerlang untuk menjawab Kertas 1 disampaikan oleh Pn Hjh Salma binti Che Hassan. Sentuhan terakhir tatabahasa diberikan oleh En Juhaidi Abdullan manakala tajuk-tajuk penting KOMSAS dikupas oleh En Zainuddin bin Ahmad. Semua pelajar tekun mendengar sambil mencatat segala gugusan 'buah kilas' berkenaan memandangkan hanya tinggal 16 hari sahaja lagi untuk mereka bertempur di medan perjuangan ilmu.

Kami berempat selaku guru Bahasa Melayu SMK Kamil mengharapkan jawapan yang terbaik dapat diberikan oleh pelajar. Segala petua ilmu telah kami titipkan dan hanya menanti kesediaan mental mereka menempuh perjuangan ini. Semoga soalan yang akan dikemukakan nanti mudah dan dapat dijawab dengan baik. Kami iringi dengan doa semoga Allah SWT akan memberi kejayaan yang cemerlang kepada semua pelajar tingkatan 5 SMK Kamil tahun 2010.

Saturday, November 6, 2010

KOSA KATA HARI INI

1. Manhaj
Maksud: kaedah, cara
Ayat : Penerapan ilmu agama merupakan suatu manhaj yang dapat menghalang
golongan remaja terjebak dalam gejala sosial.

2. Renyah
Maksud: i. leceh, rumit, susah
ii. tidak senang, gelisah, risau, was-was
iii. keras tetapi senang menghancurkannya, rapuh
Ayat: Masalah yang menimpa anak-anak mereka menyebabkan Datuk Dolhi dan
Datin Tominah sentiasa renyah memikirkannya.

Friday, October 29, 2010

RUMUSAN KARANGAN
PENGENALAN


1.Rumusan karangan dikemukakan sebagai Soalan 1 dalam Bahasa Melayu SPM (Kertas 2).
2.Pada kebiasaannya pelajar diminta menulis rumusan berdasarkan petikan yang diambil daripada rencana akhbar ataupun majalah.
3.Rumusan karangan hendaklah ditulis dalam empat perenggan.
4.Panjang rumusan yang ditulis hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.
5.Anda disarankan mengambil masa 35 minit sahaja untuk menjawab soalan rumusan.
6.Bahagian-bahagian penting yang perlu ada dalam rumusan karangan ialah:

PEMARKAHAN

1. Sebanyak 30 markah diperuntukkan untuk rumusan karangan iaitu:
Isi - 20 markah
Bahasa - 10 markah

PANDUAN MENGIRA PERKATAAN
1. Perkataan yang dikira sebagai satu perkataan:
a. nama khas
Contoh : Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI)
Anggota Dewan Undangan Negeri

b. perkataan berulang
Contoh : berombak-ombak
menepis-nepis

c. penggunaan kata sendi di dan ke
Contoh : di sebelah
ke hospital

d. tarikh
Contoh : 15.02.1965
15 Mac 2006

e. angka yang ditulis dengan nombor atau perkataan
Contoh : 1965
dua puluh satu juta

f. gelaran
Contoh : Datuk Seri
Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia

2.Pelajar diwajibkan membilang jumlah perkataan rumusan karangan.
Jumlah perkataan itu hendaklah ditulis di bahagian bawah sebelah kanan kertas jawapan. Pastikan jumlah perkataan untuk rumusan karangan anda tidak melebihi 120 patah perkataan.








3

Monday, October 25, 2010

PUISI TRADISIONAL

DEFINISI

Puisi tradisional merujuk kepada susunan perkataan dalam bentuk karangan berangkap atau suatu bentuk pengucapan dalam susunan yang istimewa berbanding dengan pengucapan biasa seperti yang digunakan dalam pertuturan sehari-hari serta bahasa yang mementingkan kebenaran daya intelektual dan logika. Bentuk, pemikiran dan fungsi Melayu tradisional masih dikekalkan oleh masyarakat seperti keadaan tradidionalnya. Puisi tradisional juga dikenali sebagai puisi lisan yang berkembang dalam kesenian rakyat. Sesetengah bentuk puisi tradisional seperti mantera dan teromba mengandungi unsur ritual dan bersifat magis.


CIRI-CIRI

Pada umumnya, puisi tradisional mempunyai ciri-ciri yang berikut:

a) Memperlihatkan penggunaan bahasa yang lebih baik, ekspresif, kental, mengandungi nilai keindahan serta menimbulkan rangsangan dan kesan kepada pengalaman dan perasaan.

b) Mempunyai bentuk tertentu, berkerat-kerat atau berurutan dalam baris yang sejajar.

c) Ungkapan kata dan bahasa dipengaruhi unsur muzik, lagu, itonasi, kadensa, rentak, irama dan keharmonian bunyi.


d) Baris, rima dan irama disusun membentuk pola atau ikatan tertentu yang dipengaruhi jumlah baris, jumlah perkataan, keseimbangan bunyi dan panjang-pendek perkataan.

e) Wujud pembahagian unit dalam menyatakan idea, misalnya dua baris serangkap atau beberapa baris seuntai.

f) Bersifat lisan, diwarisi dan disebarkan melalui tradisi lisan dengan fungsi kolektif kehidupan masyarakat tradisional.

g) Binaanya terikat oleh aturan tertentu yang memberikan bentuk dan strukturnya.

h) Digunakan dalam kehidupan seharian masyarakat sebagai pengajaran, hiburan, keramaian, ritual, keagamaan dan sebagainya.

i) Ada puisi yang dianggap suci dan berhubung rapat dengan sistem kepercayaan dan adat istiadat, misalnya adat perpatih.

j) Bahasa yang padat kental mengandungi unsur perlambangan, imejan, kiasan dan perbandingan yang bersifat tradisional untuk menyatakan sesuatu dan melahirkan perasaan hati.











JENIS-JENIS

Puisi tradisional terbahagi kepada beberapa jenis, antaranya ialah pantun, syair, gurindam dan seloka.


PANTUN

Pantun ialah sejenis puisi Melayu tradisional yang digunakan untuk menyampaikan pemikiran dan perasaan yang gembira, sedih, rindu, marah dan sebagainya. Mengikut kajian, asal perkataan pantun mungkin berdasarkan kata toen, tuntun, tonton, tuntun, atuntun, matuntun, panton, pantun yang digunakan dalam pelbagai bahasa di Nusantara. Maksudnya merujuk kepada ‘sesuatu pengucapan dengan bahasa yang teratur, tersusun dan indah atau peri laku yang terpimpin, terdidik, bersopan dan bertatasusila’ dalam kesusasteraan Melayu. Istilah pantun atau sepantun asalnya dipakai dengan makna umpama, seperti, sebagai, laksana, bak yakni merujuk kepada perbandingan atau kiasan. Contohnya, ‘tuan umpama kilat cermin, di balik gunung nampak juga’.

Ciri-ciri Pantun

Pantun mempunyai beberapa ciri, antaranya:

a) Rangkapnya berasingan dan boleh berdiri sendiri sebagai satu kesatuan idea.

b) Rangkapnya terbina daripada baris atau kerat yang berpasangan, misalnya dua kerat, empat kerat, enam kerat, lapan kerat dan dua belas kerat. Namun pantun yang popular dan terus berkembang ialah pantun dua kerat dan empat kerat.

c) Jumlah perkataan dalam setiap baris sekitar tiga hingga lima patah perkataan.

d) Jumlah suku kata dalam setiap baris sekitar lapan hingga dua belas suku kata.
e) Skema rima di tengah atau di hujung baris adalah berjajar berselangan, iaitu ab;ab. Ada juga skema ringan yang sama iaitu aa;aa.

f) Stuktur pantun terdiri daripada dua unit, iaitu pembayang (sebagai kiasan) dan maksud (sebagai inti persoalan). Pembayang ialah gambaran alam dan maksud ialah gambaran sifat dan sikap manusia.

g) Setiap rangkap memiliki kesatuan idea yang lengkap.

h) Penggunaan lambang yang sesuai dengan norma, nilai dan tanggapan masyarakat setempat.

i) Pantun yang baik mempunyai hubungan idea dan wacana antara unit pembayang dengan unit maksud.























SYAIR

Syair merupakan bentuk puisi tradisional ciptaan dan kepunyaan orang Melayu yang mendapat pengaruh Arab dan Parsi. Kata syair berasal daripada istilah Arab sh’ir yang bererti puisi dan sha’r yang bererti penyair, pengarang atau penyajak. Istilah ini berkembang dalam pelbagai bahasa Nusantara seperti sa’e, saiyo, sair, singir dan syair. Dalam puisi Melayu tradisional, bentuk syair dipercayai diperkenalkan dan dikembangkan oleh Hamzah Fansuri (Syair Burung Punggak, Syair Perahu) sekitar abad ke-16 dengan tujuan mengajarkan agama Islam.


Ciri-ciri Syair

Syair mempunyai beberapa ciri, antaranya:

a) Empat baris serangkap.

b) Jumlah perkataan dalam setiap baris tiga hingga lima patah perkataan. Jumlah suku kata bagi setiap baris lapan hingga dua belas suku kata.

c) Tergolong dalam jenis puisi kata.

d) Skema rima hujungnya sama iaitu aa;aa.

e) Keempat-empat baris dalam satu rangkap adalah kesatuan idea namun rangkap berkenaan tidak dapat berdiri sendiri.

f) Dalam satu baris terdapat satu hentian yang ditandai dengan jeda.

g) Serangkap syair akan diikuti rangkap seterusnya untuk membawa satu kesatuan yang lengkap sebagai satu cerita atau pemerian peristiwa.

h) Isi syair umumnya merupakan cerita atau pemerian yang panjang sama ada mengenai kisah percintaan, keagamaan, falsafah, pengajaran dan sebagainya.


GURINDAM
Gurindam ialah sejenis puisi Melayu tradisional yang telah diperkenalkan oleh Raja Ali Haji melalui “Gurindam Dua Belas” yang dikarang pada tahun 1846. Terdapat dua jenis gurindam berdasarkan bentuknya, iaitu yang terikat dan yang tidak terikat. Bentuk yang terikat terdiri daripada dua baris serangkap mengandungi tiga hingga empat patah perkataan dengan skema rima a;a. Manakala bentuk yang tidak terikat mengandungi jumlah baris, jumlah perkataan dan jumlah suku kata dalam sebaris serta skema rima yang tidak tetap. Bahasa gurindam biasanya bernas dan serius. Isinya pula mengandungi nasihat, pengajaran, kebenaran serta pernyataan perasaan cinta. Seuntai gurindam memerlukan beberapa rangkap untuk melengkapkan keseluruhan idea.

Ciri-ciri Gurindam

Gurindam mempunyai beberapa ciri, antaranya:

a) Jumlah baris dalam serangkap, jumlah perkataan dalam sebaris dan jumlah suku kata dalam setiap baris adalah tidak tetap.
b) Jumlah rangkap dalam gurindam tidak ditentukan.
c) Lazimnya terdiri daripada dua baris serangkap.
d) Skema rima hujung adalah sama, iaitu a;a.
e) Ada kalanya wujud unsure asonansi dan aliterasi dalam perkataan yang digunakan.
f) Ada kalanya tersisip bentuk puisi tradisional yang lain seperti pantun atau syair.
g) Rangkapnya terbahagi kepada unit syarat atau induk kalimat (baris pertama) dan jawab atau anak kalimat (baris kedua).
h) Umumnya mengandungi pernyataan yang serius terutama untuk memberi pengajaran atau menyatakan perasaan cinta.

Jenis-jenis Gurindam

Gurindam dapat dijeniskan berdasarkan bentuknya. Terdapat dua jenis gurindam, iaitu gurindam berbentuk bebas (tidak terikat) dan gurindam berbentuk terikat.



SELOKA
Istilah seloka berasal daripada perkataan Sanskrit shloka. Dalam bahasa Melayu, seloka beerti berseloroh, berjenaka atau menyindir. Seloka merupakan puisi yang paling tua dalam kesusasteraan Melayu. Seloka dipercayai datang ke alam Melayu bersama-sama perkembangan agama Hindu di Asia Tenggara. Teks Mahabarata dan Ramayana merupakan buku terawal yang ditulis dalam bentuk seloka.
Sebagai puisi tradisional, karangan berangkap atau bahasa berirama, seloka lebih merupakan pepatah, bidalan atau perumpamaan yang mengandungi unsur jenaka, gurau senda, olokan, ejekan dan sindiran. Walaupun seloka merupakan puisi bercorak senda gurau namun isinya mengandungi sindiran yang menjadi pengajaran dan teladan kepada pembaca. Kebanyakan seloka Melayu ditulis dalam bentuk terikat yakni empat baris serangkap dengan memakai bentuk pantun atau syair. Selain itu, seloka juga ditulis dalam bentuk bebas, iaitu setiap barisnya menjadi isi seloka berkenaan.

Ciri-ciri Seloka

Seloka mempunyai beberapa ciri, antaranya:

a) Karangan berangkap yang memakai pertentangan bunyi rima hujung yang bebas.
b) Terbahagi kepada unit pembayang (induk kalimat) dan unit maksud (anak kalimat).
c) Perkataan sindiran atau ejekan disampaikan dalam bentuk berangkap.
d) Mengandungi unsur jenaka atau gurau senda.
e) Digunakan untuk menyindir sambil mengajar.

ANTOLOGI HARGA REMAJA : CERPEN

Ibu dan Ceper
Karya : Shahnon Ahmad
Sinopsis

Penulis (aku) mencintai Sungai Ceper seperti dia mencintai ibunya sendiri. Penulis menggambarkan ibunya sangat rajin kerana dia bergerak dan aktif di mana-mana sahaja dia berada seperti di baruh untuk menajak dan menyisir selut, memikul gemal padi, menanam benih-benih, mengejar burung yang cuba memakan padi, menuai padi masak dan menjunjung gemal-gemal padi yang masak ke dalam jelapang. Semasa kecil, aku digambarkan sering bersama-sama rakan untuk turun ke lubuk bagi meragau ikan atau bermain acilut dengan gembiranya. Ibu sangat rajin kerana dia akan turun dari rumah selesai sahaja sembahyang subuh. Ibu rajin bersawah, menetak mengkuang, bergotong-royong memasak di tempat kenduri rumah jiran atau menziarahi orang yang meninggal.

Apabila hujan turun tanpa henti, air Sungai Ceper digambarkan naik menenggelamkan sawah padi penduduk kampung. Ibu sangat marah akan Sungai Ceper kerana menenggelamkan sawah padinya. Bapa gemar memikat burung ketitir sehinggakan ibu marah kerana bapa masih ingin pergi memikat ketitir walaupun padinya habis ditenggelamkan air. Setiap kali bapa pulang daripada memikat ketitir, dia akan membawa pulang sama gadung. Apabila Sungai Ceper kering kerana kemarau, sawah padi penduduk kampong juga mati. Kini, ibu dan bapa penulis sudah tiada dan penulis sudah berkahwin, beranak dan bercucu. Namun Sungai Ceper masih wujud walaupun airnya kurang jernih dan arusnya tidak deras kerana pencemaran. Ikan-ikan yang terdapat di dalam air sudah tidak dapat dilihat lagi kerana air yang keruh.

Penulis (aku) terkenangkan ibu yang terjatuh di dalam baruh dan terpijak tunggul sehingga ibu menjadi lumpuh. Ibu sudah tidak boleh bergerak, cuma mata dan mulut ibu sahaja yang galak seperti Sungai Ceper. Mujurlah aku berkahwin dengan gadis kampung yang tidak kekok turun ke sawah untuk menggantikan tempat ibu. Bapa pula sudah tidak berdenak ketitir lagi lantaran tua namun hanya boleh menjaga cucu dan memicit badan ibu sahaja. Aku teringat pada suatu hari aku menjerit marah apabila terpaksa memangku ibu agak lama kerana ibu ingin membuang air besar tetapi tidak keluar-keluar. Ibu sangat sedih lantas aku menyesal lalu memohon maaf daripada ibu kerana sebenarnya aku tidak sedar bertindak sedemikian. Aku juga teringat ibu yang meninggal dunia dalam keadaan aman tanpa menempuh banyak kerumitan.

Aku sudah lama melihat Sungai Ceper yang tercemar dengan bangkai ayam, itik, biawak, ular, babi dan lain-lain lagi yang menyebabkannya tercemar dan berbau busuk. Aku juga teringat pada suatu malam, ayah jatuh tersungkur lalu meninggal dunia. Kini, aku dan isteriku sudah tua dan tidak ke sawah lagi. Kami hanya mampu menjaga cucu-cucu sahaja kerana anak-anak kami pula yang ke sawah mengambil alih tugas kami. Namun begitu Sungai Ceper sudah hilang serinya dan boleh dikatakan sudah ‘mati’ seperti ibu.




Tema

Kepentingan ibu sebagai tonggak keluarga yang gigih serta bersemangat dalam kehidupan dan kepentingannya sama dengan sungai yang menjadi sumber air kepada manusia dan tumbuh-tumbuhan.
Ibu ialah lambang kekuatan dan kegigihan keluarga yang berusaha mencari rezeki. Kegigihan ibu bersawah banyak bergantung kepada Sungai Ceper yang berfungsi sebagai sumber air kepada tanaman. Hubungan langsung ibu dan sungai akhirnya semakin renggang apabila ibu sakit dan Sungai Ceper pun ‘sakit’ kerana pencemaran.


Persoalan

1. Kegigihan seorang perempuan yang memikul tanggungjawab sebagai isteri dan bergelar ibu dalam usahanya menyara kehidupan harian keluarga.
Ibu mampu melakukan semua kerja rumah tangga, bersawah, mencari sumber rezeki tambahan dan juga berfungsi dalam masyarakat.

2. Kepentingan sungai kepada kehidupan manusia.
Sungai Ceper yang deras dan jernih menjadi sumber kepada manusia untuk bersawah, meragau ikan dan mandi-manda. Airnya penting untuk pesawah padi seperti ibu dan anak-anak kampung.

3. Sifat tidak bertanggungjawab manusia.
Sungai Ceper tercemar teruk apabila manusia membuang segala macam sampah hingga sungai itu semakin cetek dan tidak berdaya membawa sampah yang ada di dalamnya.

4. Persoalan kasih sayang.
Kasih sayang aku kepada ibu dan sungai, sumber air dan rezeki di kampungnya. Aku sangat mencintai Sungai Ceper, sama seperti mencintai ibu yang bersusah-payah membesarkannya dengan tabah.

5. Ketabahan anak yang menjaga kebajikan ibunya yang telah tua.
Aku menjaga ibu yang lumpuh dan tidak boleh bergerak. Aku menyesal dan memohon maaf daripada ibu setelah berkasar sehingga menyebabkan ibu bersedih.




Watak dan Perwatakan

IBU

1. Serba boleh, cergas dan cekap bekerja
Ibu boleh melakukan sesuatu kerja dengan cepat bermula selepas subuh sehingga hampir maghrib, malah ibu melakukan semua jenis kerja.

2. Rajin dan bertanggungjawab
Ibu rajin membuat pelbagai kerja, menggunakan tulang empat keratnya, tanpa bantuan suaminya yang menjadi kaki burung. (halaman 100)


3. Tidak suka berleter dan akur dengan sikap suaminya
Ibu tidak pernah bising walaupun suaminya tidak langsung membantunya bersawah dan tidak mengendahkan hal ehwal keluarga. Hal ini demikian kerana suaminya kaki burung.

4. Wanita yang tabah
Walaupun Sungai Ceper telah menyebabkan padi yang ditanami ibu musnah, ibu tidak berputus asa malah apabila keadaan pulih, ibu bersawah lagi agar keluarganya tidak terus-terusan makan ubi gadung.

5. Bermasyarakat
Walaupun ibu sibuk bekerja, ibu tidak lupa terlibat dalam hal-hal kemasyarakatan. Ibu akan pergi ke majlis kenduri-kendara dan menziarahi orang yang meninggal. (halaman 100)

6. Sensitif
Ibu cepat terasa dan terluka. Ibu menangis ketika ‘aku’ menjerit kuat sewaktu ibu sedang buang air besar. (halaman 100)

7. Beliau lumpuh setelah terlanggar tunggul kayu. Kecelakaan yang dialaminya kekal sehingga beliau meninggal dunia.



‘AKU’

1. Penyayang
‘Aku’ ialah anak yang penyayang kerana sentiasa mengingati ibunya walaupun telah 40 tahun ibu meninggal dunia. ‘Aku’ amat menyayangi kedua-dua ibu bapanya.

2. Bertanggungjawab
‘Aku’ anak yang ada rasa tanggungjawab. ‘Aku’ dan isterinya meneruskan kerja-kerja bersawah setelah ibunya lumpuh dan bapanya tidak kuat lagi. ‘Aku’ juga bertanggungjawab menjaga ibunya yang lumpuh dan bapanya yang telah tua.

3. Mengenang dan menghargai jasa ibu
‘Aku’ mengenang dan menghargai susah payah ibu bekerja untuk membesarkan anak-anak. Rasa penghargaan jelas kerana ‘aku’ sentiasa mengingati setiap liku dan apa-apa sahaja yang dilakukan oleh ibunya.

4. Anak tunggal dalam keluarga.

5. ‘Aku’ mewarisi pekerjaan keluarga sebagai pesawah

6. ‘Aku’ sudah berumah tangga dan beroleh dua orang anak serta sudah bercucu.



AYAH

1. Suami yang kurang bertanggungjawab kerana tidak turun ke sawah untuk menyara kehidupan keluarga.

2. Suka membuang masa dengan hobi memikat burung ketitir.

3. Ayah hanya menjalankan tanggungjawab membantu keluarga setelah didesak oleh isteri.

4. Beliau berikhtiar mencari sumber makanan lain apabila padi sawah tidak mendatangkan hasil iaitu dengan membawa balik gadung setiap kali mendenak ketitir.

5. Ayah seorang yang penyayang. Misalnya ayah membantu menjaga cucu dan memicit isterinya yang sakit.

6. Ayah meninggal dunia akibat jatuh tersungkur di kepala tangga.




LATAR TEMPAT

1. Sungai Ceper

1. Tempat penduduk kampung, termasuk ibu mendapat sumber air.
2. Sawah mendapat sumber pengairan.
3. Sumber binatang mendapat minuman
4. Tempat spesies akuatik/habitat spesies ikan dan udang.
5. Tempat pembuangan sampah sarap oleh manusia yang tidak bertanggungjawab sehingga sungai tercemar.
6. Pernah kering kerana dilanda kemarau berpanjangan.
7. Air semakin kering dan tidak mengalir.


2. Sawah

1. Tempat ibu mencari rezeki.
2. Semasa banjir, padi musnah.
3. Semasa kemarau, sawah kering dan padi mati. Ikan di sawah juga mati.
4. Tempat ibu terjatuh kerana terpijak tunggul lama.
5. Tempat ‘aku’ dan isterinya mencari rezeki dan meneruskan tugas ibu.
6. Tempat bapa cuba menyelamatkan padi tetapi tidak berdaya melawan arus.
7. Tempat anak-anak ‘aku’ meneruskan hidup setelah ‘aku’ tua.


3. Rumah Ibu

1. Tempat tinggal ibu, bapa dan ‘aku’.
2. Tempat ibu berehat pada waktu malam setelah penat sehari-harian bekerja.
3. Tempat ibu tinggal semasa lumpuh dan tidak boleh bergerak lagi.
4. Tempat bapa menghabiskan masa tuanya, menjaga ibu yang lumpuh dan menjaga cucu.
5. Tempat ibu menangis dan terluka ketika ‘aku’ menjerit semasa ibu lama membuang air besar.
6. Tempat ibu menghembuskan nafas terakhir dengan tenang dan aman.
7. Tempat ayah meninggal setelah terjatuh dan pengsan di kepala tangga.




LATAR MASA


1. Masa kini

1. ‘Aku’ telah tua, ada anak yang telah besar dan sudah bercucu. Semasa ini ibu dan ayah telah tiada. Sungai Ceper telah tercemar teruk kerana sampah sarap dan alirannya hamper terhenti. Sungai Ceper masih ada tetapi sungai ini terlalu cetek, air telah hamper kering dan tidak lagi digunakan oleh orang ramai.


2. Masa Lalu

1. Sepuluh tahun lalu setelah ibu terjatuh, lumpuh dan meninggal. Ibu tidak dapat bergerak lagi. Kerja-kerja di sawah diteruskan oleh ‘aku’ dan isterinya. Ayah telah tua dan tidak berketitir lagi. Sejak ibu lumpuh, Sungai Ceper juga seperti ‘lumpuh’.

2. Empat puluh tahun lalu, ibu masih muda dan ‘aku’ teruna. Sungai Ceper mengalir deras, mengairi sawah, menjadi lubuk ikan, tempat penduduk mandapatkan sumber air dan memperoleh sumber makanan iaitu ikan. Sungai Ceper pernah banjir dan kering kerana kemarau. Ibu pula mengusahakan sawah dan amat cekap bekerja serta melakukan pelbagai pekerjaan. Bapa pula menjadi kaki burung sehingga tidak membantu ibu dan menyerahkan tugas menyara dan hal keluarga kepada ibu. Ibu marah dengan Ceper yang menyebabkan padinya musnah dan tidak menjadi. Ibu tidak menggunakan Ceper lagi setelah Ceper kering dan berbau busuk. Ibu menggunakan telaga.



LATAR MASYARAKAT

1. Masyarakat Kampung
Mereka menjadi pesawah padi dan petani yang bergantung hidup kepada alam sebagai sumber untuk memperoleh makanan.

2. Masyarakat yang rajin berusaha tanpa jemu
Ibu ialah lambing masyarakat yang rajin berusaha walaupun usahanya musnah disebabkan Sungai Ceper tetapi dia masih terus berusaha bersawah padi setelah semuanya pulih.

3. Masyarakat yang tidak bertanggungjawab
Mereka membuang sampah ke tempat yang tidak sepatutnya sehingga Sungai Ceper tercemar teruk. Bapa juga lambing masyarakat yang tidak bertanggungjawab sebagai ketua keluarga kerana asyik berketitir.

4. Masyarakat yang perihatin
‘Aku’ ialah masyarakat yang prihatin dan sentiasa memerhatikan setiap gerak dan liku Sungai Ceper dan kehidupan ibunya. ‘Aku’ prihatin akan nasib sungai yang semakin hari semakin tercemaR.

NILAI MURNI

1. KASIH SAYANG
Kasih sayang ‘aku’ kepada Sungai Ceper dan ibunya terlihat melaluui kenangannya kepada sungai itu dan ibunya. Setiap pergerakan sungai dan ibunya tidak lekang daripada ingatannya.

2. KEGIGIHAN
Ibu cekal dan gigih berusaha walaupun tanpa bantuan suaminya yang suka berketitir dan langsung tidak mengendahkan hal keluarga. Ibu terus gigih berusaha menanam padi setelah padinya musnah akibat banjir.

3. BERTANGGUNGJAWAB
‘Aku’ merupakan anak yang bertanggungjawab menjaga dan membantu orang tuanya bekerja. ‘Aku’ juga menjaga ibu yang lumpuh dan tidak dapat bergerak.

4. BERDIKARI
Ibu berupaya membuat kerja-kerja bersawah dan kerja-kerja lain bersendirian tanpa bantuan suaminya yang suka berketitir. Ibu juga membuat semua kerja rumah dan segala urusan keluarga diserahkan bulat-bulat kepada ibu.

5. BERSYUKUR
‘Aku’ berterima kasih dan mengenang budi ibunya dengan menjaga ibunya semasa ibunya lumpuh. ‘Aku’ bersyukur dengan kewujudan dua sumber yang berharga dalam kehidupannya iaitu ibunya dan Sungai Ceper walaupun kedua-dua sumber ini telah ‘mati’. Pada suatu ketika dahulu, kedua-duanya menjadi nadi dan tonggak kehidupan.

6. KESABARAN
Ibu terpaksa bersabar melayani kerenah suaminya yang kurang memberikan perhatian terhadap kebajikan keluarganya.


PENGAJARAN

1. Kita hendaklah menyayangi ibu bapa yang telah tua dan sakit.
‘Aku’ menyayangi, menghargai dan menyanjung jasa ibu. ‘Aku’ menjaga ibu yang lumpuh dan tidak dapat bergerak.

2. Kita mestilah menyayangi dan menghargai alam sekitar.
Sungai Ceper penting dan memberi sumbangan kepada kehidupan penduduk kampung. Malangnya sungai itu telah dicemari.

3. Ketua keluarga mesti bertanggungjawab menyara kehidupan keluarga.
Bapa menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab kerana membiarkan ibu yang membuat kerja-kerja bersawah sedangkan bapa hanya suka berketitir.

4. Kita hendaklah rajin dan gigih melakukan sesuatu pekerjaan.
Ibu gigih dan rajin berusaha dengan bersawah, mencari mengkuang dan sebagainya untuk menambahkan rezeki keluarga.



LATIHAN PENGUKUHAN

Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Ibu terus lumpuh dan tidak boleh bergerak lagi. Hanya mata ibu dan mulut ibu yang rancak bergerak seperti arus Ceper pada usia yang lebih muda. Semenjak itu bapa tidak berdenak ketitir lagi meskipun keliling rumah masih tersangkut sangkar-sangkar ketitir yang berbagai-bagai bentuk.

Itulah zaman menderita yang amat pedih bagi kami sekeluarga. Aku sudah kahwin waktu itu dan sudah pun memperoleh dua orang anak. Mujur juga aku peroleh isteri anak kampung yang tidak pantang turun ke sawah dan tidak takut pada lintah dan pacat. Kami berdualah menggantikan tempat ibu.

Meskipun bapa sudah tidak lagi menjadi kaki burung ketitir, bapa sudah agak tua dan tidak boleh berbuat apa-apa lagi. Bapa hanya berada di rumah makan dan tidur saja. Sikit-sikit boleh juga jaga cucu dan picit-picit tubuh ibu, tetapi bapa sebenarnya sudah dimakan tua waktu itu.

(Dipetik daripada ’Ibu dan Ceper’ oleh Shahnon Ahmad
dalam antologi Harga Remaja, Dewan Bahasa dan Pustaka)

i. Berikan maksud rangkai kata ’menderita yang amat pedih’ berdasarkan petikan. (2 markah)

ii. Apakah usaha-usaha yang perlu dilakukan untuk menyembuhkan penyakit
lumpuh yang dialami oleh ibu? (3 markah)

iii. Jelaskan satu nilai murni daripada petikan dan dua nilai murni lain daripada keseluruhan cerpen. (3 markah)