BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS
BAHASA JIWA BANGSA

Monday, October 25, 2010

PUISI TRADISIONAL

DEFINISI

Puisi tradisional merujuk kepada susunan perkataan dalam bentuk karangan berangkap atau suatu bentuk pengucapan dalam susunan yang istimewa berbanding dengan pengucapan biasa seperti yang digunakan dalam pertuturan sehari-hari serta bahasa yang mementingkan kebenaran daya intelektual dan logika. Bentuk, pemikiran dan fungsi Melayu tradisional masih dikekalkan oleh masyarakat seperti keadaan tradidionalnya. Puisi tradisional juga dikenali sebagai puisi lisan yang berkembang dalam kesenian rakyat. Sesetengah bentuk puisi tradisional seperti mantera dan teromba mengandungi unsur ritual dan bersifat magis.


CIRI-CIRI

Pada umumnya, puisi tradisional mempunyai ciri-ciri yang berikut:

a) Memperlihatkan penggunaan bahasa yang lebih baik, ekspresif, kental, mengandungi nilai keindahan serta menimbulkan rangsangan dan kesan kepada pengalaman dan perasaan.

b) Mempunyai bentuk tertentu, berkerat-kerat atau berurutan dalam baris yang sejajar.

c) Ungkapan kata dan bahasa dipengaruhi unsur muzik, lagu, itonasi, kadensa, rentak, irama dan keharmonian bunyi.


d) Baris, rima dan irama disusun membentuk pola atau ikatan tertentu yang dipengaruhi jumlah baris, jumlah perkataan, keseimbangan bunyi dan panjang-pendek perkataan.

e) Wujud pembahagian unit dalam menyatakan idea, misalnya dua baris serangkap atau beberapa baris seuntai.

f) Bersifat lisan, diwarisi dan disebarkan melalui tradisi lisan dengan fungsi kolektif kehidupan masyarakat tradisional.

g) Binaanya terikat oleh aturan tertentu yang memberikan bentuk dan strukturnya.

h) Digunakan dalam kehidupan seharian masyarakat sebagai pengajaran, hiburan, keramaian, ritual, keagamaan dan sebagainya.

i) Ada puisi yang dianggap suci dan berhubung rapat dengan sistem kepercayaan dan adat istiadat, misalnya adat perpatih.

j) Bahasa yang padat kental mengandungi unsur perlambangan, imejan, kiasan dan perbandingan yang bersifat tradisional untuk menyatakan sesuatu dan melahirkan perasaan hati.











JENIS-JENIS

Puisi tradisional terbahagi kepada beberapa jenis, antaranya ialah pantun, syair, gurindam dan seloka.


PANTUN

Pantun ialah sejenis puisi Melayu tradisional yang digunakan untuk menyampaikan pemikiran dan perasaan yang gembira, sedih, rindu, marah dan sebagainya. Mengikut kajian, asal perkataan pantun mungkin berdasarkan kata toen, tuntun, tonton, tuntun, atuntun, matuntun, panton, pantun yang digunakan dalam pelbagai bahasa di Nusantara. Maksudnya merujuk kepada ‘sesuatu pengucapan dengan bahasa yang teratur, tersusun dan indah atau peri laku yang terpimpin, terdidik, bersopan dan bertatasusila’ dalam kesusasteraan Melayu. Istilah pantun atau sepantun asalnya dipakai dengan makna umpama, seperti, sebagai, laksana, bak yakni merujuk kepada perbandingan atau kiasan. Contohnya, ‘tuan umpama kilat cermin, di balik gunung nampak juga’.

Ciri-ciri Pantun

Pantun mempunyai beberapa ciri, antaranya:

a) Rangkapnya berasingan dan boleh berdiri sendiri sebagai satu kesatuan idea.

b) Rangkapnya terbina daripada baris atau kerat yang berpasangan, misalnya dua kerat, empat kerat, enam kerat, lapan kerat dan dua belas kerat. Namun pantun yang popular dan terus berkembang ialah pantun dua kerat dan empat kerat.

c) Jumlah perkataan dalam setiap baris sekitar tiga hingga lima patah perkataan.

d) Jumlah suku kata dalam setiap baris sekitar lapan hingga dua belas suku kata.
e) Skema rima di tengah atau di hujung baris adalah berjajar berselangan, iaitu ab;ab. Ada juga skema ringan yang sama iaitu aa;aa.

f) Stuktur pantun terdiri daripada dua unit, iaitu pembayang (sebagai kiasan) dan maksud (sebagai inti persoalan). Pembayang ialah gambaran alam dan maksud ialah gambaran sifat dan sikap manusia.

g) Setiap rangkap memiliki kesatuan idea yang lengkap.

h) Penggunaan lambang yang sesuai dengan norma, nilai dan tanggapan masyarakat setempat.

i) Pantun yang baik mempunyai hubungan idea dan wacana antara unit pembayang dengan unit maksud.























SYAIR

Syair merupakan bentuk puisi tradisional ciptaan dan kepunyaan orang Melayu yang mendapat pengaruh Arab dan Parsi. Kata syair berasal daripada istilah Arab sh’ir yang bererti puisi dan sha’r yang bererti penyair, pengarang atau penyajak. Istilah ini berkembang dalam pelbagai bahasa Nusantara seperti sa’e, saiyo, sair, singir dan syair. Dalam puisi Melayu tradisional, bentuk syair dipercayai diperkenalkan dan dikembangkan oleh Hamzah Fansuri (Syair Burung Punggak, Syair Perahu) sekitar abad ke-16 dengan tujuan mengajarkan agama Islam.


Ciri-ciri Syair

Syair mempunyai beberapa ciri, antaranya:

a) Empat baris serangkap.

b) Jumlah perkataan dalam setiap baris tiga hingga lima patah perkataan. Jumlah suku kata bagi setiap baris lapan hingga dua belas suku kata.

c) Tergolong dalam jenis puisi kata.

d) Skema rima hujungnya sama iaitu aa;aa.

e) Keempat-empat baris dalam satu rangkap adalah kesatuan idea namun rangkap berkenaan tidak dapat berdiri sendiri.

f) Dalam satu baris terdapat satu hentian yang ditandai dengan jeda.

g) Serangkap syair akan diikuti rangkap seterusnya untuk membawa satu kesatuan yang lengkap sebagai satu cerita atau pemerian peristiwa.

h) Isi syair umumnya merupakan cerita atau pemerian yang panjang sama ada mengenai kisah percintaan, keagamaan, falsafah, pengajaran dan sebagainya.


GURINDAM
Gurindam ialah sejenis puisi Melayu tradisional yang telah diperkenalkan oleh Raja Ali Haji melalui “Gurindam Dua Belas” yang dikarang pada tahun 1846. Terdapat dua jenis gurindam berdasarkan bentuknya, iaitu yang terikat dan yang tidak terikat. Bentuk yang terikat terdiri daripada dua baris serangkap mengandungi tiga hingga empat patah perkataan dengan skema rima a;a. Manakala bentuk yang tidak terikat mengandungi jumlah baris, jumlah perkataan dan jumlah suku kata dalam sebaris serta skema rima yang tidak tetap. Bahasa gurindam biasanya bernas dan serius. Isinya pula mengandungi nasihat, pengajaran, kebenaran serta pernyataan perasaan cinta. Seuntai gurindam memerlukan beberapa rangkap untuk melengkapkan keseluruhan idea.

Ciri-ciri Gurindam

Gurindam mempunyai beberapa ciri, antaranya:

a) Jumlah baris dalam serangkap, jumlah perkataan dalam sebaris dan jumlah suku kata dalam setiap baris adalah tidak tetap.
b) Jumlah rangkap dalam gurindam tidak ditentukan.
c) Lazimnya terdiri daripada dua baris serangkap.
d) Skema rima hujung adalah sama, iaitu a;a.
e) Ada kalanya wujud unsure asonansi dan aliterasi dalam perkataan yang digunakan.
f) Ada kalanya tersisip bentuk puisi tradisional yang lain seperti pantun atau syair.
g) Rangkapnya terbahagi kepada unit syarat atau induk kalimat (baris pertama) dan jawab atau anak kalimat (baris kedua).
h) Umumnya mengandungi pernyataan yang serius terutama untuk memberi pengajaran atau menyatakan perasaan cinta.

Jenis-jenis Gurindam

Gurindam dapat dijeniskan berdasarkan bentuknya. Terdapat dua jenis gurindam, iaitu gurindam berbentuk bebas (tidak terikat) dan gurindam berbentuk terikat.



SELOKA
Istilah seloka berasal daripada perkataan Sanskrit shloka. Dalam bahasa Melayu, seloka beerti berseloroh, berjenaka atau menyindir. Seloka merupakan puisi yang paling tua dalam kesusasteraan Melayu. Seloka dipercayai datang ke alam Melayu bersama-sama perkembangan agama Hindu di Asia Tenggara. Teks Mahabarata dan Ramayana merupakan buku terawal yang ditulis dalam bentuk seloka.
Sebagai puisi tradisional, karangan berangkap atau bahasa berirama, seloka lebih merupakan pepatah, bidalan atau perumpamaan yang mengandungi unsur jenaka, gurau senda, olokan, ejekan dan sindiran. Walaupun seloka merupakan puisi bercorak senda gurau namun isinya mengandungi sindiran yang menjadi pengajaran dan teladan kepada pembaca. Kebanyakan seloka Melayu ditulis dalam bentuk terikat yakni empat baris serangkap dengan memakai bentuk pantun atau syair. Selain itu, seloka juga ditulis dalam bentuk bebas, iaitu setiap barisnya menjadi isi seloka berkenaan.

Ciri-ciri Seloka

Seloka mempunyai beberapa ciri, antaranya:

a) Karangan berangkap yang memakai pertentangan bunyi rima hujung yang bebas.
b) Terbahagi kepada unit pembayang (induk kalimat) dan unit maksud (anak kalimat).
c) Perkataan sindiran atau ejekan disampaikan dalam bentuk berangkap.
d) Mengandungi unsur jenaka atau gurau senda.
e) Digunakan untuk menyindir sambil mengajar.

0 comments: