BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS
BAHASA JIWA BANGSA

Monday, October 25, 2010

ANTOLOGI HARGA REMAJA : CERPEN

Ibu dan Ceper
Karya : Shahnon Ahmad
Sinopsis

Penulis (aku) mencintai Sungai Ceper seperti dia mencintai ibunya sendiri. Penulis menggambarkan ibunya sangat rajin kerana dia bergerak dan aktif di mana-mana sahaja dia berada seperti di baruh untuk menajak dan menyisir selut, memikul gemal padi, menanam benih-benih, mengejar burung yang cuba memakan padi, menuai padi masak dan menjunjung gemal-gemal padi yang masak ke dalam jelapang. Semasa kecil, aku digambarkan sering bersama-sama rakan untuk turun ke lubuk bagi meragau ikan atau bermain acilut dengan gembiranya. Ibu sangat rajin kerana dia akan turun dari rumah selesai sahaja sembahyang subuh. Ibu rajin bersawah, menetak mengkuang, bergotong-royong memasak di tempat kenduri rumah jiran atau menziarahi orang yang meninggal.

Apabila hujan turun tanpa henti, air Sungai Ceper digambarkan naik menenggelamkan sawah padi penduduk kampung. Ibu sangat marah akan Sungai Ceper kerana menenggelamkan sawah padinya. Bapa gemar memikat burung ketitir sehinggakan ibu marah kerana bapa masih ingin pergi memikat ketitir walaupun padinya habis ditenggelamkan air. Setiap kali bapa pulang daripada memikat ketitir, dia akan membawa pulang sama gadung. Apabila Sungai Ceper kering kerana kemarau, sawah padi penduduk kampong juga mati. Kini, ibu dan bapa penulis sudah tiada dan penulis sudah berkahwin, beranak dan bercucu. Namun Sungai Ceper masih wujud walaupun airnya kurang jernih dan arusnya tidak deras kerana pencemaran. Ikan-ikan yang terdapat di dalam air sudah tidak dapat dilihat lagi kerana air yang keruh.

Penulis (aku) terkenangkan ibu yang terjatuh di dalam baruh dan terpijak tunggul sehingga ibu menjadi lumpuh. Ibu sudah tidak boleh bergerak, cuma mata dan mulut ibu sahaja yang galak seperti Sungai Ceper. Mujurlah aku berkahwin dengan gadis kampung yang tidak kekok turun ke sawah untuk menggantikan tempat ibu. Bapa pula sudah tidak berdenak ketitir lagi lantaran tua namun hanya boleh menjaga cucu dan memicit badan ibu sahaja. Aku teringat pada suatu hari aku menjerit marah apabila terpaksa memangku ibu agak lama kerana ibu ingin membuang air besar tetapi tidak keluar-keluar. Ibu sangat sedih lantas aku menyesal lalu memohon maaf daripada ibu kerana sebenarnya aku tidak sedar bertindak sedemikian. Aku juga teringat ibu yang meninggal dunia dalam keadaan aman tanpa menempuh banyak kerumitan.

Aku sudah lama melihat Sungai Ceper yang tercemar dengan bangkai ayam, itik, biawak, ular, babi dan lain-lain lagi yang menyebabkannya tercemar dan berbau busuk. Aku juga teringat pada suatu malam, ayah jatuh tersungkur lalu meninggal dunia. Kini, aku dan isteriku sudah tua dan tidak ke sawah lagi. Kami hanya mampu menjaga cucu-cucu sahaja kerana anak-anak kami pula yang ke sawah mengambil alih tugas kami. Namun begitu Sungai Ceper sudah hilang serinya dan boleh dikatakan sudah ‘mati’ seperti ibu.




Tema

Kepentingan ibu sebagai tonggak keluarga yang gigih serta bersemangat dalam kehidupan dan kepentingannya sama dengan sungai yang menjadi sumber air kepada manusia dan tumbuh-tumbuhan.
Ibu ialah lambang kekuatan dan kegigihan keluarga yang berusaha mencari rezeki. Kegigihan ibu bersawah banyak bergantung kepada Sungai Ceper yang berfungsi sebagai sumber air kepada tanaman. Hubungan langsung ibu dan sungai akhirnya semakin renggang apabila ibu sakit dan Sungai Ceper pun ‘sakit’ kerana pencemaran.


Persoalan

1. Kegigihan seorang perempuan yang memikul tanggungjawab sebagai isteri dan bergelar ibu dalam usahanya menyara kehidupan harian keluarga.
Ibu mampu melakukan semua kerja rumah tangga, bersawah, mencari sumber rezeki tambahan dan juga berfungsi dalam masyarakat.

2. Kepentingan sungai kepada kehidupan manusia.
Sungai Ceper yang deras dan jernih menjadi sumber kepada manusia untuk bersawah, meragau ikan dan mandi-manda. Airnya penting untuk pesawah padi seperti ibu dan anak-anak kampung.

3. Sifat tidak bertanggungjawab manusia.
Sungai Ceper tercemar teruk apabila manusia membuang segala macam sampah hingga sungai itu semakin cetek dan tidak berdaya membawa sampah yang ada di dalamnya.

4. Persoalan kasih sayang.
Kasih sayang aku kepada ibu dan sungai, sumber air dan rezeki di kampungnya. Aku sangat mencintai Sungai Ceper, sama seperti mencintai ibu yang bersusah-payah membesarkannya dengan tabah.

5. Ketabahan anak yang menjaga kebajikan ibunya yang telah tua.
Aku menjaga ibu yang lumpuh dan tidak boleh bergerak. Aku menyesal dan memohon maaf daripada ibu setelah berkasar sehingga menyebabkan ibu bersedih.




Watak dan Perwatakan

IBU

1. Serba boleh, cergas dan cekap bekerja
Ibu boleh melakukan sesuatu kerja dengan cepat bermula selepas subuh sehingga hampir maghrib, malah ibu melakukan semua jenis kerja.

2. Rajin dan bertanggungjawab
Ibu rajin membuat pelbagai kerja, menggunakan tulang empat keratnya, tanpa bantuan suaminya yang menjadi kaki burung. (halaman 100)


3. Tidak suka berleter dan akur dengan sikap suaminya
Ibu tidak pernah bising walaupun suaminya tidak langsung membantunya bersawah dan tidak mengendahkan hal ehwal keluarga. Hal ini demikian kerana suaminya kaki burung.

4. Wanita yang tabah
Walaupun Sungai Ceper telah menyebabkan padi yang ditanami ibu musnah, ibu tidak berputus asa malah apabila keadaan pulih, ibu bersawah lagi agar keluarganya tidak terus-terusan makan ubi gadung.

5. Bermasyarakat
Walaupun ibu sibuk bekerja, ibu tidak lupa terlibat dalam hal-hal kemasyarakatan. Ibu akan pergi ke majlis kenduri-kendara dan menziarahi orang yang meninggal. (halaman 100)

6. Sensitif
Ibu cepat terasa dan terluka. Ibu menangis ketika ‘aku’ menjerit kuat sewaktu ibu sedang buang air besar. (halaman 100)

7. Beliau lumpuh setelah terlanggar tunggul kayu. Kecelakaan yang dialaminya kekal sehingga beliau meninggal dunia.



‘AKU’

1. Penyayang
‘Aku’ ialah anak yang penyayang kerana sentiasa mengingati ibunya walaupun telah 40 tahun ibu meninggal dunia. ‘Aku’ amat menyayangi kedua-dua ibu bapanya.

2. Bertanggungjawab
‘Aku’ anak yang ada rasa tanggungjawab. ‘Aku’ dan isterinya meneruskan kerja-kerja bersawah setelah ibunya lumpuh dan bapanya tidak kuat lagi. ‘Aku’ juga bertanggungjawab menjaga ibunya yang lumpuh dan bapanya yang telah tua.

3. Mengenang dan menghargai jasa ibu
‘Aku’ mengenang dan menghargai susah payah ibu bekerja untuk membesarkan anak-anak. Rasa penghargaan jelas kerana ‘aku’ sentiasa mengingati setiap liku dan apa-apa sahaja yang dilakukan oleh ibunya.

4. Anak tunggal dalam keluarga.

5. ‘Aku’ mewarisi pekerjaan keluarga sebagai pesawah

6. ‘Aku’ sudah berumah tangga dan beroleh dua orang anak serta sudah bercucu.



AYAH

1. Suami yang kurang bertanggungjawab kerana tidak turun ke sawah untuk menyara kehidupan keluarga.

2. Suka membuang masa dengan hobi memikat burung ketitir.

3. Ayah hanya menjalankan tanggungjawab membantu keluarga setelah didesak oleh isteri.

4. Beliau berikhtiar mencari sumber makanan lain apabila padi sawah tidak mendatangkan hasil iaitu dengan membawa balik gadung setiap kali mendenak ketitir.

5. Ayah seorang yang penyayang. Misalnya ayah membantu menjaga cucu dan memicit isterinya yang sakit.

6. Ayah meninggal dunia akibat jatuh tersungkur di kepala tangga.




LATAR TEMPAT

1. Sungai Ceper

1. Tempat penduduk kampung, termasuk ibu mendapat sumber air.
2. Sawah mendapat sumber pengairan.
3. Sumber binatang mendapat minuman
4. Tempat spesies akuatik/habitat spesies ikan dan udang.
5. Tempat pembuangan sampah sarap oleh manusia yang tidak bertanggungjawab sehingga sungai tercemar.
6. Pernah kering kerana dilanda kemarau berpanjangan.
7. Air semakin kering dan tidak mengalir.


2. Sawah

1. Tempat ibu mencari rezeki.
2. Semasa banjir, padi musnah.
3. Semasa kemarau, sawah kering dan padi mati. Ikan di sawah juga mati.
4. Tempat ibu terjatuh kerana terpijak tunggul lama.
5. Tempat ‘aku’ dan isterinya mencari rezeki dan meneruskan tugas ibu.
6. Tempat bapa cuba menyelamatkan padi tetapi tidak berdaya melawan arus.
7. Tempat anak-anak ‘aku’ meneruskan hidup setelah ‘aku’ tua.


3. Rumah Ibu

1. Tempat tinggal ibu, bapa dan ‘aku’.
2. Tempat ibu berehat pada waktu malam setelah penat sehari-harian bekerja.
3. Tempat ibu tinggal semasa lumpuh dan tidak boleh bergerak lagi.
4. Tempat bapa menghabiskan masa tuanya, menjaga ibu yang lumpuh dan menjaga cucu.
5. Tempat ibu menangis dan terluka ketika ‘aku’ menjerit semasa ibu lama membuang air besar.
6. Tempat ibu menghembuskan nafas terakhir dengan tenang dan aman.
7. Tempat ayah meninggal setelah terjatuh dan pengsan di kepala tangga.




LATAR MASA


1. Masa kini

1. ‘Aku’ telah tua, ada anak yang telah besar dan sudah bercucu. Semasa ini ibu dan ayah telah tiada. Sungai Ceper telah tercemar teruk kerana sampah sarap dan alirannya hamper terhenti. Sungai Ceper masih ada tetapi sungai ini terlalu cetek, air telah hamper kering dan tidak lagi digunakan oleh orang ramai.


2. Masa Lalu

1. Sepuluh tahun lalu setelah ibu terjatuh, lumpuh dan meninggal. Ibu tidak dapat bergerak lagi. Kerja-kerja di sawah diteruskan oleh ‘aku’ dan isterinya. Ayah telah tua dan tidak berketitir lagi. Sejak ibu lumpuh, Sungai Ceper juga seperti ‘lumpuh’.

2. Empat puluh tahun lalu, ibu masih muda dan ‘aku’ teruna. Sungai Ceper mengalir deras, mengairi sawah, menjadi lubuk ikan, tempat penduduk mandapatkan sumber air dan memperoleh sumber makanan iaitu ikan. Sungai Ceper pernah banjir dan kering kerana kemarau. Ibu pula mengusahakan sawah dan amat cekap bekerja serta melakukan pelbagai pekerjaan. Bapa pula menjadi kaki burung sehingga tidak membantu ibu dan menyerahkan tugas menyara dan hal keluarga kepada ibu. Ibu marah dengan Ceper yang menyebabkan padinya musnah dan tidak menjadi. Ibu tidak menggunakan Ceper lagi setelah Ceper kering dan berbau busuk. Ibu menggunakan telaga.



LATAR MASYARAKAT

1. Masyarakat Kampung
Mereka menjadi pesawah padi dan petani yang bergantung hidup kepada alam sebagai sumber untuk memperoleh makanan.

2. Masyarakat yang rajin berusaha tanpa jemu
Ibu ialah lambing masyarakat yang rajin berusaha walaupun usahanya musnah disebabkan Sungai Ceper tetapi dia masih terus berusaha bersawah padi setelah semuanya pulih.

3. Masyarakat yang tidak bertanggungjawab
Mereka membuang sampah ke tempat yang tidak sepatutnya sehingga Sungai Ceper tercemar teruk. Bapa juga lambing masyarakat yang tidak bertanggungjawab sebagai ketua keluarga kerana asyik berketitir.

4. Masyarakat yang perihatin
‘Aku’ ialah masyarakat yang prihatin dan sentiasa memerhatikan setiap gerak dan liku Sungai Ceper dan kehidupan ibunya. ‘Aku’ prihatin akan nasib sungai yang semakin hari semakin tercemaR.

NILAI MURNI

1. KASIH SAYANG
Kasih sayang ‘aku’ kepada Sungai Ceper dan ibunya terlihat melaluui kenangannya kepada sungai itu dan ibunya. Setiap pergerakan sungai dan ibunya tidak lekang daripada ingatannya.

2. KEGIGIHAN
Ibu cekal dan gigih berusaha walaupun tanpa bantuan suaminya yang suka berketitir dan langsung tidak mengendahkan hal keluarga. Ibu terus gigih berusaha menanam padi setelah padinya musnah akibat banjir.

3. BERTANGGUNGJAWAB
‘Aku’ merupakan anak yang bertanggungjawab menjaga dan membantu orang tuanya bekerja. ‘Aku’ juga menjaga ibu yang lumpuh dan tidak dapat bergerak.

4. BERDIKARI
Ibu berupaya membuat kerja-kerja bersawah dan kerja-kerja lain bersendirian tanpa bantuan suaminya yang suka berketitir. Ibu juga membuat semua kerja rumah dan segala urusan keluarga diserahkan bulat-bulat kepada ibu.

5. BERSYUKUR
‘Aku’ berterima kasih dan mengenang budi ibunya dengan menjaga ibunya semasa ibunya lumpuh. ‘Aku’ bersyukur dengan kewujudan dua sumber yang berharga dalam kehidupannya iaitu ibunya dan Sungai Ceper walaupun kedua-dua sumber ini telah ‘mati’. Pada suatu ketika dahulu, kedua-duanya menjadi nadi dan tonggak kehidupan.

6. KESABARAN
Ibu terpaksa bersabar melayani kerenah suaminya yang kurang memberikan perhatian terhadap kebajikan keluarganya.


PENGAJARAN

1. Kita hendaklah menyayangi ibu bapa yang telah tua dan sakit.
‘Aku’ menyayangi, menghargai dan menyanjung jasa ibu. ‘Aku’ menjaga ibu yang lumpuh dan tidak dapat bergerak.

2. Kita mestilah menyayangi dan menghargai alam sekitar.
Sungai Ceper penting dan memberi sumbangan kepada kehidupan penduduk kampung. Malangnya sungai itu telah dicemari.

3. Ketua keluarga mesti bertanggungjawab menyara kehidupan keluarga.
Bapa menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab kerana membiarkan ibu yang membuat kerja-kerja bersawah sedangkan bapa hanya suka berketitir.

4. Kita hendaklah rajin dan gigih melakukan sesuatu pekerjaan.
Ibu gigih dan rajin berusaha dengan bersawah, mencari mengkuang dan sebagainya untuk menambahkan rezeki keluarga.



LATIHAN PENGUKUHAN

Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Ibu terus lumpuh dan tidak boleh bergerak lagi. Hanya mata ibu dan mulut ibu yang rancak bergerak seperti arus Ceper pada usia yang lebih muda. Semenjak itu bapa tidak berdenak ketitir lagi meskipun keliling rumah masih tersangkut sangkar-sangkar ketitir yang berbagai-bagai bentuk.

Itulah zaman menderita yang amat pedih bagi kami sekeluarga. Aku sudah kahwin waktu itu dan sudah pun memperoleh dua orang anak. Mujur juga aku peroleh isteri anak kampung yang tidak pantang turun ke sawah dan tidak takut pada lintah dan pacat. Kami berdualah menggantikan tempat ibu.

Meskipun bapa sudah tidak lagi menjadi kaki burung ketitir, bapa sudah agak tua dan tidak boleh berbuat apa-apa lagi. Bapa hanya berada di rumah makan dan tidur saja. Sikit-sikit boleh juga jaga cucu dan picit-picit tubuh ibu, tetapi bapa sebenarnya sudah dimakan tua waktu itu.

(Dipetik daripada ’Ibu dan Ceper’ oleh Shahnon Ahmad
dalam antologi Harga Remaja, Dewan Bahasa dan Pustaka)

i. Berikan maksud rangkai kata ’menderita yang amat pedih’ berdasarkan petikan. (2 markah)

ii. Apakah usaha-usaha yang perlu dilakukan untuk menyembuhkan penyakit
lumpuh yang dialami oleh ibu? (3 markah)

iii. Jelaskan satu nilai murni daripada petikan dan dua nilai murni lain daripada keseluruhan cerpen. (3 markah)

0 comments: