BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS
BAHASA JIWA BANGSA

Friday, November 26, 2010

SAJAK : MENGINTAI RUANG INSAF

Karya : Shukri Abdullah

Semakin berat kejahilan
terpikul di bahu
semakin jauh perjalanan
memburu nur-Mu.

Sewaktu berlari di padang hidup
kerap kakiku tersadung selirat akar
tubuhku tercalar duri pidana
pada samar kejauhan
ancala mulia makin kabur
dan menghilang.

Sekadar songsang aksara kata
tanpa kembali ke tunjang makna,
”Apakah dalam sarat khilaf
masih terbuka ruang untuk
dianugerahkan keinsafan?”

Rabb,
moga pintu taubat-Mu terbuka
sebelum api dari bara itu menyala.

MAKSUD RANGKAP PERTAMA
Penyajak berasakan semakin banyak kejahilan
(dosa) yang dilakukan, dia merasakan dirinya semakin jauh untuk mendapatkan hidayah Tuhan.

MAKSUD RANGKAP KEDUA
Sewaktu penyajak meneruskan perjalanan hidup,
kerap kali dia melakukan kesilapan.
Hingga mendapat kesan daripada kejahatan.
Akibatnya jalan menuju kebenaran dan kemuliaan semakin sukar diperoleh dan semakin menghilang.

MAKSUD RANGKAP KETIGA
Dengan melakukan sesuatu kesalahan,
tanpa kembali ke pangkal jalan.
Penyajak mempersoalkan jika banyak melakukan dosa, masih terdapatkah peluang untuk kembali ke pangkal jalan.

MAKSUD RANGKAP KEEMPAT
Penyajak berdoa kepada Tuhan agar menerima taubatnya sebelum dia meninggal dunia (sebelum dia dimasukkan ke dalam neraka)

MEMORI SEORANG TUA

Karya : Zahari Affandi
Sinopsis

Pak Itam berasa sangat nyaman benar kehidupan di kampung, namun kenyamanan itu terganggu kerana banyak bangunan kilang didirikan. Walaupun tidak begitu berkenan dengan pembinaan kilang tetapi Pak Itam merelakannya kerana kian ramai anak muda yang menganggur. Pak Itam sedar jika anak muda tiada pekerjaan, sudah pasti banyak perkara yang tidak baik akan berlaku. Pak Itam juga mengenangkan zaman mudanya yang sering masuk dan keluar penjara. Malam itu Pak Itam sukar melelapkan mata kerana banyak perkara yang belum selesai berkaitan majlis hari jadinya yang ingin diadakan. Baki duit yang digunakannya untuk ke Makkah akan digunakan untuk mengadakan majlis hari jadinya untuk diraikan bersama-sama penduduk kampung dan pelajar-pelajar universiti yang dijemput untuk menemu ramahnya berkaitan sejarah. Pak Itam teringat bahawa dia masuk dan keluar penjara pada zaman Inggeris dan Jepun kerana menentang penjajah sedangkan beliau merupakan majistret Melayu pertama di Malaya.

Pak Itam cukup kecewa kerana ada kawan-kawannya yang pulang dari Britain lebih Inggeris daripada orang Inggeris sendiri dan memandang jijik kepada anak bangsa sendiri yang hidup dalam kedaifan. Pak Itam kehilangan semua orang yang amat disayanginya kerana perjuangan untuk memajukan orang Melayu. Isterinya, Siti Nurhidayah datang menuntut fasakh ketika Pak Itam berada di dalam penjara dan itulah kali terakhir dia bertemu anaknya, Izwan dan Nuryani Iman. Pak Itam amat sedih atas perpisahannya dengan semua orang yang disayanginya itu. Pak Itam tetap merindui mereka yang telah meninggalkannya.

Pak Mat, orang kanannya memberitahu bahawa tempat pameran sudah disediakan untuk pameran buku-buku dan semua makalah Pak Itam semasa majlis hari jadinya. Pak Itam mempunyai seorang anak angkat yang bernama Sidah tetapi kini sedang mengikut suaminya membuat PhD di UK.

Pak Itam sangat gembira dengan keharmonian yang wujud di Langat. Dia merasakan bahawa perkara itu merupakan kejayaannya dalam perjuangannya sejak dahulu kerana dia inginkan keharmonian dan semangat bersatu padu dalam kalangan anak bangsanya. Pak Itam sangat bimbang akan wujudnya perpecahan dalam kalangan orang Melayu dan beliau berharap agar perpecahan ini dapat diselesaikan dengan segera secara bertolak ansur dan bersefahaman.
Tiba pada majlis hari jadinya, antara artis jemputan yang hadir untuk membuat persembahan dalam majlis itu ialah Aziz H.M, Zubir dari Pusat Kebudayaan UM, Cik Habsah dari Terengganu dan Kumpulan Kopratasa yang datang membuat persembahan secara percuma. Namun tetamu-tetamu dari jauh tidak kunjung tiba. Wartawan akhbar dan televisyen serta jemputan khas tidak hadir menyebabkan tempat letak kereta yang disediakan menjadi lengang. Hanya penduduk Langat sahaja yang datang, itu pun kerana ada persembahan Kumpulan Kopratasa. Hal ini menjadikan Pak Itam menjadi sayu kerana sedar bahawa jasanya semakin dilupakan.

Pak Itam memberitahu kepada Pak Mat bahawa dia hendak sembahyang Zuhur. Tidak lama selepas itu, Kiah, anak Pak Mat datang memberitahu bahawa sesuatu yang buruk telah berlaku kepada Pak Itam. Pak Mat mendapati Pak Itam terbaring di atas sejadah. Ketika Doktor Kamsani tiba dan mengesahkan Pak Itam sudah meninggal dunia. Tidak lama selepas itu muncul seorang wanita yang telah berumur dengan membawa sejambak ros merah. Wanita itu melutut dan memegang kaki jenazah Pak Itam. Selepas mengesat air matanya, wanita itu itu meletakkan jambangan ros merah di hujung kaki jenazah Pak Itam sebelum beredar meninggalkan rumah itu. Semua orang yang berada di situ tercengang kerana tidak mengenali wanita misteri itu. Namun Tuk Mat mengagak bahawa hajat Pak Itam sudah kesampaian.

Sunday, November 14, 2010

MAJLIS PERSARAAN TUAN HAJI MAT SAID BIN MOHAMAD

SMK KAMIL, PASIR PUTEH, KELANTAN 14 NOVEMBER - Seorang lagi guru yang amat dikasihi oleh para pelajar bakal menamatkan usia perkhidmatan beliau pada 25 Disember 2010 nanti. Beliau memilih untuk bersara wajib pada umur 56 tahun. Guru yang dimaksudkan ialah Tuan Haji Mat Said bin Mohamad. Justeru Kelab Guru dan Kakitangan SMK Kamil telah menganjurkan majlis persaraan untuk beliau pada pagi ini bertempat di Dewan Besar SMK Kamil.

Pengerusi majlis ialah Pn. Rohana binti Mohd Noor. Majlis dimulai dengan bacaan doa, dan disusuli dengan ucapan wakil pelajar oleh anakanda Mohd Saddam bin Abdullah. Seterusnya Tn Hj Mohd Razak bin Che Yaakob, PK Pentadbiran menyampaikan ucapan mewakili tuan pengetua dan seluruh warga SMK Kamil. Tuan Haji Mat Said bin Mohamad turut dijemput untuk meluah kata-kata ucapan terakhir beliau sebelum meninggalkan sekolah ini. Majlis penyampaian cenderahati dan acara bersalam-salaman mengakhiri tirai majlis jasamu dikenang dan budimu disanjung ini.

Berikut adalah sedikit coretan yang menyusuri perjalanan kehidupan seorang ustaz yang telah menabur banyak jasa dalam persada pendidikan khasnya di SMK Kamil:

Pada redup wajah seorang ustaz, ada serimbun pengalaman menghiasi perjalanan kehidupannya. Lukisan semalam yang dilalui penuh dengan catatan suka duka sebagai seorang pendidik. Untuk itu marilah kita menyelami perjalanan kehidupan Tn Hj Mat Said bin Mohamad

Nun di sebuah desa dalam daerah Besut, Terengganu, berbunga hati sepasang suami isteri menyambut kelahiran bayi mereka pada tanggal 25 Disember 1954. Bayi comel berkulit putih bersih itu kemudiannya diberikan nama Mat Said bin Mohamad. Mekar harapan ayah bonda untuk melihat anak ini membesar sebagai seorang ustaz yang padanya nanti boleh ditumpangkan ilmu dunia dan akhirat.

Justeru anak kecil ini dihantar untuk mendapatkan pendidikan awal di SK Kerandang dari tahun 1961 hingga 1969. Beliau seterusnya melanjutkan pelajaran ke SM Agama Ittifakiah, Jerteh pada tahun 1966 hingga 1969. Setelah lulus Sijil Rendah Pelajaran, beliau meneruskan pengajian ke SM(A) Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu pada tahun 1970 hingga 1972. Kemudian beliau melanjutkan pelajaran ke tingkatan 6 di Kolej Islam Kelang pada tahun 1973 hingga 1974. Berbekalkan kelulusan Sijil Tinggi Pelajaran (STP), anak muda yang berwawasan ini akhirnya berjaya menjejakkan kaki ke menara gading, Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 1975 hingga 1978. Harapan keluarga ditunaikan apabila beliau lulus dengan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam serta Diploma Pendidikan yang membolehkan beliau menjawat jawatan sebagai seorang ustaz.

Tuan Haji Mat Said bin Mohamad memulakan tugas sebagai guru muda yang berjiwa kental untuk menabur bakti di SMK Kuala Krai pada tanggal 17 Ogos1978 hingga 31 Disember 1982. Seterusnya beliau berhijrah ke SMK Kamil pada 1 Januari 1983 hingga 31 Ogos 1983. Beliau kemudiannya dipinjamkan untuk berkhidmat di SM (A) Saniah pada 1 September 1983 hingga 31 Disember 1986. Dan seterusnya beliau kembali semula bertugas di SMK Kamil ini pada 1 Januari 1987 hinggalah sekarang. Beliau meraih pengalaman sebagai seorang guru selama tahun.

Dengan wajah kacak, menawan dan bergaya, beliau bertemu cinta pertama dan seterusnya ke jinjang pelamin bersama Pn Azimah binti Shafie pada tahun 1984. Membina teratak keluarga di Kampung Surau, Pasir Puteh dan hidup berbahagia bersama 7 orang cahaya mata, 4 orang perempuan dan 3 orang lelaki. Anak pertama telah selesai menamatkan pendidikan dan telah mula bertugas di UIA. Anak kedua di UITM dan anak ketiga di UIA. Anak keempat di tingkatan 5 dan anak bongsu berusia 5 tahun.

Tuan Haji Mat Said banyak melakar pengalaman sebagai seorang Setiausaha Biasiswa iaitu Setiausaha Biasiswa yang paling lama di JPN Kelantan (1987 – 2008). Memegang tugas sebagai Ketua Panitia Pendidikan Islam, Guru kelas dan berpengalaman luas sebagai guru mata pelajaran Pendidikan Islam tingkatan 4 dan 5.

Beliau telah berkhidmat di bawah 9 orang Pengetua sepanjang berkhidmat di SMK Kamil ini. Katanya, Pengetua silih berganti, dan beliau baharu hendak meninggalkan sekolah ini. Beliau pernah ditawarkan untuk memegang jawatan pentadbiran tetapi beliau menolak dengan alasannya yang tersendiri.

Selepas bersara beliau bercita-cita untuk bergiat menceburi bidang perniagaan. Wawasan beliau selepas ini adalah untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya.

Kata-kata harapan yang beliau ingin tinggalkan kepada semua pelajar SMK Kamil adalah, “ilmu yang dipelajari bukan sekadar diterima tetapi perlu diamalkan dalam kehidupan seharian”.

Manakala kepada sahabat-sahabat guru di SMK Kamil, beliau menyatakan bahawa semua peristiwa yang dikongsi bersama di sekolah ini adalah menjadi kenangan manis, dan sesungguhnya tiada kenangan pahit bagi beliau.

Thursday, November 11, 2010

MAJLIS SEMBAHYANG HAJAT & IZIN ILMU SPM 2010

SMK KAMIL, PASIR PUTEH, KELANTAN 11 November 2010 - Ibu bapa, guru-guru dan pelajar-pelajar tingkatan lima berkumpul di surau SMK Kamil untuk menunaikan solat hajat sempena peperiksaan SPM yang bakal ditempuhi pada 23 November ini. Doa dan hajat dipanjatkan kepada Allah SWT kerana kejayaan mutlak adalah datang daripadaNYA. Malangnya beberapa orang guru tidak berkesempatan untuk bersama-sama kerana terpaksa mengawasi peperiksaan akhir tahun tingkatan satu, dua dan empat, termasuklah Pn.Rohana Mohd. Noor sendiri yang mengawasi peperiksaan di tingkatan 4US dan 2US. Walaupun begitu, di sudut hati seorang guru tetap tidak ketinggalan untuk memanjatkan doa kepada Allah SWT agar kejayaan yang cemerlang menjadi milik pelajar-pelajar SMK Kamil. Insya Allah.

Masa seterusnya disusuli dengan Majlis Izin Ilmu pada pukul 11.00 pagi yang bertempat di Dewan Besar SMK Kamil. Ucapan Pn.Hajjah Zaiton Yusof selaku Ketua Penyelaras Kecemerlangan SPM dihayati oleh semua pelajar. Seterusnya adalah ucapan daripada Tn.Hj. Zainuddin Harun, Pengetua SMK Kamil. Manakala acara bersalam-salaman dengan guru menyaksikan begitu banyaknya air mata tertumpah. Sedih....

Berikanlah kepada kami wangian kejayaanmu, wahai anak-anak tercinta!
Tirai majlis dilabuhkan pada pukul 1.30 petang. Terima kasih cikgu......

Sunday, November 7, 2010

KILAS AKHIR SPM 2010

SMK KAMIL, PASIR PUTEH, KELANTAN, MALAYSIA 7 NOVEMBER 2010 - Telah berlangsung program kilas akhir mata pelajaran Bahasa Melayu bermula pukul 8.00 hingga 9.00 pagi di Dewan Besar SMK Kamil. Semua pelajar tingkatan 5 berkumpul untuk mengikuti 'buah kilas' yang disampaikan oleh guru-guru Bahasa Melayu mereka. Majlis ini dipengerusikan oleh Pn Rohana binti Mohd Noor. Tips cemerlang untuk menjawab Kertas 1 disampaikan oleh Pn Hjh Salma binti Che Hassan. Sentuhan terakhir tatabahasa diberikan oleh En Juhaidi Abdullan manakala tajuk-tajuk penting KOMSAS dikupas oleh En Zainuddin bin Ahmad. Semua pelajar tekun mendengar sambil mencatat segala gugusan 'buah kilas' berkenaan memandangkan hanya tinggal 16 hari sahaja lagi untuk mereka bertempur di medan perjuangan ilmu.

Kami berempat selaku guru Bahasa Melayu SMK Kamil mengharapkan jawapan yang terbaik dapat diberikan oleh pelajar. Segala petua ilmu telah kami titipkan dan hanya menanti kesediaan mental mereka menempuh perjuangan ini. Semoga soalan yang akan dikemukakan nanti mudah dan dapat dijawab dengan baik. Kami iringi dengan doa semoga Allah SWT akan memberi kejayaan yang cemerlang kepada semua pelajar tingkatan 5 SMK Kamil tahun 2010.

Saturday, November 6, 2010

KOSA KATA HARI INI

1. Manhaj
Maksud: kaedah, cara
Ayat : Penerapan ilmu agama merupakan suatu manhaj yang dapat menghalang
golongan remaja terjebak dalam gejala sosial.

2. Renyah
Maksud: i. leceh, rumit, susah
ii. tidak senang, gelisah, risau, was-was
iii. keras tetapi senang menghancurkannya, rapuh
Ayat: Masalah yang menimpa anak-anak mereka menyebabkan Datuk Dolhi dan
Datin Tominah sentiasa renyah memikirkannya.