BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS
BAHASA JIWA BANGSA

Sunday, November 27, 2011

Selamat Datang 1433 Hijrah

Berlabuh sudah tirai perjalanan hidup tahun 1432 Hijrah tatkala berkumandang azan maghrib dari masjid berdekatan. Berkata hati seketika. Beredar masa dalam kepantasan yang senyap. Tanpa dihitung rapi kini berlalu hari terakhir tahun berkenaan. Agenda diri untuk diri, keluarga, komuniti, dan sebagai hambaNya seakan-akan tidak dapat diaudit dengan pengiraan yang tepat. Mengapakah tidak mampu ditahan walaupun jarum saat yang bergerak itu hanya senipis benang? Berkata lagi hati bahawa akulah insan yang lemah dan tiada daya upaya melainkan dengan kehendakNya.

Menginjak lagi usia bersama tabir 1433 Hijrah. Selamat datang Muharam, bulan kemuliaan, bulan pertama dalam kalendar hijrah. Doa dipanjatkan bersama kehadiran tahun hijrah yang baharu ini. Hijrah berasal daripada peristiwa perpindahan Nabi Muhammad SAW dan para sahabat dari Kota Makkah ke Kota Madinah pada tahun 622 Masihi. Banyak iktibar yang boleh ditimba melalui penghijrahan Rasulullah SAW. Seiring dengan peristiwa itu harapan sering dipanjatkan agar kedatangan tahun baru 1433 Hijrah ini dapat mengubah diri sendiri daripada yang kurang baik kepada yang baik dan seterusnya kepada yang lebih baik. Sebagaimana penghijrahan Rasulullah SAW yang akhirnya berjaya meninggalkan kota yang penuh dengan kerosakan dan kejahatan kepada wujudnya sebuah Kota Madinah yang aman damai.

Hendak dilakarkan diari indah tahun 1433 Hijrah ini dengan agenda yang menepati syariatNya. Ini perancangan yang tersemat. Apatah lagi kepulangan yang masih baru selepas melalui perjalanan menyempurnakan rukun di tanah suci Makkah dan Madinah. Segala-galanya ingin diperbaharui dalam kehidupan ini setelah menyedari kekurangan di sisiNya. Tuhanku, berkatilah kehadiran tahun hijrah ini dengan rahmatMu untuk kebaikan hidup kami di dunia dan kebaikan hidup kami di akhirat. Selamat datang 1433 Hijrah dengan sinar yang bercahaya. Amin.

0 comments: